Selasa, 29 Julai 2008
Bulan Ogos yang Sibuk
2-3 Ogos: Malaysian Student Leader Summit (MSLS) di Hotel Nikko.
12-13 ogos: Seminar Buku Agung di IKIM
15 Ogos: Pelancaran Siri Wacana dan pemikiran Epistemologi Alam Melayu di Dewan Senat, UKM.
22-24 Ogos: 20th International Conference on Higher Education (ICHE) di UKM
Bagi mana-mana pihak yang dapat bersama-sama menyertai saya dialu-alukan kita bersua muka bagi menambahkan lagi jaringan ilmu. Insyaallah.
Isnin, 28 Julai 2008
ISTAC Menuntut Pembelaan Rakyat Malaysia

Jikalau hendak ditanya hati ini apakah perkara yang paling aku marahi dan benci tatkala ini, tidak lain tidak bukan adalah berkaitan dengan ISTAC. Bukannya aku benci ISTAC tetapi benci akan barua-barua politik yang menghancurkan satu Institusi Keilmuan yang cukup penting dalam dunia Islam pada abad ke-20. Ya, memang ramai rakyat Malaysia tidak dapat mengenali yang mana satu intan dan yang mana satu kaca. Hanya jauhari yang mengenal manikam.
Kita boleh tangisi kehilangan kanak-kanak yang hilang tetapi rebahnya benteng umat yang berdiri tegak atas paksi keilmuan, kita tidak berasa sedikit pun resahnya. Di akhir zaman ini, Allah S.W.T bukan menghilangkan ilmu melalui kehilangan tulisan dalam kitab-kitab tetapi dengan memanggil kembali para ulama' ke rahmatullah. Maka dalam keadaan sebegini dimana umat Islam sedang dihimpit dengan Projek Moderniti yang sarat dengan nilai-nilai asing yang cukup membahayakan umat siapakah yang akan membimbing umat?Bukankah ulama itu pewaris Nabi.
Janganlah kita tertipu bahawa penyelamat kita pada waktu ini hanya tertumpu kepada para politikus yang pandai bermain kata. Politikus yang tidak mendampingi para ulama' hanyalah manusia yang bercakap kosong. Jikalau Alexander the Great pun mempunyai Aristotle disisinya masakan para politikus kita pada hari ini?
Setakat aku menilai permasalahan yang ada baik dari sudut historikal dan futuris, yang menunjukkan tanda-tanda yang relevan untuk mengembalikan izzah umat ternyata dari golongan ulama' yang lahir dari ISTAC dibawah bimbingan Prof. Syed Naquib Al-Attas. Selaku anak muda yang sangat menyimpan hasrat untuk menuntut ilmu dibawah beliau, paling kurang yang aku harapkan adalah KEADILAN buat beliau dan seisi keluarga ISTAC yang menjadi mangsa 'de-Anwarisme' oleh puak-puak sekularis dalam negara ini... Wallahualam.
ISTAC Menuntut Pembelaan Rakyat Malaysia
Oleh Md. Asham B. Ahmad
Akhirnya, seperti yang dijangkakan, Presiden UIAM Tan Sri Sanusi Junid ditamatkan kontraknya lebih awal berikutan perkembangan terkini politik negara. Beliau menafikan sebarang salah laku yang mewajarkan tindakan itu terhadapnya, dan mengisyaratkan bahawa tindakan itu semata-mata bermotifkan politik. Setiap manusia yang berakal dan bermaruah tidak kiralah apa pangkat dan kedudukannya mahu dilayan dengan adil dan wajar. Justeru, sesiapapun tidak akan menerima tindakan yang tidak bersebab, lemah sebabnya, apatah lagi yang langsung tidak munasabah sebabnya.Tidak ramai, khususnya masyarakat umum, mengetahui bahawa pada tahun 2002, semasa Tan Sri Sanusi masih memegang jawatan Presiden UIAM, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) telah dibatalkan perlembagaannya, manakala Pengasas-Pengarahny a, Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, telah tidak disambung kontraknya tanpa sebarang alasan yang benar lagi munasabah. Jika Sanusi mempertikaikan pemecatannya dengan alasan dia tidak melakukan sebarang kesalahan, dia juga mesti bersedia memberikan sebab dan alasan yang munasabah terhadap apa yang dilakukan kepada al-Attas dan ISTAC.Tindakan yang dikenakan ke atas al-Attas dan ISTAC membayangkan bahawa suatu kesalahan yang amat besar telah dilakukan sehingga mewajarkan penyingkiran Pengasas-Pengarahny a diikuti dengan pembersihan ISTAC dari para ahli akademik dan sarjana penyelidik yang sealiran dengan beliau. Soalnya apakah sebenarnya masalah yang dihadapi oleh ISTAC yang cuba ‘diselesaikan' oleh UIAM dengan membatalkan perlembagaan ISTAC dan menyingkirkan al-Attas dan orang-orangnya dari institut berkenaan? Adakah masalah itu kini selesai dan ISTAC kini berada pada kedudukan yang lebih baik dari sebelumnya?Andaikanlah al-Attas telah melakukan suatu kesalahan yang mewajarkan penyingkirannya; kenapa para tenaga pengajar dan penyelidik yang dilatih dengan penat lelah oleh al-Attas bagi mengendalikan ISTAC juga turut disingkirkan? Kenapa tidak pula dilantik menggantikannya seorang yang memiliki kewibawaan yang setaraf dengannya atau lebih baik darinya?Ataupun sebenarnya gagasan Islamisasi Ilmu anjuran al-Attas itu yang sebenarnya dimusuhi dan mahu dimusnahkan? Jika itulah alasannya UIAM mempunyai lebih dari cukup profesor dan ahli akademik yang boleh digembelengkan tenaganya bagi mendedahkan kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam gagasan pemikiran yang menjadi landasan perjuangan ISTAC itu. Kenapa perlu menghasut golongan politik bagi membantu menghapuskan ISTAC?Hakikatnya al-Attas tidak pernah didakwa apatah lagi dibuktikan bersalah atas sebarang tuduhan oleh mana-mana mahkamah, tribunal, atau badan siasatan yang berwibawa. Justeru, semua tuduhan yang disebarkan oleh pihak UIAM selama ini hanyalah fitnah-fitnah jahat golongan yang mempunyai kepentingan tertentu.Sumbangan Profesor al-Attas terhadap institut berkenaan khususnya dan dunia ilmu umumnya memang tidak dapat dinafikan sehingga negara kita turut mendapat nama baik di persada antarabangsa. Justeru, penamatan kontrak beliau, diikuti oleh ‘pembersihan' ISTAC dari kumpulan yang mendokong gagasan Islamisasi Ilmu anjuran al-Attas menimbulkan misteri dan banyak persoalan yang tidak terjawab sehingga ke hari ini. Maksudnya ada usaha secara sistematik agar ISTAC tidak lagi berjalan di atas landasan asalnya, dan ini perlu dijelaskan sebabnya.Apa yang kita bangkitkan ini bukanlah persoalan peribadi kerana ISTAC bukan harta peribadi al-Attas. ISTAC sebaliknya adalah sumbangan beliau kepada dunia umumnya dan Kaum Muslimin khususnya. Justeru, kerosakan yang dilakukan terhadap ISTAC adalah sebenarnya pengkhianatan terhadap amanah dan ahlinya.Tatkala setiap pihak di negara ini begitu ghairah menuntut kembali hak-hak yang dirampas oleh para pemeras terdahulu kenapa tidak hak para ilmuwan dan institusi ilmu juga dituntut dan dikembalikan kepada pemiliknya yang sah? Bukan hanya institusi kehakiman sahaja yang perlu dibela dan dibebaskan dari kongkongan politik, yang lebih penting adalah keutuhan dan maruah ilmuwan dan institusi ilmu kerana segalanya bermula di situ.Pada hari ini, di saat Kaum Muslimin diserang dari segenap penjuru dan cuba dikelirukan pemikirannya kita telah membiarkan sebuah institut yang begitu penting dirosakkan oleh golongan yang berhasad dengki, sedangkan di situlah sepatutnya diletakkan harapan dan amanah membela nasib ummah dalam menghadapi cabaran semasa yang begitu getir. Apa yang telah disumbangkan oleh al-Attas tidak ternilai harganya. Beliau telah bersusah-payah membina satu landasan yang kukuh buat Kaum Muslimin bagi membolehkan mereka memahami sebenar-benarnya punca-punca masalah yang mereka hadapi agar dapat diusahakan penyelesaian- penyelesaiannya yang wajar. Semua itu dapat disaksikan oleh sesiapapun yang ingin melakukannya. Lihat sahaja bangunannya yang tersergam indah, perpustakaannya yang mengandungi khazanah ilmiah yang amat berharga, aktiviti-aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan yang menarik para sarjana dan pelajar berwibawa dari segenap pelusuk dunia.Al-Attas tidak melarang sesiapapun dari melakukan usaha-usaha yang sama dengan pendekatan yang lebih baik dan berkesan sekiranya ada. Beliau hanya menuntut ISTAC tidak diganggu dan diberi peluang, sokongan, dan dokongan bagi menjayakan niat dan tujuan penubuhannya. Kalau kita sanggup berbelanja besar memberi sokongan dan dokongan bagi menjayakan program angkasawan negara kenapa tidak boleh kita melakukan perkara yang sama untuk ISTAC?Apa yang dituntut hanyalah penjelasan yang jujur, tulus, dan ikhlas. Sekiranya tiada apa yang ingin disembunyikan tiada sebab permintaan ini tidak boleh dipenuhi.
CAP dinobatkan Persatuan Pengguna terbaik 2008!
Uncle Mohideen, selaku Naib Presiden CAP menerima anugerah 'Persatuan Pengguna Terbaik 2008' daripada Menteri KPDNHEP, Dato' Sharir Samad.
Jikalau hendak saya buktikan adakah Malaysia mempunyai satu gerakan masyarakat yang berpusat di akar umbi, tanpa berlengah saya akan katakan Persatuan Pengguna Pulau Pinang merupakan contoh terbaik yang pernah kita miliki pada hari ini. Lebih dikenali melalui akronim Bahasa Inggerisnya, CAP merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang cukup dinamik dalam memperjuangkan nasib dan hak rakyat terutamanya buat golongan marhain.
CAP bukan sahaja merupakan sebuah badan bukan kerajaan malah bertindak sebagai satu gagasan menentang neokolonialisme yang semakin merebak di kalangan masyarakat Dunia Ketiga khususnya Malaysia. Presiden dan pengasasnya, S.M Mohamed Idris merupakan nama yang tidak asing lagi dalam dunia aktvisme masyarakat.
Dalam satu kenyataan yang tertera di laman web CAP, S.M Mohamed Idris menjelaskan:
“CAP menggalakkan mana-mana individu daripada pelbagai kaum untuk bersatu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama. Kita selalu mendapat rungutan berkenaan makanan-makanan berbahaya, penipuan, penindasan mendapat gaji yang setimpal yang turut berlaku terutamanya di kawasan desa. Keperluan golongan miskin sering tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
Kami berharap perjuangan kami ini dapat memberi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat di mana kerajaan akan menilai semua bagaimana dasar pembangunan dapat memberi kesan kepada masyarakat biasa dan kami juga berharap dapat melahirkan masyarakat yang lebih kritikal dan mempunyai kekuatan untuk menentang budaya yang merosakkan seperti pengambilan makanan ringan yang hanya memburukkan kehidupan mereka. Persatuan Pengguna Pulau Pinang berusaha untuk membantu masyarakat menilai kehidupan mereka dengan lebih berwawasan.”
Khamis, 24 Julai 2008
Kuliah pertama di IKIM: Maratib Al-Ilm
Dewan IKIM kini menempatkan beberapa ilmuan Islam yang pernah menuntut di ISTAC. Direktor IKIM (Dato' Dr. Syed Tawfiq Ali Al-Atas) sendiri merupakan anak Prof. Syed Naquib Al-Atas.
Sudah tentu apabila Prof Alparslan menyampaikan kuliah beliau, terdapat banyak persamaan dan perkaitan antara idea-idea yang disampaikannya dengan idea-idea yang sering dianjurkan oleh Prof Naquib sendiri.Antaranya adalah berkenaan dengan pandangan alam Islam, konsep ta'dib, dan juga penekanan pemahaman entimologi Bahasa Arab dengan betul. Yang lebih menarik seperti mana Prof.Wan Mohd Nor Wan Daud menjawab persoalan saya kenapa Prof.Naquib dipandang tinggi oleh ilmuan Islam di luar Malaysia dan pernah juga dikatakan antara Pemikir dan Ulama' Islam yang ulung abad ke-20.
Jawab Prof Wan:
"Prof Naquib is a 'deep' scholar. Furthermore he can link many ideas into one integrated framework"
Itulah jawapan Prof Wan buat persoalan yang saya lontarkan.
Pada mulanya memang saya tak faham. What makes Prof. Naquib, ISTAC dan anak-anak murid Prof Naquib lain daripada yang lain? Tetapi setelah membaca karya-karya ISTAC dan mendengar kuliah umum Prof. Alparslan, I have no doubt this group of scholars is indeed something special and 'deep' one.
Susah hendak digambarkan dengan kata-kata yang terpampang di skrin komputer ini. Anda harus cuba membaca dan memahami dan BERTEMU (kalau boleh) dengan para ilmuan ISTAC yang pernah belajar di bawah Prof. Naquib untuk 'merasai' aura yang saya maksudkan ini.
Saya kata begini kerana semasa kuliah itu berlangsung, rata-rata yang hadir adalah para Profesor dan intelektual di IPTA sekitar Lembah Kelang (UM,UPM,UIA,UKM dan ada juga dari Muzium Islam). Selepas kuliah tersebut saya dapat lihat ramai daripada hadirin seolah-olah sudah dapat 'melihat' satu gambaran sebenar akan kepingan jigzaw puzzle yang telah tercantum bagi menceritakan realiti semasa Umat Islam hari ini.
Ada juga seorang hadirin dari badan ekonomi Islam ( tak ingat nama organisasi tapi ianya baru diwujudkan selepas konvensyen GABEM baru-baru ini) yang mempersoalkan dengan begitu 'kasar' sedikit kepada Prof. Alparslan. Beliau kata idea Prof. Alparslan ini tidak praktikal. Hadirin tersebut berhujah bahawa apa yang kita perlu hari ini adalah kemajuan yang tinggi dalam bidang-bidang sains, kejuruteraan dan teknologi bagi mengangkat taraf umat Islam di Malaysia sama dengan negara-negara dalam G8 ( beliau sebut G8 secara jelas).
Saya hanya tergelak melihat 'kebidadapan' hadirin tersebut membantah idea Prof. Alparslan sebegitu rupa. Apa yang beliau cuba jelaskan adalah lebih baik Prof. Alparslan membincangkan perihal yang lebih praktikal daripada berteori sebegitu.
Inilah salah satu wabak yang wujud dalam pemikiran umat Islam baik UMNO, PAS ataupun Muslim secara amnya. Dualisme dalam berfikir telah memisahkan peranan teori dan praktikal dengan begitu jauh sekali. Maka yang ada pada hari ini adalah umat Islam yang jenis copycat terhadap semua unsur luar terutamanya dari aspek sains dan teknologi daripada memahami the underlying foundation untuk sesuatu ilmu ataupun konsep.
Pendek cerita, negara kita memang miskin ilmu falsafah. Tidak seperti negara jiran kita Indonesia dan Singapura dimana penekanan khusus terhadap bidang ilmu ini begitu baik sekali. Tidak hairanlah ilmuan mereka lebih mampu menjana perubahan kepada masyarakat berbanding dengan ilmuan kita yang hanya mencetek mahasiswa menjadi modal insan buat tauke-tauke kapitalis.
Selasa, 22 Julai 2008
Mari menimba Ilmu
INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)
Syarahan Umum
“MARATIB AL - ‘ILM IN THE ISLAMIC SCIENTIFIC TRADITION”
pada Rabu, 23 Julai 2008, jam 10.00 pagi
PROF. DR. ALPARSLAN ACIKGENC
Timbalan Rektor dan Dekan, Fakulti Sastera dan Sains,
Universiti Fatih, Istanbul, Turki
di
Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
2, Langgak Tunku off Jalan Duta,
50480
ATUR CARA
23 JULAI 2008 (RABU)
9.30 pg. Ketibaan Para Jemputan
9.50 pg. Ketibaan Prof. Dr. Alparslan Acikgenc,
Timbalan Rektor dan Dekan, Fakulti Sastera dan Sains,
Universiti Fatih, Istanbul , Turki
10.00 pg. Syarahan Umum “Maratib al - ‘Ilm in the Islamic Scientific Tradition” oleh Prof. Dr. Alparslan Acikgenc
Moderator: YBhg. Dr. Mohd. Zaidi Ismail
(Fellow Kanan / Pengarah, Pusat Sains dan Teknologi,
Institut Kefahaman Islam
11.00 pg. Sesi Perbincangan
11.45 pg. Jamuan Ringan dan Bersurai
Title: Initiatives on Sustainability in Science and Technology: Perspectives from Agriculture and Environment
Topics and the speakers :-
Who Should Attend :-
|
Isnin, 21 Julai 2008
Ketagih Buku (2)
Pesta Buku DBP di Universiti Malaya yang sedang berlangsung sehingga Jumaat ini adalah satu perkara yang tidak boleh dilepaskan oleh para pencinta Ilmu. Tengah hari tadi saya telah melangut selama sejam lebih di khemah DBP yang menempatkan koleksi-koleksi buku DBP yang lama dan baru. Diskaun hebat dari 20%-80% disajikan buat peminat karya-karya ilmuan Malaysia. Sudah tentu saya telah membeli beberapa buah buku yang saya kira penting dalam membantu menjalankan kajian yang sedang saya lakukan pada waktu ini terutamanya buku-buku berkaitan dengan falsafah.
Saya masih ingat lagi pesanan Prof Ungku Maimunah yang saya jumpa sewaktu bertandang ke ATMA UKM beberapa minggu yang lalu. Beliau menasihati saya sebelum membaca buku hijau tebal yang bertajuk " Gagasan Persurata Baru:Pengenalan dan Penerapan" hasil karangan beliau, Affandi Hassan dan juga Mohd Zainal Abdul Rani, bahawasanya saya harus memiliki dan membaca dahulu buku awal Affandi Hassan yang bertajuk "Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid" terbitan DBP. Mujur tadi terjumpa buku tersebut.
Apa yang menarik sangat tentang buku-buku yang secara lahiriah, tidak menggiurkan langsung ini? Yang istimewanya adalah idea-idea buku ini sebenarnya banyak berpaksikan dengan framework dan konsep yang telah dikemukakan oleh ilmuan Islam yang saya paling kagumi abad ini iaitu Prof Syed Naquib Al-Attas, mantan direktor dan pengasas ISTAC. Antara elemen-elemen penting yang saya kesan adalah berkenaan dengan konsep ta'dib dalam pendidikan sastera serta pembentukkan worldview yang Islamik melalui hasil karya yang memenuhi adab.
Nampaknya, hasil usaha Tuan Affandi Hassan, Prof Ungku dan Tuan Mohd Zainal jikalau diamati dengan cermat amat penting dan signifikan buat masyarakat Malaysia terutamanya kepada generasi baru Melayu dalam memperjenihkan semula pengertian sastera Islami. Hendak tahu lebih lanjut saya sendiri kenalah baca dulu. But before that I need to khatam Islam and Secularism that was written by Prof Naquib.

Antara buku lain yang saya serkup adalah buku "Doa dan Zikir Harian" yang disunting oleh Ust Hj Zahazan Mohamed. Buku ini saya beli sewaktu melancong ke kedai buku MPH Mid Valley Ahad lepas. Saya pernah beli beberapa buah buku doa terutamanya yang diterbitkan oleh PTS Publications tetapi buku doa ini sangat menarik perhatian saya dan Alhamdulillah saya telah cuba mengamalkan doa-doa tersebut setiap waktu yang saya mampu.
Buku doa ini bukan sahaja dimasukkan terjemahannya malah turut sama dimasukkan syarahnya yang dikutip dari kitab-kitab yang muktabar. Dengan itu ia menjadikan doa-doa tersebut lebih dekat di hati pembacanya kerana kita mengetahui khasiat-khasiatnya dengan lebih baik. Antara doa yang menambat hati saya adalah 2 doa ini.



Saya tak sangka rupa-rupanya doa yang saya baca selama hari ini dari umur saya 15 tahun sebagai seorang pengawas sekolah yang ditugaskan membaca doa setiap hari pada perhimpunan pagi merupakan doa yang diamalkan oleh Khalifah Umar bin Abd Aziz. Turut sama doa yang memusatkan kepada kebaikkan ilmu adalah satu doa yang penting buat saya dari dulu sampai sekarang. Maklumlah dulu baca doa kerana tugas sebagai pengawas sekolah. Bukan sangat baca doa kerana nak faham maksud. Sekarang saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana doa -doa yang dibekalkan oleh Ustaz dan Ustazah yang mengajar saya di Sekolah Mengengah Sains Selangor dulu merupakan doa yang cukup-cukup bermakna yang telah sekian lama saya amalkan.
Saya syorkan para pembaca membeli buku doa ini dan lakukanlah contemplation setiap kali membaca doa-doa tertentu yang telah dibekalkan syarahnya dengan baik oleh Ustaz Zahazan.
Ahad, 20 Julai 2008
GDP: Kayu ukur pencapaian ekonomi yang merosakkan.

Oleh: Rausyanfikir a.k.a Wan Ahmad Fayhsal
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) atauapun lebih popular dikenali sebagai Gross Domestic Product (GDP) dalam bahasa ekonomi Inggerisnya merupakan antara kayu ukur utama pembangunan ekonomi dan juga kebahagiaan masyarakat.Ianya telah diguna pakai oleh hampir kesemua negara bangsa yang wujud pasca Perang Dunia Kedua melalui teori dualisme Pembangunan yang membahagi negara-negara bangsa ini kepada dua jenis iaitu negara-negara membangun yang rata-ratanya dijuarai oleh negara-negara Barat dan yang kedua adalah negara-negara sedang membangun yang rata-ratanya dilabel ke atas negara-negara Dunia Ketiga yang pernah menjadi mangsa penjajahan Barat.
Apa yang tidak disedari oleh kebanyakkan para pemimpin Dunia Ketiga adalah bahawasanya penglabelan sedemikian merupakan antara satu modus operandi penjajahan bentuk baru yang lebih bersifat diskrit terutamanya yang melibatkan penghakisan jati diri dan ilmu tradisional masyarakat.
Kewujudan institusi-institusi kewangan dan ekonomi antarabangsa seperti Bank Dunia, International Monetary Fund (IMF), World Trade Organization (WTO) selepas Perang Dunia Kedua telah memacu hebat penyebaran ideology pembangunan yang menggalasa sama konsped GDP ini. Bank Dunia sendiri telah menetapkan GDP sebagai “pengukur aras ekonomi utama” buat kajian mereka. Mengikut pandangan umum, apa yang baik untuk GDP adalah baik juga untuk sesebuah negara tersebut; apabila GDP meningkat, maka begitu juga dengan nasib baik kita. Apakah sebenar yang di ukur oleh GDP ini?
Secara ringkas, GDP adalah jumlah nilai kesemua produk dan perkhidmatan yang dijual dan dibeli, yang turut juga boleh ditafsirkan sebagai ukuran nilai pertukaran wang antara individu (syarikat, pekerja etc.) yang menyertai aktiviti ekonomi yang wujud dalam sesebuah negara. Malangnya, secara tidak sedar para bijak pandai ekonomi serta orang awam menerima mentah-mentah perkaitan yang wujud antara GDP dan kosa kata “pembangunan” yang sering kali juga disama ratakan sebagai “kebahagiaan” dan “kejayaan” sesebuah negara. Antara sebab mengapa GDP tidak menceritkan hal yang tepat berkaitan dengan makna “pembangunan” yang lebih relevan kepada masyarakat adalah:
Pertama, GDP tidak membezakan antara aktiviti yang produktif dan juga yang bersifat memusnahkan. Dalam ukuran realistik pembangunan yang membezakan kos dan keuntungan, GDP telah memukul rata kesemua nilai pertukaran yang wujud dalam ekonomi dan mengambil kira kesemuanya dalam satu jenis kumpulan nilai yang sama. Penyakit, jenayah dan bencana alam sekitar semuanya mampu meningkatkan nilai GDP kerana dalam menyelesaikan masalah ini, duit akan digunakan bagi mengubati penyakit, menangkap dan memenjarakan penjenyah dan juga membaik pulih infrastruktur yang rosak dek kerana bencana alam sekitar. Dengan itu juga, GDP akan meningkat walaupun pada masa yang sama nilai dan kualiti hidup kita semakin menjunam hasil daripada peningkatan kadar penyakit, jenayah dan bencana alam yang memusnah.
Kedua, GDP tidak menetapkan nilai kepada sumber alam sebelum ianya diguna pakai dalam sistem ekonomi ataupun dalam ayat yang lebih mudah, digunakan sebagai produk hari-harian baik dalam bentuk makanan ataupun barangan. Pokok tua di hutan yang kaya dengan sumber alam yang mampu memberi pelbagai jenis rezeki kepada manusia dan juga haiwan tidak mempunyai sebarang nilai kecuali jikalau ianya telah ditebang menjadi kayu balak dan dijual dalam pasaran ekonomi barulah dikira sebagai bernilai dalam sudut pandang nilai GDP. Pada masa yang sama kayu ukur GDP tersebut gagal mengambil kira nilai kemusnahan yang berlaku terhadap hutan tersebut. Daripada kes ini kita dapat melihat bahawa kayu ukur GDP hanya menggalakkan masyarakat kita untuk terus menggunakan segala sumber yang ada tanpa mengambil kira kadar pengurangan yang bakal menimpa kita kerana sumber alam kebanyakkanya bersifat tidak boleh diperbarui. Contohnya seperti minyak, bijih timah dan juga penangkapan ikan dengan menggunakan pukat tunda secara berleluasa sehingga gagal untuk membiarkan anak-anak ikan membesar dan membiak secara bebas di laut.
Ketiga, GDP tidak mengambil kira langsung segala aktiviti dan khidmat yang tidak diletakkan sebarang harga padanya seperti aktiviti kekeluargaan, gotong royong dan kerja-kerja amal yang tidak menjana sebarang keuntungan. Dari sudut pandang GDP, surirumah sepenuh masa yang bersusah payah membesarkan anak tidak bernilai langsung buat penjanaan pembangunan ekonomi negara semasa kerana tidak memulangkan keuntungan berupa wang kepada pasaran ekonomi. Dalam keadaan masyarakat kita yang serba sibuk, sudah tentu pengswastaan khidmat kendiri yang kebiasaannya dilakukan oleh ahli keluarga seperti membasuh baju, mendidik anak, dan memasak akan meningkatkan lagi pengaliran wang ke dalam pasaran ekonomi semasa. Sudah tentu mengikut kayu ukur GDP, ini adalah satu pencapaian yang baik tetapi tanpa disedari, kesibukkan yang menimpa ini telah merobek-robek fabrik sosial yang wujud dalam masyarakat kita secara halus.Maka tidak hairanlah kebejatan moral dalam masyarakat bertambah serius apabila peranan ibu bapa sebagai pendidik telah diswastakan kepada kotak elektronik besar yang bernama televisyen. Ini sering berlaku kepada ibu bapa yang berkerja untuk menyara keluarga dalam iklim ekonomi yang mengejar pencapaian keuntungan material semata-mata sebagai kayu ukur kejayaan dan kebahagiaan sesebuah negara.
Rumusannya, GDP hanya menilai pembangunan dari sudut materialistik yang sempit dimana ianya hanya mampu melahirkan manusia yang berjenis homo economicus (manusia ekonomi) yang telah disiat nilai rohani yang sedia wujud di azali oleh Tuhan yang Maha Kaya. Sudah sampai masanya rakyat bersikap kritis dalam menilai segala bentuk hujah yang dilontarkan oleh ahli politik dan para intelektual yang berkiblatkan idea Barat yang sememangnya berdiri tegak atas dasar Pencerahan (Enlightenment) sekularistik yang telah menidakkan sebarang bentuk nilai rohani (sacredness) yang wujud di alam ini.
Khamis, 17 Julai 2008
Sengkek...
Ah melepas 2 buku yang menarik kerana telah kehabisan scholarship. Saya tidak sedar yang elaun internship sudah diguna pakai untuk bayar conference UKM pada bulan Ogos nanti. Ada beberapa agenda penting Ogos ini maka kenalah ambil cuti untuk beberapa hari.
Memang dari segi aktivisme dan perjuangan, saya sangat menjurus kepada permasalahan ekonomi. Saya lihat dalam perbincangan semasa masalah rakyat bab ekonomi adalah bab yang jarang dikupas secara mendalam sehingga ke akar umbinya. Maka sebagai mahasiswa yang mampu memahami Bahasa Inggeris dan mempunyai kapasiti kemudahan seperti wang dan masa yang banyak, adalah tanggungjawab saya untuk mengetengahkan pelbagai isu dan perspektif baru berkenaan isu ekonomi.
Sebab itu juga nama blog ini Sosialis Kanan. Dinamakan begitu sebagai satu simbol provokatif kepada semua aktivis masyarakat yang sering kali mengambil jalan mudah untuk memahami masalah rakyat. Balik-balik UMNO. UMNO tu produk 'kehilangan adab' seperti yang dihujahkan oleh Prof Syed Naquib Al Attas. Musuh kita lebih diskrit sifatnya.
Mungkin hasil imbuhan menulis majalah dan surat khabar untuk bulan Ogos ini mampu memberi saya peluang untuk membeli kedua-dua buku ini.Insyaallah.
Selasa, 15 Julai 2008
Bila Hidup ketagih Buku...
Dalam bulan ni sahaja entah berapa ratus ringgit hangus daripada akaun simpanan CIMB dek kerana membeli buku-buku yang cukup menggiurkan rohani dan intelek. Entah mengapa semakin saya mengenali Prof Wan Mohd Nor Wan Daud melalui beberapa pertemuan tidak rasmi disamping membaca buku-buku karangan beliau serta guru beliau, Prof Syed Naquib Al Attas, rasa semakin 'mencintai' gagasan pemikiran ISTAC.
Sudah tentu pada mula saya membaca buku-buku tersebut kepala ini menjadi berserabut kerana tidak mudah faham seperti buku-buku Islamik yang lain. Tetapi itulah kenyataan dalam menimba Ilmu yang berkait rapat dengan metafizik dan falsafah.
Nasihat Prof Wan kepada saya ialah "baca buku Islam and Secularism yang ditulis Prof Naquib sebanyak 3 kali. Ulang jika tak faham."
Sering kali orang mempertikai hasil karya ISTAC yang amat sukar untuk dibaca. Tetapi kini saya faham kerana pada zaman dahulu pun bukan mudah para ulama' dan failasuf Muslim untuk memahami teks-teks berat Aristotle dan karya-karya falsafah Yunani yang lain.
Apatah lagi seperti Imam Al Ghazali yang begitu tekun memahami persoalan semasa yang menimpa umat Islam pada waktu itu seperti cabaran aliran Batiniyyah. Untuk beliau mematahkan hujah segala bentuk pemikiran yang mampu meracuni akidah umat Islam, beliau sendiri terpaksa memahami keseluruhan pemikiran tersebut dan antara magnum opus beliau adalah Tahafut Al Falasifah yang terus memancung pemikiran falsfah Yunani yang membawa pengaruh Neoplatonism ke dalam pemikiran ilmuan Islam pada waktu itu sehinggalah pada hari ini.
Setakat ini, hajat saya untuk menyambung postgraduate studies masih berlegar-legar untuk melakukannya di ATMA, UKM di bawah selian Prof Wan sendiri. Saya sedar bahawa apa yang penting adalah ketokohan guru yang ingin kita menuntut ilmu bukan semata-mata nama universiti tersebut. Perkara sebegini telah berlaku kepada dua tokoh besar ilmuan Islam abad ke-20 iaitu Allahyarham Prof Ismail Faruqi yang menarik begitu ramai pelajar ke Temple University di Amerika Syarikat dan juga Prof Naquib Al Attas sendiri dalam jangka masa beliau menjadi Direktor di ISTAC.
Insyaallah, jikalau diperkenankan doa saya oleh Allah Yang Maha Pemurah, bidang yang saya berhajat untuk meneruskan pengajian peringkat postgraduate ini adalah berkenaan epistemologi dan falsafah Melayu (dibawah Prof Wan sendiri) yang mana saya kira penerusan gagasan pemikiran yang dipelopori oleh Prof Naquib sendiri. Tapi Prof Wan dah nasihatkan kepada saya untuk menguasai Bahasa Arab dengan baik sebelum menuntut ilmu di bawah beliau-satu cabaran besar buat saya.
Jikalau dilihat tentang perkara yang ingin saya lakukan ini tentu sekali tidak bernilai dari sudut ukuran material jurusan postgraduate seperti MBA dan yang seangkatan dengannya tetapi saya yakin dan percaya dengan gagasan pemikiran yang dibawa oleh Prof Naquib ini.
Maka atas dasar itu juga saya telah 'memborong' beberapa buku-buku ISTAC sewaktu Jumble Sale buku yang diadakan di UIA pada minggu lepas.
Mungkin diri ini sudah dijangkiti virus ketagih buku. Sekadar ingin berkongsi beberapa buah koleksi buku-buku penting yang menjadi fokus saya pada ketika ini.
1. Mutiara Taman Adabi oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud
2.Orientalis dan Diabolisme Pemikiran oleh Dr Syamsuddin Arif
1. Iklim Kehidupan Intelektual di Andalusia oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud
2. Pembangunan di Malaysia oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud.
3.Budaya Ilmu: Satu Penjelasan oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud.
1. Islam and the Challenge of Modernity ( ISTAC Conference Proceedings)
2. Risalah untuk Kaum Muslimin oleh Prof Syed Naquib Al Attas
1. Islam and Secularism oleh Prof Syed Naquib Al-Attas
2. The Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib Al-Attas oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud.
2 Prologomena to the Metaphysics of Islam oleh Prof Syed Naquib Al-Attas
1. Makna Kebahagiaan dan Pengamalannya Dalam Islam oleh Prof Syed Naquib Al-Attas (terjemahan oleh Dr. Zainy Uthman)
2. Islamic Science oleh Dr. Alpraslan Acikgenc
Khamis, 10 Julai 2008
Menentang Neoliberalisme di kampus
Oleh Wan Ahmad Fayhsal
Melihat rakyat terseksa dalam berhadapan dengan polemik kenaikkan harga minyak yang begitu tinggi, apakah peranan mahasiswa buat masa ini? Pilihan Raya Kampus makin hampir. Adakah itu yang akan menjadi agenda utama para aktivis kampus? Dalam keadaan serba susah sebegini, mahasiswa masih mampu menikmati pelbagai jenis kelebihan yang rakyat marhain biasa tidak mampu miliki. Antara kelebihan yang dimiliki oleh golongan siswa ialah kekuatan intelek dalam menganalisis dan menyelesaikan masalah yang ada.
Sudah sampai masanya mahasiswa sendiri berpusing 180 darjah dalam menilai permasalahan yang ada. Kita tidak perlu bersifat begitu populis sehingga mengaburi idealisme yang seterusnya menjadikan kita kurang relevan sebegai penyelesai masalah dalam masyarakat.
Kita sedar pada hari ini berbagai-bagai propaganda dilontarkan oleh media
Tetapi bagaimana ya? Bukan mudah bukan? Kita ditakutkan dengan AUKU dan sebagainya. Usah bimbang. Perjuangan yang kita harus lakukan ini bukanlah bersifat partisan yang sempit dan mampu menggugat kestabilan kuasa politik yang ada sekarang. Kita seharusnya mencantas akar permasalahan, bukannya ranting-ranting kering yang sudah uzur dimamah ulat.
Apakah masalah yang kita alami ini? Antaranya adalah masalah ekonomi. Masalah ekonomi ini bukannya datang secara bergolek. Ia telah melalaui proses yang panjang sehingga terbentuknya, seperti mana konsep “common sense” dan “hegemoni” yang dikemukakan oleh Antonio Gramsci, seorang intelektual Marxis Itali yang dipenjara semasa era rejim Fasis Benito Mussolini.
Persoalan yang lebih dasar seperti eksploitasi secara diskrit ( penderaan emosi, intelek) dan konkrit (beban kerja, kebajikan yang tempang) yang dianjurkan oleh sistem neolibral-kapitalis tidak dibicarakan secara sihat dan terbuka kepada masyarakat. Musuh sebenar kaum marhain di negara ini ialah sistem neoliberal-kapitalis yang membawa keuntungan kepada si kaya dan menghimpitkan lagi kehidupan si miskin, yang rata-ratanya kaum pekerja.
Maka apabila mereka berjaya menguasai perbincangan ekonomi di Malaysia melalui kaca mata neoliberal-kapitalis, secara automatik seperti Gramsci perkatakan bahawa kesemua itu akan bertukar daripada “hegemoni” kepada satu “common sense” yang akhirnya diterima pakai oleh semua ahli ekonomi, perniagaan dan para pemimpin Negara dalam menguruskan ekonomi dan hala tuju negara.
Buku teks yang ditulis Samuelson itu pertama kalinya diterbiktan pada tahun 1948 dan telah diterbitkan sehingga edisi ke-18. Pengaruh buku teks ini sangat jelas apabila ianya telah diterjemah kepada 40 jenis bahasa dan telah terjual sebanyak 4 juta naskah sehingga ke hari ini.
Begitu juga buku teks yang ditulis Mankiw telah digunakan hampir di kesemua institusi pengajian tinggi yang menggunakan bahasa pengajaran Bahasa Inggeris.
Buku-buku ini saban hari telah membentuk pemikiran para mahasiswa ekonomi di serata dunia untuk berfikir HANYA dalam kotak pemikiran ekonomi neoliberal. Maka setelah mereka bergraduasi menjadi ahli ekonomi, usahawan, dan ahli politik yang banyak membuat dasar untuk masyarakat dan negara, secara sedar ataupun tidak mereka hanya menggunakan model tersebut secara membuta tuli kerana sepanjang mereka hidup hanya model anjuran sistem neoliberal-kapitalis tersebut menjadi sandaran kepada perancangan mereka.
Untuk itu, buat para aktivis kampus, perjuangan ini tidaklah serumit AUKU tetapi cukup penting kerana dampaknya pada masa hadapan amat jelas sekali. Buat permulaan para aktivis kampus melalui badan-badan yang relevan bolehlah membuat kempen dan permintaan untuk merangkumkan beberapa prinsip penting ke dalam silibus pengajian ekonomi di institusi pengajian tempatan kita antaranya adalah:
1) mengiktiraf bahawa bidang ilmu ekonomi adalah subset kepada bidang ilmu Alam Sekitar dan bukan sebaliknya dimana subjek ekonomi melihat alam sekitar sebagai subset kepadanya.
2) Mengiktiraf bahawa manusia sangat bergantung kepada kestabilan alam sekitar. Jikalau alam sekitar rosak, maka masa depan manusia juga akan merasa akibatnya.
3) Mengikitraf bahawa sumber alam sedang semakin berkurangan kerana kadar penggunaanya yang cukup berleluasa hasil daripada
4) Mengiktiraf bahawa model ekonomi yang menjaja model “Pasaran Bebas” (free trade) telah membenarkan syarikat-syarikat besar berlaku tamak dalam mengaut sumber alam dengan begitu rakus sehingga menghasilkan liabiliti kepada masyarakat yang terpaksa berhadapan dengan karenah mereka.
5) Mengiktiraf bahawa setelah keperluan asas manusia mencukupi seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian, pembangunan ekonomi hanya memberi sedikit dampak untuk meningkatkan kebahagiaan manusia.
Penulis percaya dengan berlakunya revolusi pendidikan ekonomi di institusi pengajian tinggi negara kita, rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti pada masa akan datang.