Selasa, 24 Jun 2008

Dinar Emas dan Realiti Ekonomi baru


Umar Ibrahim Vadillo dan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud dihadapan meja perbincangan.

Minggu lepas saya berkesempatan untuk bertandang ke UKM untuk menyertai wacana bersama Umar Ibrahim Vadillo dan juga Prof Wan Mohd Nor Wan Daud. Bertempat di Institut Alam dan Tamadun Melayu, wacana tersebut telah menarik beberapa ahli akademik dari UKM serta wakil-wakil badan kerajaan dan bukan kerajaan.



Pernah dengar nama Umar Ibrahim Vadillo? Bagi sesiapa yang sering mengikuti isu dinar emas maka nama sebegini tidak asing lagi. Beliaulah individu yang telah melobi kepada Tun Mahathir selepas negara di landa krisis mata wang 1997 untuk bertukar kepada dinar emas. Dari tahun 1992 lagi Umar telah berusaha keras untuk mencipta iklim ekonomi yang bersandarkan dinar emas yang sepatutnya menjadi mata wang umat Islam.


Mungkin ramai yang bertanya kenapa dinar emas dan bukan wang kertas? Ketahuilah bahawa wang yang kita miliki dalam dompet bukanlah harta kekayaan yang sebenar. Dipanggil sebagai fiat money, wang kertas merupakan pada asalnya bertindak sebagai 'medium of transaction' kepada urusan jual beli yang dilakukan.


Ramai yang tidak tahu sejarah kewujudan wang kertas dan bagaiamana sistem ekonomi kita tercipta. Dalam wacana tersebut, Umar telah menceritakan kepada para hadirin bahawa seabad yang lalu sejarah manusia telah menyaksikan satu 'perkahwinan' yang unik antara Central Bank dan juga Government. Maka lahirlah sebuah institusi yang bergelar 'Nation State' (Negara Bangsa).


Malaysia merupakan negara bangsa dan begitu juga 100 lebih negara yang wujud di dunia ini. Tidak ada satu pun negara (mungkin Vatican tidak ada) yang tidak empunya central bank. Peranan central bank bukanlah kecil malah merupakan antara nadi utama buat sistem ekonomi kapitalis untuk berjalan lancar.



Di Amerika kita ada Federal Reserve(ringkasnya bergelar Fed) yang dahulunya dipimpin oleh lagenda Alan Greenspan dan sekarang ini oleh Ben Benarke. Segala percapakan yang dinyatakan oleh chairman Fed pada media akan diterjemah menjadi satu petunjuk ekonomi. Mana tidaknya, kita semua tahu US Dolar merupakan mata wang yang melakukan hegemoni ke atas hampir semua transaksi jual beli dunia.



Jikalau Amerika bersin, dunia akan mendapat flu. Begitulah perumpamaan yang dilakukan oleh banyak ahli ekonomi akan pengaruh Amerika ke atas masyarakat dunia. Hegemoni yang tercipta ini ditunjangi oleh sistem wang kertas yang dikeluarkan secara berleluasa tanpa sebarang sandaran kepada kekayaan sebenar yang intrisik seperti emas, dan galian yang berharga.



Persidangan Bretton Woods pada tahun 1944 telah melahirkan IMF dan World Bank turut sama memperjelaskan sistem mata wang dunia yang bersandarkan nilai emas (backed by gold). Sistem ini hancur pada tahun 1971 kerana Amerika berhenti melakukan convertibility dari dolar kepada emas.


Maka yang ada pada hari ini adalah mata wang yang floating tanpa disandarkan kepada aset kekayaan yang tangible (kukuh, selamat) seperti emas. Secara ringkas, wang kertas yang kita miliki itu hanyalah kertas biasa. Jikalau berlaku kegawatan ekonomi yang serius nilai wang tersebut hanyalah nilai kertas biasa.Perkara sebegini pernah berlaku pada tahun 1930 dalam insiden yang dipanggil The Great Depression di Amerika dan Eropah.



"1 dirham harga ayam pada zaman Rasulullah S.A.W bersamaan juga 1 dinar harga ayam pada zaman sekarang. Dinar emas tidak dipengaruhi oleh ketidak stabilan pasaran dunia. Kenaikkan harga minyak yang kita alami sekarang turut dipengaruhi oleh faktor sebegini." kata Umar kepada para hadirin.



Beliau sendiri menolak sistem perbankan Islam yang ada kerana melihat Islamisasi perbankan konvensional itu seperti kita memperkatakan bahawa sistem kapitalis perlu 'syariah compliant'. Sistem kapitalis yang berteraskan wang kertas walau macam mana di'islam'kan pun tetap bertentangan dengan sistem ekonomi Islam.




Saya tidak berasa pelik dengan kenyataan yang boleh dikira ekstrim di mata orang ramai. Saya percaya ramai ulama' yang membuat fatwa dan yang merencanakan sistem perbankan Islam tidak mengetahui akan asal usul sistem perbankan moden yang wujud pada hari ini dan tentang pengaruhnya yang dahsyat. Maka kita dengan mudah menerimanya serta menolak ketepi mata wang yang sepatutnya menjadi asas kepada muamalat umat Islam.


Pernah saya hadiri beberapa siri persidangan berkenaan dinar emas yang disampaikan oleh seorang pensyarah UIA bernama Kamal Mydin Meera. Memang jelas sekali wang kertas yang kita ada inilah merupakan tunjang ekonomi riba yang menyaksikan kemiskinan dan kemusnahan tamadun manusia moden.



Jikalau kita kaji sejarah perbankan moden yang diwujudkan oleh Rothschild, pasaran saham, Revolusi Industri, Bretton Woods dan senario-senario yang pernah wujud sekitar abad ke-19 dan 20 kita akan menyaksikan bahawa dinar emas merupakan penyelesaiaan kepada masalah ekonomi dunia.



Umar memuji usaha kerajaan negeri Kelantan untuk mempergiatkan penggunaan dinar emas sebagai alternatif kepada wang kertas dalam urusan muamalat. Tidak lupa juga kepada Tun Mahathir yang proaktif dan bijak menilai kepapaan sistem ekonomi moden dengan memberi sokongan kepada usaha dinar emas ini walaupun beliau sendiri tidak sempat memperkemaskan perancangan tersebut kerana persaraannya.



"Hatta orang Amerika sendiri tidak mempercayai mata wang mereka. Mereka menganggap monopoli Federal Reserve dalam bab ini telah memberi banyak kesusahan kepada mereka tatkala ekonomi dunia semakin bermasalah. Walaupun mereka tidak ada syariat yang menyuruh mereka bertukar kepada emas, mereka telah menubuhkan beberapa institusi alternatif kepada sistem wang kertas ini. Antaranya adalah kumpulan Liberty Dollar yang telah menarik hampir 5 juta rakyat Amerika untuk memahami dan memilih alternatif mata wang yang lebih selamat."



Perbincangan hangat menyusul selepas selesai sesi saudara Umar bercakap dengan pertanyaan-pertanyaan yang kritikal. Secara keseluruhan, wacana tersebut telah berjaya mengubah paradigma hadirin yang hadir terutamanya ahli akademik ekonomi dalam menilai semula sistem ekonomi kapitalis yang kita guna kepada sistem ekonomi yang sepatutnya kita miliki dan salah satu mekanismenya adalah dinar emas.






P/S: Tertarik saya melihat seorang yang buta menyertai sesi wacana tersebut. Rupa-rupanya semasa saya makan berdekatan dengannya, tanda nama yang terpampang di dada beliau tertera perkataan "PENSYARAH". Semoga Allah memberkati hidup beliau dengan semangat dan ilmu yang bermanfaat.


3 ulasan:

sebol berkata...

Macam mana saya nak sertai aktiviti yang melibatkan dinar emas?

ada NGO khas?

berikut adalah catatan saya yang terkini berkenaan emas.

Pengeluaran KWSP untuk membeli Emas

Mohd Hilmi Ramli berkata...

Salam

Selepa zaman Tun Mahathir, dinar emas tidak dipedulikan.

Memang perbankan Islam bukan wacana ekonomi Islam yang tulen. Sifat perbankan Islam masih memerlukan penilitian kritikal.

Walaupun ana bertugas dalam dunia perbankan Islam, ini realiti yang harus dilihat dengan kritis.

Namun, perbankan Islam sekurangnya bebas dari elemen riba, perjudian, spekulasi, haram, perjanjian berakad dll. Dalam perbankan Islam, setiap produk telah 'diIslamkan'. Ini ikhtiar seminimum mungkin dilakukan 'Ahli Majlis Fatwa' dalam perbankan Islam.

Perjalanan ekonomi Islam berteraskan dinar emas masih jauh. Ijtihad sekarang ialah mengIslamkan sistem ekonomi konvensional yang wajar diIslamkan.

Wallahualam

irsyad22 berkata...

entry yg menarik...thanx bro..