Jumaat, 25 April 2008

Rempah ratus cuti hujung minggu

Hujung minggu merupakan antara masa yang dinanti-nantikan oleh kesemua pelajar UTP. Buat diri saya, memang menjadi kebiasaan selang 2 minggu akan saya habiskan masa hujung minggu ini di Kuala Lumpur bersama Ibu dan kedai-kedai buku yang terdapat di Jalan TAR dan KLCC.

Minggu ini, saya pulang dengan urusan mesyuarat bersama ahli editorial akhbar Siasah bersama beberapa mahasiswa dari IPT sekitar Lembah Kelang bagi membicarakan beberapa perkara penting berkenaan mahasiswa dan media alternatif.



Allahyarham Rustam Sani-pemergian beliau akan dirasai oleh para aktivis masyarakat.

Selang beberapa hari yang lepas, saya dikejutkan dengan pemergian Rustam Sani, seorang aktivis yang sering artikelnya saya rujuk dalam media alternatif. Sebelum ini saya hanya menganggap beliau sebagai kolumnis bebas yang senantiasa memberi komentar yang tajam berkenaan isu semasa dan politik nasional.


Rupa-rupanya, beliau mempunyai lebih banyak ‘rahsia’ yang saya tidak ketahui. Antara butiran diri arwah yang saya tidak ketahui ialah bahawa beliau adalah anak kepada pejuang nasional Melayu kiri yang cukup terkenal di zaman Dr Burhanuddin Al Helmy iaitu Ahmad Boestaman.



Allahyarham Rustam Sani juga sebenarnya bukan sekadar kolumnis malah juga merupakan seorang intelektual yang celik kepada masalah semasa. Beliau pernah menjawat jawatan Associate Professor di UKM dalam bidang sains politik pada era 80-an.


Esok, Sabtu 26 April 2008, sepatutnya beliau akan menghadiri sesi pelancaran 2 buku baru beliau yang akan dirasmikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perpustakaan Negeri Selangor di Shah Alam. Majlis tetap akan diteruskan dan dijangka Anwar akan turut bersama dalam sesi tersebut yang dikelolakan oleh SRID. Sudah tentu saya akan ke sana bersama abang Haris Zalkapli dan beberapa lagi wartawan Siasah.



Sampai sahaja saya di Puduraya sekitar jam 12 tengah hari tadi, objektif pertama ialah mendapatkan majalah Islami no.1 Indonesia-Sabili di kedai majalah yang sederet tersebut. Syukur dapat dan seperti biasa artikel di dalamnya unik dan menarik hendaknya selepas sahabat saya saudara Herry Nurdi menjawat jawatan ketua editor majalah tersebut baru-baru ini.


Sepatutnya majalah Milenia Muslim sudah ada di pasaran sekarang tapi tidak nampak pula di kedai majalah tersebut.


Jam semakin berdetik pantas menandakan waktu Zuhur hampir masuk. Hendak solat di mana agak-agak? KLCC atau Masjid Jamek? Akhirnya saya memutuskan untuk solat di Masjid Jamek memandangkan masih banyak ruang untuk saya berehat sebelum menunggu khutbah jumaat berlangsung.Jikalau solat di KLCC sudah tentu sekitar jam 12.45 pm berduyun-duyun manusia membanjiri ruang solat masjid As-Syakirin tersebut.


Selesai solat saya bergegas ke Jalan TAR bagi mencari juadah makan tengah hari. Dalam perjalanan ke Restoran Insaf saya singgah sebentar di kedai majalah Mamak yang terletak di sebelah Emporium MYDIN. Ah! Itu pun dia majalah Milenia Muslim!


Wow! Menarik sungguh cover page edisi Mei ini. Yang lebih teristimewa ialah tajuk artikel saya menjadi tajuk besar di muka hadapan majalah tersebut! Syukur dan terharu rasanya. Mungkin pihak editorial cuba highlight isu krisis makanan yang digembar gemburkan bersama isu biofuel mutakhir ini.



Artikel yang dimuatkan dalam majalah tersebut saya siapkan sebulan yang lepas selama 2 hari di dalam bilik hostel di UTP. 2 hari yang solid dengan kajian melalui internet dan beberapa buah buku yang saya bawa dari rumah menjadikan sumber-sumber tersebut sebagai rujukan utama. Proses menulis artikel tersebut boleh dikiaskan seperti mencatum kepingan jigsaw puzzle yang datang dari pelbagai sumber dan ragam.


Agak-agaknya UTP marah tak tulis artikel macam ni?


Cantuman-cantuman maklumat itu akan saya perhalusi dan perkemaskan dengan gaya bahasa yang lebih santai untuk kesusaian para pembaca umum yang jarang sekali peka dengan isu makanan ubah suai genetik (GM). Satu lagi hasil kerja yang menambahkan semangat dan motivasi saya untuk terus menulis tajuk-tajuk yang tidak mainstream seperti politik semasa tetapi cukup penting dalam mengenal pasti permasalahan semasa umat.


Ah terlupa nak cerita pengalaman menarik. Sebelum saya berhenti membeli majalah di tepi MYDIN, sempat saya bertenggek sebentar di hadapan Masjid India mendengar ceramah akademik yang disampaikan oleh pakcik berjubah biru.

Sudah maklum bahawa ruang kosong kaki lima di hadapan Masjid India selalu menghidangkan pelbagai ragam manusia yang berceramah mengenai pelbagai hal. Kali ini saya terserempak dengan pakcik yang menggelar dirinya sebagai ‘KETUA SAINTIS DUNIA’. Sekilas pandang rasa macam pakcik ini orang kurang siuman. Tapi ternyata tidak. Ternyata beliau unik.


“Orang melayu kena guna otak kanan dalam belajar Matematik!” Jelasnya kepada para pendengar.


Beliau melakukan demonstrasi matematik yang unik dan kreatif di hadapan khalayak ramai. Setelah selesai menerangkan satu contoh soalan berserta penyelesaian, beliau menawarkan kepada mana-mana pihak yang ingin memiliki set naskah ringkas catatan yang beliau tulis untuk memahami teknik yang beliau paparkan sebentar tadi. Saya membelinya dengan harga RM5.


Ternyata pakcik yang bernama Abdul Halim Bustaman ini bukanlah orang gila. Beliau merupakan bekas guru matematik di beberapa buah sekolah beberapa ketika dahulu seperti yang tercatat dalam dokumen RM 5 yang saya beli. Lampiran gambar bersama beberapa tokoh akademik luar negara turut dimuatkan dalam dokumen tersebut dalam warna hitam putih fotostat.


Beliau menegaskan dalam ceramah ringkas yang disampaikan bahawa kita Orang Melayu kurang menggunakan bahagian otak kanan dalam kehidupan seharian. Demonstrasi penyelesaian masalah matematik yang ditulis pada papan putih itu diselesaikan menggunakan cara yang kreatif yang saya kira, menggunakan kekuatan yang lebih di bahagian otak kanan beliau.


Jikalau direnung secara mendalam, memang betul apa yang dicakap oleh Pakcik Halim itu. Sistem pendidikan kita dari sekolah hinggalah di universiti didominasi dengan bahagian otak kiri dalam penyampaian ilmu serta penyelesaian masalah. Maka tidak hairanlah anak-anak muda kita tidak kritikal dalam menilai masalah yang ada kerana sudah terbiasa disuap dan mengikut aturan yang ada. Bagi yang jenis memberontak dan kreatif, selalunya akan dianggap ganjil dan tidak pandai.




Jauh sekali jikalau hendak dibandingkan dengan pendidikan yang dicorakkan di Barat yang begitu menekankan pendekatan yang lebih holisitik. Sampai sekarang saya masih tidak berpuas hati melihat kualiti mahasiswa UTP yang kononnya dicanang sebagai well rounded hakikatnya indah khabar dari rupa. Rata-rata mahasiswa UTP tidak ubah seperti mesin peperiksaan yang saban hari menghitung GPA dan CGPA dalam kotak minda akademik masing-masing.


Ternyata saya tidak dan tak akan meletakkan diri saya sama seperti rakan-rakan yang senantiasa mendapat anugerah dekan. Serius, bukan saya cemburu cuma rasa proses pendidikan yang saya cari jauh lebih penting daripada sekadar ingin memuaskan hati pihak sponsor dan pihak universiti secara taqlid. Bagi saya, falsafah pendidikan yang saya pasakkan sepanjang 2 tahun lepas selepas mengalami kesedaran intelek adalah ‘belajar untuk mencari Kebenaran’.


Moga-moga Pakcik Halim diberkati Allah atas usahanya yang mungkin nampak remeh di mata orang awam tetapi jikalau direnung dalam lembaran sejarah, kegiatan sebegini merupakan satu budaya di zaman tamadun Abassiah di mana para intelektual dan ilmuan berkumpul bersama orang awam di tempat terbuka bagi menjalankan diskusi berkaitan penemuan baru dalam kajian mereka ataupun sekadar mencetus pemikiran dan budaya cintakan ilmu dalam jiwa masyarakat am.


Selesai makan nasi beriyani di Restoran Insaf saya berangkat terus ke KLCC. Sementara menunggu ibu pulang dari kerja jam 5 petang, saya mengambil kesempatan untuk meluangkan hampir 2 jam lebih di Kinokuniya bagi membelek buku-buku yang menusuk minda.


Berbekalkan biasiswa yang ada, saya keluarkan RM300 untuk membeli beberapa buah buku yang bertajuk:

  1. A brief history of Neoliberalism oleh David Harvey

2. The case against the Global Economy diedit oleh Jerry Mander dan Edward Goldsmith






Untuk penjelasan lanjut mengenai buku-buku tersebut, klik sahaja pada link yang telah saya selitkan pada tajuk buku tersebut.


Selesai berbelanja sebanyak RM 181, saya terus turun ke bahagian concourse bagi menunggu Ibu turun dari pejabatnya yang terletak di tingkat 48 dalam bangunan berkembar Petronas.


Rasanya malam makin tebal dan buku-buku tersebut masih tidak dijamah dengan teliti, adalah lebih baik saya berundur dahulu. Nantikan catatan dan kupasan berita yang lebih menarik!

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah, teringkat kata-kata ex-NC UTM Dr Ridzuan ketika perjumpaan dengan pimpinan mahasiswa UTM (semasa zaman abang dulu-dulu di kampus) "Kecemerlangan bukan bergantung kepada segulung kertas ijazah, tetapi ia adalah garapan dari kutipan pengalaman kehidupan". Belajar bukan kerana segulung ijazah....(Teras N9)

Al-Faqiir Ila Rabbihi berkata...

salam alaik..
sebenarnya sy byk mengikuti milenia muslim sebelum melangkahkan kaki ke bumi UTP.. tetapi sejak masuk ke bumi nih,MM sukar ditemui lg.. ader tak cdngn kayt mana tmpat paling sng sy memperolehi MM...

Pensel 2B berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Pensel 2B berkata...

"Jauh sekali jikalau hendak dibandingkan dengan pendidikan yang dicorakkan di Barat yang begitu menekankan pendekatan yang lebih holisitik. Sampai sekarang saya masih tidak berpuas hati melihat kualiti mahasiswa UTP yang kononnya dicanang sebagai well rounded hakikatnya indah khabar dari rupa. Rata-rata mahasiswa UTP tidak ubah seperti mesin peperiksaan yang saban hari menghitung GPA dan CGPA dalam kotak minda akademik masing-masing."


dan inilah yg turut sama berlaku di UPM sebenarnya saudara.Saya juga seperti saudari mengalami kesedaran intelek sewaktu saya mengambil subjek falsafah sains sewaktu saya berada di tahun 2 UPM dahulu.Pelajar fizik dan matematik hanya belajar kerana ingin mengejar GPA dan CGPA..tidak keterlaluan jika saya katakan ianya seperti sebuah kilang yang mementingkan product yg kuantitinya banyak dan baik berbanding mementingak kualitinya..dan kerana inilah saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yg hardcore jugak iaitu fizik-matematik..

Semoga saudara terus berjuang menggali khazanah ilmu tradisi islam..ini juga adalah salah satu minat saya sewaktu saya sekolah lagi.tapi terhenti apabila masuk kedalam lembaran pendidikan "hafalan" di Universiti..hilang terus.tapi alhamdulillah sekarang sudah mula kembali untuk mentelaah ilmu sejarah perkembangan ilmu islam..dahulu2..semoga Allah merahmati saudara..amin

your comrade from facebook (Ahmad Hazazi -Ahmad-)