Ahad, 20 Julai 2008

GDP: Kayu ukur pencapaian ekonomi yang merosakkan.

Contoh terbaik pemimpin yang tidak faham maksud pembangunan adalah Kerajaan negeri Kedah baru yang beria-ria ingin membalak hutan simpan Ulu Muda. Dulu sebelum PRU cakap tak nak balak!


Oleh: Rausyanfikir a.k.a Wan Ahmad Fayhsal


Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) atauapun lebih popular dikenali sebagai Gross Domestic Product (GDP) dalam bahasa ekonomi Inggerisnya merupakan antara kayu ukur utama pembangunan ekonomi dan juga kebahagiaan masyarakat.Ianya telah diguna pakai oleh hampir kesemua negara bangsa yang wujud pasca Perang Dunia Kedua melalui teori dualisme Pembangunan yang membahagi negara-negara bangsa ini kepada dua jenis iaitu negara-negara membangun yang rata-ratanya dijuarai oleh negara-negara Barat dan yang kedua adalah negara-negara sedang membangun yang rata-ratanya dilabel ke atas negara-negara Dunia Ketiga yang pernah menjadi mangsa penjajahan Barat.


Apa yang tidak disedari oleh kebanyakkan para pemimpin Dunia Ketiga adalah bahawasanya penglabelan sedemikian merupakan antara satu modus operandi penjajahan bentuk baru yang lebih bersifat diskrit terutamanya yang melibatkan penghakisan jati diri dan ilmu tradisional masyarakat.


Kewujudan institusi-institusi kewangan dan ekonomi antarabangsa seperti Bank Dunia, International Monetary Fund (IMF), World Trade Organization (WTO) selepas Perang Dunia Kedua telah memacu hebat penyebaran ideology pembangunan yang menggalasa sama konsped GDP ini. Bank Dunia sendiri telah menetapkan GDP sebagai “pengukur aras ekonomi utama” buat kajian mereka. Mengikut pandangan umum, apa yang baik untuk GDP adalah baik juga untuk sesebuah negara tersebut; apabila GDP meningkat, maka begitu juga dengan nasib baik kita. Apakah sebenar yang di ukur oleh GDP ini?


Secara ringkas, GDP adalah jumlah nilai kesemua produk dan perkhidmatan yang dijual dan dibeli, yang turut juga boleh ditafsirkan sebagai ukuran nilai pertukaran wang antara individu (syarikat, pekerja etc.) yang menyertai aktiviti ekonomi yang wujud dalam sesebuah negara. Malangnya, secara tidak sedar para bijak pandai ekonomi serta orang awam menerima mentah-mentah perkaitan yang wujud antara GDP dan kosa kata “pembangunan” yang sering kali juga disama ratakan sebagai “kebahagiaan” dan “kejayaan” sesebuah negara. Antara sebab mengapa GDP tidak menceritkan hal yang tepat berkaitan dengan makna “pembangunan” yang lebih relevan kepada masyarakat adalah:


Pertama, GDP tidak membezakan antara aktiviti yang produktif dan juga yang bersifat memusnahkan. Dalam ukuran realistik pembangunan yang membezakan kos dan keuntungan, GDP telah memukul rata kesemua nilai pertukaran yang wujud dalam ekonomi dan mengambil kira kesemuanya dalam satu jenis kumpulan nilai yang sama. Penyakit, jenayah dan bencana alam sekitar semuanya mampu meningkatkan nilai GDP kerana dalam menyelesaikan masalah ini, duit akan digunakan bagi mengubati penyakit, menangkap dan memenjarakan penjenyah dan juga membaik pulih infrastruktur yang rosak dek kerana bencana alam sekitar. Dengan itu juga, GDP akan meningkat walaupun pada masa yang sama nilai dan kualiti hidup kita semakin menjunam hasil daripada peningkatan kadar penyakit, jenayah dan bencana alam yang memusnah.


Kedua, GDP tidak menetapkan nilai kepada sumber alam sebelum ianya diguna pakai dalam sistem ekonomi ataupun dalam ayat yang lebih mudah, digunakan sebagai produk hari-harian baik dalam bentuk makanan ataupun barangan. Pokok tua di hutan yang kaya dengan sumber alam yang mampu memberi pelbagai jenis rezeki kepada manusia dan juga haiwan tidak mempunyai sebarang nilai kecuali jikalau ianya telah ditebang menjadi kayu balak dan dijual dalam pasaran ekonomi barulah dikira sebagai bernilai dalam sudut pandang nilai GDP. Pada masa yang sama kayu ukur GDP tersebut gagal mengambil kira nilai kemusnahan yang berlaku terhadap hutan tersebut. Daripada kes ini kita dapat melihat bahawa kayu ukur GDP hanya menggalakkan masyarakat kita untuk terus menggunakan segala sumber yang ada tanpa mengambil kira kadar pengurangan yang bakal menimpa kita kerana sumber alam kebanyakkanya bersifat tidak boleh diperbarui. Contohnya seperti minyak, bijih timah dan juga penangkapan ikan dengan menggunakan pukat tunda secara berleluasa sehingga gagal untuk membiarkan anak-anak ikan membesar dan membiak secara bebas di laut.


Ketiga, GDP tidak mengambil kira langsung segala aktiviti dan khidmat yang tidak diletakkan sebarang harga padanya seperti aktiviti kekeluargaan, gotong royong dan kerja-kerja amal yang tidak menjana sebarang keuntungan. Dari sudut pandang GDP, surirumah sepenuh masa yang bersusah payah membesarkan anak tidak bernilai langsung buat penjanaan pembangunan ekonomi negara semasa kerana tidak memulangkan keuntungan berupa wang kepada pasaran ekonomi. Dalam keadaan masyarakat kita yang serba sibuk, sudah tentu pengswastaan khidmat kendiri yang kebiasaannya dilakukan oleh ahli keluarga seperti membasuh baju, mendidik anak, dan memasak akan meningkatkan lagi pengaliran wang ke dalam pasaran ekonomi semasa. Sudah tentu mengikut kayu ukur GDP, ini adalah satu pencapaian yang baik tetapi tanpa disedari, kesibukkan yang menimpa ini telah merobek-robek fabrik sosial yang wujud dalam masyarakat kita secara halus.Maka tidak hairanlah kebejatan moral dalam masyarakat bertambah serius apabila peranan ibu bapa sebagai pendidik telah diswastakan kepada kotak elektronik besar yang bernama televisyen. Ini sering berlaku kepada ibu bapa yang berkerja untuk menyara keluarga dalam iklim ekonomi yang mengejar pencapaian keuntungan material semata-mata sebagai kayu ukur kejayaan dan kebahagiaan sesebuah negara.


Rumusannya, GDP hanya menilai pembangunan dari sudut materialistik yang sempit dimana ianya hanya mampu melahirkan manusia yang berjenis homo economicus (manusia ekonomi) yang telah disiat nilai rohani yang sedia wujud di azali oleh Tuhan yang Maha Kaya. Sudah sampai masanya rakyat bersikap kritis dalam menilai segala bentuk hujah yang dilontarkan oleh ahli politik dan para intelektual yang berkiblatkan idea Barat yang sememangnya berdiri tegak atas dasar Pencerahan (Enlightenment) sekularistik yang telah menidakkan sebarang bentuk nilai rohani (sacredness) yang wujud di alam ini.

Tiada ulasan: