Isnin, 28 Julai 2008

CAP dinobatkan Persatuan Pengguna terbaik 2008!




Uncle Mohideen, selaku Naib Presiden CAP menerima anugerah 'Persatuan Pengguna Terbaik 2008' daripada Menteri KPDNHEP, Dato' Sharir Samad.



Jikalau hendak saya buktikan adakah Malaysia mempunyai satu gerakan masyarakat yang berpusat di akar umbi, tanpa berlengah saya akan katakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang merupakan contoh terbaik yang pernah kita miliki pada hari ini. Lebih dikenali melalui akronim Bahasa Inggerisnya, CAP merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang cukup dinamik dalam memperjuangkan nasib dan hak rakyat terutamanya buat golongan marhain.

Saya (berbaju merah) bersama Cikgu Azmi (berkain pelikat), Uncle Mohideen dan rakan-rakan aktivis yang lain selepas penerimaan anugerah Hari Pengguna di PWTC.


Atas sumbangan CAP yang begitu lama dalam selok belok isu kepenggunaan, pembangunan dan beberapa isu penting yang sangat berkait rapat dengan masyarakat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menganugerahkan CAP anugerah 'Persatuan Pengguna Terbaik 2008' sempena Hari Pengguna tahun 2008 yang baru sahaja berlangsung pada 26 hingga Ogos 2008 yang lalu.



CAP bukan sahaja merupakan sebuah badan bukan kerajaan malah bertindak sebagai satu gagasan menentang neokolonialisme yang semakin merebak di kalangan masyarakat Dunia Ketiga khususnya Malaysia. Presiden dan pengasasnya, S.M Mohamed Idris merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia aktvisme masyarakat.


Di bawah beliau, CAP telah melebarkan sayapnya dalam pelbagai isu antaranya adalah berkenaan isu antarabangsa dan alam sekitar. Ianya telah terbukti melalui pengwujudan beberapa buah NGO yang cukup disegani di Malaysia seperti Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang begitu tangkas memperjuangkan isu-isu alam sekitar, Citize

International (CI) yang senantiasa membantu mendedahkan isu-isu penting yang berlaku di peringkat antarabangsa seperti Perang Iraq, dan krisis Israel Palestin.


Sumbangan CAP di peringkat negara-negara Dunia Ketiga juga tidak boleh dilupakan lagi melalui penubuhan Third World Network (TWN) iaitu satu badan non-profit hasil kerjasama jaringan organisasi dan individu yang terlibat dalam perjuangan berkenaan isu pembangunan, dan Dunia Ketiga. TWN telah ditubuhkan pada November 1984 di Pulau Pinang dalam satu sesi penutup kepada persidangan antarabangsa yang bertajuk “The Third World: Development or Crisis” yang telah dianjurkan oleh CAP dan disertai oleh para aktivis yang hadir dari 21 buah negara yang berbeza.


Sejak penubuhan TWN yang turut juga diketuai oleh S.M Mohamed Idris selaku koordiatornya, rakyat Dunia Ketiga telah mendapat banyak manfaat melalui hasil penyelidikan ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam usaha mewujudkan satu modul pembangunan lestari dan adil. Ini kerana selepas Perang Dunia Kedua, kebanyakkan negara-negara Dunia Ketiga yang baru merdeka terpaksa berhadapan dengan ombak globalisasi kapitalisme dari negara-negara bekas penjajah Barat. Tanpa kajian dan pemahaman yang jitu berkenaan isu-isu tersebut, negara-negara Dunia Ketiga bakal tenggelam sekali lagi dalam arus penjajahan bentuk baru yang lebih diskrit sifatnya.


Dalam satu kenyataan yang tertera di laman web CAP, S.M Mohamed Idris menjelaskan:


CAP menggalakkan mana-mana individu daripada pelbagai kaum untuk bersatu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama. Kita selalu mendapat rungutan berkenaan makanan-makanan berbahaya, penipuan, penindasan mendapat gaji yang setimpal yang turut berlaku terutamanya di kawasan desa. Keperluan golongan miskin sering tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.


Kami berharap perjuangan kami ini dapat memberi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat di mana kerajaan akan menilai semua bagaimana dasar pembangunan dapat memberi kesan kepada masyarakat biasa dan kami juga berharap dapat melahirkan masyarakat yang lebih kritikal dan mempunyai kekuatan untuk menentang budaya yang merosakkan seperti pengambilan makanan ringan yang hanya memburukkan kehidupan mereka. Persatuan Pengguna Pulau Pinang berusaha untuk membantu masyarakat menilai kehidupan mereka dengan lebih berwawasan.


Jelas disini bahawa kita bukan sahaja memiliki sebuah pertubuhan yang melindungi hak dan kebajikkan masyarkat Malaysia pada hari in malah turut sama menimbang tara hak dan kebajikkan generasi mendatang. Ini kerana malalui perjuangan berteraskan pembangunan yang lestari, CAP telah membuka satu persada gerakan masyarakat yang lebih dinamik dan kritis dalam berhadapan dengan arus modenisasi yang pesat pada masa kini serta akan datang. Tahniah sekali lagi buat warga CAP!



Antara barang pameran dan buku-buku CAP yang banyak mendidik masyarakat.


P/S: Tahniah kepada sahabat-sahabat perjuangan di CAP dan NGO yang seangkatan dengannya. Dalam masa 2 tahun saya mengenali anda semua, Allah telah permudahkan diri ini untuk menjiwai perjuangan di medan sebenar dengan lebih holistik. Terima kasih tidak terhingga kepada Uncle Idris, Uncle Mohideen, Cikgu Azmi,Ustaz Azizi Abdullah, Abang Azizan, Abang Nizam, abang-abang dan kakak-kakak di SAM serta sahabat-sahabat API kerana telah banyak memberi ruang dan dorongan untuk saya menjadi seorang aktvis masyarakat. Sesungguhnya idealisme perjuangan saya banyak terbentuk sepanjang penglibatan saya dengan anda semua terutamanya melalui penerbitan Radical Essential Phamplet Series (REPS) yang telah banyak mengubah paradigman kehidupan saya sebagai hamba Allah di bumi ini.

Tiada ulasan: