Selasa, 17 Jun 2008

Mitos Tamadun Petroleum




Oleh Rausyanfikir


Tahukah anda bahawa tamadun manusia yang wujud pada hari ini merupakan sebuah Tamadun Petroleum? Mungkin ramai yang tidak sedar betapa kebergantungan kita ataupun lebih tepat ‘ketagihan’ terhadap emas hitam ini, adalah amat dahsyat. Kita makan, tidur dan hidup dengan petroleum sepanjang masa ini. Mungkin ada yang bertanya apa kaitan dengan makanan bila kita membicarakan petroleum?

Zaman yang diterajui oleh sains dan teknologi ini merupakan satu zaman mekanikal. Kerja-kerja pengusahaan makanan memerlukan jentera-jentera yang besar bagi melicinkan kerja-kerja pertanian. Ditambah pula, penggunaan racun rumpai yang diperbuat daripada bahan asas petroleum secara berleluasa menjadikan hamper 90% makanan yang terhidang di atas meja kita dihasilkan melalui hubungan secara langsung ataupun tidak langsung dengan petroleum. Itu belum lagi diukur dengan produl-produk harian seperti sabun, dashboard kereta dan juga plastik pasar raya yang selalu dibuang begitu sahaja. Kesemua produk yang disebutkan tadi merupakan produk yang terhasil melalui bahan asas petroleum dan ini tidak termasuk inovasi yang sering kali berlaku untuk mengurangkan kos penghasilan barangan dan bahan asas seperti petroleum merupakan antara bahan yang sering dijadikan sandaran untuk mengurangkan kos dalam sesuatu inovasi.

Walaubagaimanapun, fenomena ketagihan in adalah sesuatu yang baru dalam usia buat sesebuah tamadun. Kebangkitan ‘Tamadun Petroleum’ ini bertitik tolak daripada Revolusi Industri yang rakus di Britain kemudian merebak ke seluruh dunia melalui ekspedisi penjajahan oleh para Kapitalis Barat yang mana Tanah Melayu pada waktu itu menjadi salah satu mangsa kerakusan mereka. Hajat mereka bertandang ke kawasan yang kaya raya ini didokong dengan kuat oleh idealisme materialis yang terbuku dalam tamadun Barat yang sekular tersebut.

Selepas Merdeka, rata-rata Negara dunia ketiga masih perlu bergantung dengan bekas penjajah dalam usaha ‘membangunkan’ semula tanah air mereka. Ini menjadikan golongan elit yang rapat dengan para penjajah Barat disarung dengan baju pendidikan moden yang sarat dengan nilai-nilai materialistik. Maka tidak hairanlah pada hari ini kita dapat lihat begitu banyak ‘klon-klon’ Negara Barat yang megah membangun seperti Jepun, Singapura dan Hong Kong dituruti oleh golongan elit China dan India. Negara-negara yang diberi jolokan Harimau Asia ini merupakan sebahagian daripada ahli kelab Tamadun Petroleum, teramasuklah Malaysia yang dibangunkan oleh Tun Dr. Mahathir melalui Pensyarikatan Malaysia dan Dasar Pandang ke Timur yang berteraskan industri moden.

Kemakmuran, dan kemajuan yang dicanang hebat oleh para pemimpin negara Tamadun Petroleum in walaubagaimanapun mempunyai beberapa mitos yang terpaksa diheret sepanjang masa. Oleh itu lebih baik kita mengkaji mitos-mitos yang wujud ini secara kritikal bagi menyelamatkan anak bangsa kita dari tertipu dengan haruman wangi yang dibawa oleh gagasan pemikiran negara Tamadun Petroleum.

Mitos 1: Minyak masih boleh dicari semudah dulu.


Antara sifat sesebuah Tamadun Petroleum itu adalah rakyatnya beranggapan sumber alam yang dianugerahkan oleh Tuhan bersifat ‘pulangan’ (income) yang senantiasa akan wujud untuk kegunaan rakyat. Hakikatnya, minyak memiliki sifat seabgai 'aset' (capital) iaitu tidak boleh diganti semula selepas digunakan, tidak sama seperti air yang boleh ditadah dan duit yang boleh dicetak semula. Ramai yang tahu bahawa sumber alam seperti minyak adalah satu bentuk sumber yang tidak boleh diperbaharui tetapi yang lebih ironik adalah amat jarang sekali kita memikirkan tentang bagaimana untuk menghadapi saat kehabisan sumber alam ini.

Perkara ini jelas dapat dilihat melalui kerakusan pembangunan yang dilakukan oleh Negara-negara Tamadun Petroleum ini. Bangunan pencakar langit, kehidupan 24 jam sehari dan gaya hidup yang membazir merupakan antara simptom-simpton yang menunjukkan bahawa masyarakat Tamadun Petroleum ini sudah lali dan ketagih dengan emas hitam ini. Ketagihan yang telah sebati dengan gaya hidup menjadikan kebergantungnan terhadap minyak satu norma hidup masyarakat Tamadun Petroleum.

Kita harus bangun dari tidur ini. Zaman ini merupakan zaman harga minyak mahal. Teori Kemuncak Minyak ( Peak Oil Theory) yang dikemukakan oleh M. King Hubbert pada tahun 1956 sudah hampir menjadi kenyataan. Hubbert, yang merupakan seorang ahli geologi Shelll telah membuat analisa akan jangka hayat profil pengeluaran minyak. Teori yang dikemukakan oleh Hubbert menunjukkan bentuk graf bell curve yang mana semua telaga minyak akan melalui tahap pengeluaran kemuncak kemudian menurun sehingga kering tanpa minyak.

Pada mulanya teori Hubbert ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan ditambah pula dengan penemuan lapangan minyak yang baru (dan besar saiz simpanannya) seperti di Alaska pada tahun 1968 telah menghanyutkan lagi para pemimpin Tamadun Petroleum ke alam mimpi minyak yang dilihat sebagai 'rezeki' yang tidak akan habis.

Association for Study of Peak Oil and Gas (ASPO) yang bertempat di Sweeden merupakan antara penurus gagasan idea Hubbert pada hari ini. Selama ini, seruan mereka telah dipandang remeh oleh industri minyak dan gas tetapi mutakhir ini jelas hasil usaha mereka telah makin diterima ramai. Financial Times, media kapitalis internasional melaporkan bahawa Pengurus Besar Shell, Jeroen van der Veer telah membuat kenyataan:

“ Pada pandangan saya, zaman minyak 'mudah' sudah melepasi kemuncaknya..”

Bendera putih turut diangkat oleh Dr. James R Schlesinger, bekas Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat dengan mengakui bahawa para penyokong teori Hubbert telah “menang”.

Pengakuan-pengakuan sebegini bukanlah satu perkara yang baik untuk dilakukan oleh para pemimpin industri minyak yang kaya raya ini kerana ia bakal membawa pandangan yang negatif terhadap masa depan industri minyak kepada para pelabur tetapi apakah daya yang ada kerana fakta tetap fakta walaupun pahit untuk diterima.

Fakta jelas menunjukkan bahawa lapangan minyak yang sudah lama diusahakan sedang menghadapi masalah pengeluaran. Dalam buku Twilight in the Desert: The Coming Saudi Oil Shock and the World Economy , Matthew R.Simmons telah membahas masalah pengeluaran yang sedang dihadapi oleh lapangan minyak di Arab Saudi yang merupakan pengeluar minyak terbesar di dunia.

Masalah sebegini telah menyebabkan kos pegeluaran minyak meningkat dengan begitu mendadak walaupun revolusi teknologi dalam industri minyak dan gas berkembang pesat. Kerisauan ini turut dilahirkan oleh Pengarah Urusan Petronas,Tan Sri Hassan Marican. Beliau menjelaskan bahawa walaupun terdapat peningkatan keuntungan buat syarikat-syarikat minyak, kos eksplorasi telah meningkat hampir 200 peratus dalam jangka masa 3 tahun kebelekangan ini Ditambah pula peningkatan risiko untuk menggerudi minyak di laut dalam yang boleh mencecah sehingga 8000 meter ( menghampiri ketinggian Gunung Everest). Kesemua ini jelas menunjukkan bahawa Tamadun Petroleum tidak mampu bertahan seperti mana zaman kegemilangannya dahulu.

Mitos 2: Masa depan kita adalah linear
Masyarakat Tamadun Petroleum merupakan masyarakat yang linear. Majoriti daripada mereka beranggapan kitaran hidup mereka tidak akan jauh berubah. Akhirnya, masyarakat yang terbentuk adalah masyarakat yang tidak kritikal dalam menilai masalah secara lebih holisitk. Rata-rata daripada ahli masyarakat Tamadun Petroleum menerima secara terbuka bahawa sistem pendidikan, sistem ekonomi dan gaya hidup yang ada inilah hakikat sebenar buat diri mereka. Jikalau hendak dibaik pulih kekurangan yang ada pun lebih sekadar menempel kekurangan tersebyut, bukan melakukan revolusi yang kembali kepada fitrah sifat manusiawi itu sendiri.

Kehidupan seseroang manusia itu senantiasa bergerak ke hadapan. Bagi yang beragama, sasaran akhir senantiasa dilihat dengan jelas iaitu menuju kebahagian abadi di akhirat kelak. Malangnya, ini tidak berlaku dalam kehidupan sehari-harian mereka terutamanya waktu berkerja. Oleh kerana sistem pendidkan kebanyakkan negara-negara Tamadun Petroleum ini bersifat dualisme, membahagikan sistem pendidikan mereka kepada dua; sekular dan agama maka produk yang terhasil melalui sistem pendidikan dualisme ini akhirnya gagal untuk mengintegrasikan nilai spiritual yang dibawa oleh agama kepada nilai material yang menjadi asas kepada kehidupan seseorang anak Adam di dunia ini.

Maka terhasillah slogan dan visi hidup yang merapu-rapu sehingga kesannya dapat dilihat setelah berlakunya masalah. Slogan seperti 'globalisasi' dan 'pembangunan' yang diterap secara halus dalam kehidupan seseroang ahli masyarakat Tamadun Petroleum itu telah memandu mereka ke arah yang merosakkan diri, alam serta keseluruhan planet.

Kehidupan moden yang ada pada hari ini merupakan hasil kraftangan para pemikir mereka yang sujud terhadap model pembangunan kapitalis yang materialisitk yang juga anti spiritual bak kata Karl Marx, “ Agama itu candu buat masyarakat”. Maka penentangan yang terhasil itu pun membawa nilai yang sama bersifat material dan anti spiritual seperti yang didokong oleh Lenin dan Stalin sewaktu Revolusi Bolshevik di Rusia. Mereka inilah antara hero-hero yang dipuja hebat oleh negara-negara maju Tamadun Petroleum.

Kesenangan hidup yang banyak digambarkan melalui panorama material negara-negara maju Tamadun Petroleum telah menyebabkan negara-negara yang baru merdeka iri hati. Maka mereka pun berusaha bersungguh-sungguh untuk meniru dan mengasimilasikan konsep dan pemikiran 'pembangunan' yang dibawa oleh negara-negara maju Tamadun Petroleum tersebut. Secara tidak sedar, mereka terlupa bahawa dalam memandu arah negara mereka yang baru hendak membangun selepas terjajah beratus-ratus tahun, nilai dan budaya negara-negara maju tersebut meresap masuk ke dalam diri masyarakat mereka. Maka lahirlah masyarakat Tamadun Petroleum yang baru hasil proses peniruan model negara maju Tamadun Petroleum di Barat.

Selama hari ini, negara-negara yang sedang membangun ini berbangga dan mendabik dada dengan menara pencakar langit serta kereta nasional buatan sendiri tetapi akhir-akhir ini, hampir kesemua negara-negara Tamadun Petroleum ini sedang berhadapan dengan krisis tenaga yang cukup kritikal. Kehidupan mereka yang dahulunya menganggap minyak bebas mengalir seperti air telah terpaksa diberhentikan secara terperanjat. Mereka seolah-olah tidak percaya minyak yang digunakan tanpa perlu memikirkan had kehabisannya seketika dahulu telah membakar kocek wang mereka pada hari ini.

Kebergantungan masyarakat Tamadun Petroleum terhadap kenderaan yang lahap terhadap minyak telah merosakkan imuniti mereka dalam berhadapan dengan krisis harga minyak. Ditambah pula dengan penarikan subsisidi yang menjadikan minyak dan air tidak jauh beza telah melemahkan lagi akal mereka dalam menerima realiti yang dahsyat ini. Maklumlah, selama hari ini minyak ini disangka akan habis tetapi jangka masanya nun jauh lagi dan tidak perlu difikirkan sangat. Malang tidak berbau, apa yang disangka tidaklah seperti yang diharapkan.

Gandhi pernah berkata “ dunia mampu memberi keperluan setiap manusia tetapi dunia tidak mampu untuk memberi untuk ketamakkan semua manusia”. Maka, dunia yang ada pada hari ini merupakan dunia yang sarat dengan ketamakkan manusia. Idea 'pembangunan' dan 'globaliasi' yang ditaja oleh negara Tamadun Petroleum dari Barat telah merosakkan dunia. Pemberian subsidi yang berterusan dari dahulu membuatkan masyakarat Tamadun Petroleum tidak menghargai sumber alam yang sedikit tersebut. Dengan rakus, mereka meneruksan projek 'pembangunan' dan 'globaliasasi' tanpa memikirkan secara serius adakah masa depan dan gaya hidup ini dapat bertahan lagi.

Mitos 3: Kerajaan dan Syarikat Pengeluar Minyak adalah penyebab kenaikkan harga minyak yang menggila.


Sedih mendengar keluhan rakyat meminta kerajaan negara Tamadun Petroleum memberikan semula subsidi. Rakyat masih tidak mampu menanggung penyeksaan hidup yang mana harga petroleumnya melambung tinggi. Tetapi, pernahkah mereka memikirkan perkara yang sama terhadap anak-anak mereka kelak?Bagaimana agaknya cucu cicit mereka akan berhadapan dengan zaman yang kontang minyak? Jauh sekali hendak difikirkan kerana minyak masih mampu dinikmati walaupun mencekik darah harganya.

Sudah semestinya, pengurangan subsidi yang dilakukan oleh kerajaan adalah bersifat strategik. Dengan adanya subsidi, rakyat negara Tamadun Petroleum akan menggunakan minyak yang ada dalam simpanan nasional sewenang-wenangnya tapan memikirkan nasib masa depan rakyat yang mendatang dek kerana harga minyak yang murah.

Kesan pengurangan subsidi ini mampu membantu negara Tamadun Petroleum untuk melakukan muhasabah kembali adakah ini jalan yang patut ditempuhi oleh mereka? Sudah terbukti dengan kesannya bahawa selama hari ini, gaya hidup, sistem ekonomi dan visi yang dipengaruhi slogan 'pembangunan' dan 'globalisasi' telah menghukum kembali masyarakat Tamadun Petroleum yang tertipu mentah-mentah dengan kehidupan moden.

Oleh kerana sistem ekonomi dan pendidikan yang dibangunkan oleh negara Tamadun Petroleum ini didasari dengan kesalahan berfikir yang bercelaru, maka lahilrah berbagai jenis mazhab ekonomi yang merosakkan kehidupan di alam ini. Antaranya adalah neoliberalisme yang meneruskan agenda ekonomi materialistik milik negara Tamadun Petroleum dari Barat.

Harga minyak yang melambung tinggi bukan semata-mata disebabkan faktor kekurangn sumber alam tetapi dibelakang tabir mazhab ekonomi neoliberalisme inilah yang menyebabkan masyarakat Tamadun Petroleum terseksa. Perdangan komoditi yang dijalankan di kebanyakkan pusat penukaran komoditi masa depan ( commodity future exchanges ) seperti New York Mercantile Exchange (NYMEX) dan Bursa Malaysia telah menghukum masyarakat Tamadun Petroleum tanpa belas kasihan.

Ini adalah kerana dalam urusan perdangan komoditi, para pedangang (traders) ini mengutamakan keuntungan melebihi segala-galanya. Seperti contoh, NYMEX telah saban hari menjalankan aktiviti yang melanggar etika manusiawi ( tetapi tidak etika bisnes kapitalis) dengan melakukan transaksi perdagangan minyak mentah 15 kali ganda lebih daripada yang dikeluarkan oleh negara-negara pengeluar minyak dunia .

Ini bermakna terdapat perbezaan kuantiti fizikal yang jelas berbanding kuantiti yang tertera pada papan skrin besar di pusat perdagangan tersebut seterusnya melonjakkan harga minyak mentah ini melebihi harga pengeluaran pasaran.


Secara ringkasnya, kegiatan perdangan komoditi ini bersifat penipuan dimana pertukaran nilai dangangan semasa tidak disandarkan kepada kuantiti fizikal sebenar yang akan wujud pada masa hadapan. Inilah yang dinamakan spekulasi harga di pasaran dan senario harga makanan dunia melambung tinggi turut disebabkan oleh kegiatan yang zalim ini.

Perdana Menteri Malaysia sendiri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan kenyataan kepada komuniti dunia untuk berhenti melakukan perdagangan minyak mentah dalam pasaran masa depan (futures market) untuk mengelakkan daripada sebarang penjualan yang beralaskan spekulasi.

Tetapi dengan hanya melarang tidak mencukupi kerana masalah dasar kepada bencana ekonomi ini terletak jauh lebih dalam daripada sekadar harga. Sistem ekonomi neoliberalisme ini seharusnya dibongkar semahu-mahunya oleh aktivis negara Tamadun Petroleum agar masalah sebegini tidak merebak lebih jauh dalam pelbagai sektor keperluan asasi manusia.

Penyelesaiaan

Adalah amat berbahaya untuk rakyat Tamadun Petroleum masih ingin hanyut dalam mimpi indah ini. Mimpi ini turut dibuai dengan lebih indah apabila para pemimpin politik baik dari pembangkang mahupun kerajaan yang mengambil sikap 'populis' dalam melontarkan kritikan dan penyelesaiaan. Sesungguhnya, apa yang diperkatakan oleh ahli politik negara hanyalah sejemput daripada realiti sebenar yang akan dihadapi oleh masyarakat Tamadun Petroelum. Yang akan merasai keperitan hidup natijah daripada keterbiasaan gaya hidup moden yang obses dengan minyak adalah generasi mendatang yang rata-rata tidak pernah hidup susah. Mampukah generasi muda bertahan tanpa minyak sebagai pencorak kehidupan seharian mereka?

Seharusnya kita menerima krisis harga minyak ini dengan lebih banyak pertanyaan daripada rungutan. Dengan pertanyaan yang lebih kritikal dapatlah kita memahami perkara ini hingga ke akar umbi masalah. Sebarang demonstrasi hendaklah disertai dengan fakta dan penyelesaiaan yang selari dengan realiti.

Apakah pil realiti pahit yang kita terpaksa telan mutakhir ini? Harga minyak akan senantiasa melambung kerana dipengaruhi oleh faktor-faktor yang diluar kawalan kuasa sains dan teknologi seperti teori kemuncak minyak, kos dan risiko yang mahal dalam mengeluarkan lebih banyak minyak.

Seharusnya, rakyat, ahli politik dan para aktivis mengadakan bantahan terhadap penyelesaiaan yang terbantut oleh kerajaan sepertimana yang dijanjikan untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam bagi mengimbangi kesusahan akibat harga minyak yang tinggi.

Percayalah bahawa, dengan hentam semberono, masalah ini tidak akan diselesaikan dari akar umbinya. Hatta seribu protes pun tidak tentu mampu menyelematkan negara Tamadun Petroleum dan masa mendatang daripada kehancuran akibat kerakusan menggunakan sumber minyak sehingga tidak mampu mencari penggantinya kelak. Sudah sampai masanya untuk berubah dan perubahan utama haruslah daripada para pemimpin masyarakat Tamadun Petroleum.

2 ulasan:

SoFF-OnE berkata...

setakat ini, inilah artikel yang paling hampir dengan pendapat dan perasaan saya dengan isu bahan petroleum ni. terima kasih.

Ezrie Hanif berkata...

Saya agak skeptikal, tiada apa yang boleh merubah apa-apa yang terjadi sekarang selagi belum terhantuk, namun saya berpegang kepada pesan Nabi Muhammad bahawa kalau ada benih di tangan tanamlah walaupun esok hari Qiamat. Buat masa ini negara sebagai contoh Brunei masih selesa dengan harga petrol yang murah. Rupanya ada yang yang tidak kena dengan dasar pemimpin negara sejak dahulu lagi...