Khamis, 13 Mac 2008

Melacak akar pemikiran politik baru di Malaysia.




Oleh: rausyanfikir


Bah besar melanda pantai politik Malaysia. Fenomena ini telah membawa catatan yang baru dalam sejarah rakyat Malaysia. Antara persoalan asas yang kita perlu anjurkan adalah kemenangan siapakah yang kita raikan ini? Bagi penulis, tidak lain tidak bukan ini adalah kemenangan rakyat yang sudah lama ingin menghirup angin perubahan.



Walaupun skala revolusi politik ini tidak sehebat Revolusi Bolshevik (1917) di Rusia, peranan golongan yang sebelum ini dilabel ‘Silent Majority’ oleh kerajaan dalam kempen mengendurkan kesedaran rakyat melalui BERSIH akhirnya terjawab melalui peti undi. Tetapi benarkah ‘kesedaran politik’ telah wujud dalam minda rakyat? Jikalau sudah, sejauh mana kesedaran itu mencapah? Adakah kesedaran berdasarkan sentimen ( masalah ekonomi, harga minyak, Hindraf) ataupun bersifat substantif yang mengetengahkan kesedaran utuh bahawa selama ini rakyat tidak ubah seperti kanak-kanak yang diberi gula-gula berperisa ‘pembangunan, kemodenan dan kemakmuran’ oleh kerajaan BN.



Mungkin kesedaran itu timbul dari dua arah tersebut serentak. Persoalan getir ini adalah bagaimana daripada kesedaran, harapan dan kemenangan ini dapat dijadikan satu bentuk realiti yang lebih kukuh dengan adanya alternatif baru dalam pemerintahan terhadap 5 buah negeri ini. Yang nyata, kertas-kertas undi yang memangkah calon-calon Barisan Alternatif mengharapkan satu pembaharuan yang jelas dapat membezakan ‘yang mana satu intan dan yang mana satu kaca’.




Bagaimana untuk kita mengukur ‘pembaharuan’ yang diharapkan rakyat ini? Selain daripada janji dan manifesto yang ditawarkan, Barisan Alternatif harus peka kepada elemen-elemen yang ingin dilihat membawa kepada pembaharuan. Mudah saja, kita aturkan elemen-elemen tersebut dan bentangkan kata lawannya. Seperti contoh, korupsi lawannya amanah, janji kosong lawannya tunai janji, kronisme lawannya anti-kronisme dan perkauman lawannya kerakyatan. Rakyat akan memerhati dalam masa 5 tahun ini dan pemerhatian ini akan lebih jitu terhadap elemen-elemen yang Barisan Nasional gagal penuhi pada penggal sebelumnya.




Rakyat semakin cerdik. Jaringan maya yang hadir dalam pelbagai bentuk laman web profesional seperti (Malaysiakini) dan amatur (blog) telah membawa arus kesedaran yang tinggi. ‘Demokrasi digital’ yang wujud telah sedikit sebanyak mengangkat nilai informasi kepada rakyat untuk menilai berita dan analisa bagi menimbang tara yang terbaik.




Kemenangan ini perlu disusuli dengan satu reformasi paradigma politik rakyat yang beterusan, pendek kata dalam bahasa Arabnya, tarbiyah yang berkesan. Kelantan merupakan satu contoh yang baik dimana rakyatnya walaupun sekian lama dihimpit cabaran modenisasi palsu masih mampu menilai pembangunan yang lebih berharga: pembangunan yang lebih bersifat holistik merangkumi material yang sederhana, dan juga kerohanian yang mantap.



Tidak hairanlah rakyat Kelantan merupakan yang paling banyak keluar mengundi berbanding negeri-negeri lain. Lihat saja bagaimana anak Kelantan perantauan yang bertebar di seluruh semenanjung pulang ke kampung masing-masing kerana ingin menunaikan tanggungjawab bukan kerana PAS tetapi kerana kepercayaan yang jitu terhadap nilai yang dibawa oleh kerajaan Kelantan dalam memastikan agama, bangsa dan negeri Kelantan terselamat daripada kerakusan politik kapitalis BN.




Walaupun Kelantan tidak sama seperti negeri-negeri lain yang baru dipegang oleh Barisan Alternatif (Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah) dari segi sosio-budaya politiknya, tetapi adalah wajar kepimpinan baru setiap negeri yang baru dipegang ini merangka perancangan untuk memastikan paradigma politik masyarakat setempat kekal dalam konteks yang betul.




Resipi bagi perkara ini boleh dimulakan dengan cadangan yang diutarakan oleh Dr. Nasir Hashim, pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang baru sahaja memenangi DUN Kota Damansara yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihan raya baru-baru ini:

“ Jikalau kita memberi tumpuan penuh kepada kebajikan rakyat seperti mana yang diterangkan dalam manifesto parti masing-masing, maka kita tidak akan terjerat dalam perbalahan ideologi politik masing-masing. Kita mesti memilih kebaikkan yang terbaik untuk majoriti (rakyat)”



Penulis mengambil kira, Dr Nasir Hashim cuba menyampaikan pesanan yang penting kepada semua wakil rakyat dan ahli parlimen yang baru untuk memberi fokus utama kepada isu, berbanding subjek, iaitu kumpulan ataupun individu tertentu. Perjuangan yang menjalar kepada akar umbi rakyat akan membuahkan hasil yang lebih baik kerana ia merentasi perbezaan kaum, dan agama yang sememangnya akan dipergunakan oleh parti pembangkang (dalam kes ini BN bagi negeri-negeri yang telah jatuh ke tangan BA) untuk agenda politik mereka.




Rakyat akan melihat, menilai dan turut sama terjun ke dalam permasalahan yang ada jikalau para pemimpin mereka ikhlas berjuang untuk hak mereka. Pilihan raya kali ini membuktikan rakyat Malaysia masih mampu ‘berkuasa’. Sudah sampai masanya, kita membalas keyakinan mereka dengan usaha gigih yang didasari keikhlasan dan kejujuran.

Tiada ulasan: