Ahad, 16 Mac 2008

Budaya Intelektual yang malap

Artikel ini dipetik melalui laman web sahabat seperjuangan yang agak bersifat memberontak bersama PMIUM sewaktu beliau di kampus dahulu. Abang Din, nama panggilannya, merupakan seorang yang dahsyat bagi saya. Mana taknya, ilmu agama masyuk ( cuti je lepak pondok masa belajar di UM dulu) ditambah lagi dengan ilmu kontemporari dalam bidang falsafah dan pemikiran. Memang jadi rujukan buat saya. Lihat saja artikel di bawah. Agak 'pedas' sedikit untuk sahabat perjuangan saya di kampus serta mana-mana siswa dan siswi yang memandang serong kepada budaya intelektual. Maklumla, banyak diantara kita didoktrinkan untuk pandai buat kerja. Hidup mati sebagai amilin sahaja. Sila lawati laman beliu di http://munawwarah.blogdrive.com

KELAYUAN NILAI KEINTELEKTUALAN DALAM GERAKAN MAHASISWA ISLAM.

Muhammad Nuruddin Bashah

Fakulti Kejuruteraan (Bahan)

Universiti Malaya.

2006

1) Pendahuluan.

Penulisan ini bercorak kritikal dalam membuat pertimbangan dan seolah bersikap pengadilan umum terhadap kelesuan tahap keintelektualan mahasiswa amnya dan para penggerak gerkan mahasiswa khususnya. Pertimbangan mungkin agak kurang lengkap dan janggal diistilahkan sebagai kajian makro disebabkan pengamatan secara peribadi kepada beberapa tingkah dan gerak geri serta pemikiran para pendokong gerakan Mahasiswa. Topik perbahasan ini cuba melihat kelesuan yang menimpa mahasiswa dan pengkhususan perbahasan diletakkan kepada medan persatuan mahasiswa Islam selaku medan penyediaan amilin kebangsaan (reservoir of workers in jamaah).



2) Sorotan pandangan ke belakang.

Sekitar kebangkitan gerakan pelajar di Malaysia pada sekitar 1960an adalah berteraskan nilai keintelektualan. Jolokan mahasiswa sebagai jurubicara masyarakat adalah suatu yang signifikan dengan tradisi mahsiswa zaman itu sejak penubuhan-penubuhan universiti di Eropah iaitu untuk menggerakkkan masyarakat melalui peningkatan taraf pemikiran masyarakat. Masyarakat dievolusikan melalui peningkatan taraf pemikiran generasi muda iaitu melalui penekanan pendidikan kepada sebahagian segmen masyarakat iaitu generasi mahasiswa. Istilah 'mahasiswa' mungkin lebih bermakna daripada istilah 'student' dalam bahasa Inggeris. Lantaran itu kebangkitan mahasiswa timur adalah suatu yang diharapkan daripada perletakan terminologi ini.

Pada sekitar ini, kita melihat taraf mentality masyarakat melayu menjadi kritis dengan kehadiran beberapa ramai generasi mahasiswa yang mendapat tempat di Universiti yang dalam masa yang sama menerima kebanjiran pemikiran luar yang luas, anti dogmatik serta adil dalam membuat apa-apa sintesis keilmuan. Mahasiswa era ini gemar berseminar, berdiskusi serta berbahasan secara adil mana-maa topik terutamanya berkaitan dengan masyarakat. Dengan kurangnya organisasi NGO yang memperjuangkan isu masyarakat menyebbkan mahasiswa dijadikan kayu terakhir untuk dipaut serta menjadi indikator kepada aras kemakmuran masyarakat. Antara sebab mahasiswa hebat dalam kebangkitan intelek pada era ini adalah :

· -Universiti yang dibina tidak banyak serta mahasiswa dianggap golongan 'permata' dalam masyarakat.

· -Kurangnya NGO dan badan yang memperjuang isu masyarakat.

· -Keadaan system kerajaan yang masih muda dan memerlukn golongan intelek memberi idea, membina sisitem melalui perbahasan bersama serta saranan daripada golongan akademik.

· -Sistem pengajian selama sepenggal dan bukan mengikut semester memudahkan pembahagian masa untuk gerakan mahasiwa.

· -Kebebasan daripada pihak universiti untuk mengadakan diskusi-diskusi ilmiah di sekitar universiti.



Pada ketika ini buku-buku yang baru terbit akan diperbahaskan dengan terperinci, dikritik walaupun oleh mahasiswa tahun 1. Pensyarah yang mengarang tesis dan buku atau makalah akan membuka ruang untuk kritikan membina daripada mahasiswa. Namun budaya ini mulai lesu selepas beberapa siri pengekangan terhadap kebangkitan pemikiran mahasiswa sekitar pasca 1971 dan keatas. Penurunan graf ini tidak terlalu mendadak sehinggakan mahasiswa kini tidak menyedari perubahan nilai ini serta menyebabkan mereka kini terlarut dalam dunia kegersangan intelek dan ada dikalangan mereka (walaupun penggerak gerakan mahasiswa) yang sebenarnya memerangi budaya ini. Budaya dogmatik(tidak mahu berubah) dan budaya makan suap idea yang dipertontonkan dengan penuh kejelekan. Mahasiswa yang berasaskan pemikiran Islam kini lupa akan sarana Al Iqra' yang dipaksakan terhadap junjungan besar kita Rasulullah SAW walaupun Baginda Rasul tidak tahu menulis dan membaca. Penghasilan AUKU, penubuhan Kolej-Kolej Universiti semakin menggersangkan lagi keadaan ini.

3) Mengapa gerakan mahasiswa dikaitkan dengan nilai intelek?

Gerakan adalah 'menggerakkan'. Gerakan dalam bahasa Arab adalah Harakah. Harakah adalah proses menggerakkan masyarakat dalam ertikata amalan dan tindakan masyarakat dan semestinya memerlukan usaha memugar pemikiran dan mentliti masyarakat terlebih dahulu. Pemugar masyarakat dalam perbahasan ini adalah mahasiswa. Bagaimana mungkin si pemugar itu sendiri belum memugar pemikirannya? Tahap penakulannya masih di tahap persekolahan, tahap perbahasan masih simplistik seolah-olah peralihan sekolah ke Universiti tidak meninggalkan kesan dalam ruang pemikiran mereka.

Gerakan mahasiswa yang komprehensif, bersepadu dan tersusun adalah pra syarat untuk mengubah pemikiran seterusnya amal dan tindakan masyarakat. Syarat utama gerakan komprehensif dan bersepadu ini ialah titik persamaan diantara segmen mahasiswa yang pelbagai aliran, serta asal usul seperti aliran agama, aliran hedonisme, aliran yang kisah-tak kisah serta aliran yang kritis pemikirannya. Penyatunya adalah kebangkitan nilai bersama iaitu intelektual. Inilah 'hikmah' dan harga diri mahasiuswa yang telah hilang akibat percaturan musuh yang berpaksi machievellian serta kesalahan dan kelalaian mahasiswa yang tidak kenal asal-usul serta tidak mengenal maruah sendiri. Momokan belajar untuk kerja, belajar untuk jam kredit serta belajar yang diorientasikan untuk membayar hutang dan budi kepada sipemberi biasiswa menjadikan mahasiswa lupa matlamat intelek dan misi kemasyarkatannya.



Halangan keintelektualan ini berputik.

· Sikap tidak optimis mahasiswa Islam dengan kebangkitan berteraskan intelek. Mereka ini kebanyakkan salah ertikan kebangkitan Islam yang dikatakan hanya mengambilkira nilai sepunya aqidah mata-mata. Metos klasik yag kita sendiri tidak tahu asal-usulnya ini menjerut minda ahli gerakan Islam kebangsaan.

· Sikap pemimpin mahasiswa yang menekankan nilai dogmatik dan pengikisan nilai skeptical ahli bawahan dalam menilai persekitaran. Penerapan nilai wala' semberono tanpa memberi penafsiran sebenar, terus berlangsung serta penerapan nilai thiqah kepada pemimpin sehingga konsep perkongsian pembuatan keputusan dan pemasakan idea tidak berlaku. Salah laku ini tidak disedari oleh penggerak Islam kerana selesa dengan nilai 'wala' dan 'Thiqah' separuh masaknya tersebut. Mereka perlu digerakkan agar kembali menjunjung tradisi intelek dan keilmuan yang sejati dalam terus memacu gerakan Islam yang tidak mungkin lekang daripada 2 konsep tersebut.

· Penerapan Usrah yang didominasi ideanya oleh seorang naqib. Naqib dianggap guru utama, mahaguru atau Murabbi sehingga saranan dan ideanya tidak dapat disanggah secara rasional dan ilmiah. Sistem unggul ini adalah punca kebangkitan Islam tetapi bukan meda untuk menghasilkan robot-robot pencetak pemikiran yang berbudaya dogma serta taqlid. Minda akal manusia yang berdogma atau bertaqlid ini akan memusnahkan karya-karya mindanya daripada terhasil sekaligus menjadikan gerakan mahasiswa Islam sebagai bahan tawaan masyarakat luar.

· Budaya syura dan perbahasan perlakuan gerakan tidak dilakukan secara perkongsian pintar. Perbahasan dieksklusifkan atas dasar wala', sir dan percaya kepada keputusan atasan. Penulis tidak mempersoalkan tindakan ini yang ada kewajarannya, tetapi perlu juga menerima andaian dan pandangan golongan pekerja dan pemangku daripada bawahan ini. Mereka lah yang merealisasikan gerakan Islam. Merekalah punca adanya gerakan.

· Kurangnya minat mahasiswa terhadap budaya berdiskusi dan berbahas. Mahasiswa kini telah terlarut dalam budaya ananiyyah atau individualistik kerana kerencaman sosial kini. Kerencaman ini memanipulasikan mahasiswa sehingga kurangnya kepekaan dan keseriusan mahasiswa dengan isu agama, isu masyarakat, isu rakyat dan isu mahasiswa sendiri. Mereka kebanyakkannya bukan takut akan risiko tetapi kurangnya concern terhadap persekelilingnya sendiri. Diskusi dan perbahasan yang terlalu sukar dan tinggi topiknya tidak menjadi minatnya. Berbahas topik yang diluar skop akademiknya tidak akan dilayan. Mencari jawapan kepada permasalahan masyarakat diswastakan kepada sektor, lajnah atau biro-biro tertentu.

· Membaca bukan lagi budaya mahasiswa tetapi hanya budaya pelajar post graduates, budaya pensyarah dan budaya 'mat skema'. Menyentuh buku-buku yang bukan alirannya, bukan kursusnya dianggp pelik dan ganjil. Membeli buku bukan lagi budaya mulia, sehinggakan peruntukan pinjaman dan biasiswanya tidak diperuntukkan untuk membeli bahan-bahan ilmiah ini. Kebanyakkan mahasiswa Islam hanya menyentuh dan mengambil kira buku-buku bercorak gerakan Islam dan bercorak Islam. Hasilannya adalah golongan berpemikiran eksklusif yang buta social dan buta medan gerakannya sendiri.

5) Mengapa kita perlu membina langkah mulia ini?

Dalam memacu kepimpinan kampus sekitar era 90an, begitubanyak sumbangan Mahasiswa Islam melalui wacana-wacana, kritikan membina,forum-forum terbuka dan adil perbahasannya berjaya menyentuh media, masyarakat,massa hatta kepimpinan negara sendiri.



Namun penulis berasa agak kesal dengan sikap segelintir generasi kini yang memandang enteng kepada pembinaan keintelektualan. Mereka merasakan saranan menulis, membaca, menyampai dan berdiskusi adalah budaya paksaan yang tidak kena dengan naluri mereka. Mereka terasa terkongkong dan tertekan dengan melupakan asal-usul mereka sendiri. Melupakan hikmah yang cuba diterapkan kepada diri mereka agar mereka layak bergelar mahasiswa Islam. Mereka memperkecilkan usaha dan sikap Ulama' silam seperti Imam As Syafi'e dan Imam Nawawi yang seharian hidup digunakan untuk membaca, menulis dan menyampai ilmu dan dakwah. Mereka lupakan sikap Syed Qutb yang sehingga ketiadaan dakwat dan lampu didalam penjara, masih kental hasratnya utuk menulis. Mereka lupa sikap Imam mereka sendiri iaitu Imam as-Syahid Hassan Al Banna yang menulis sedari berumur 11 tahun untuk menyebar fikrah dan dakwah. Mereka lupakan peranan A. Samad Said (tokoh Sasterawa Negara) yang bermatian menulis dan menyebar tulisan ilmu politik era 1950an dala usaha membantu Dr Burhanuddin Al Helmi menggerakkan minda masyarakat Melayu dahulu. Mereka lupakan jasa-jasa Ibrahim Yaakub di MPSI yang bertungkus lumus menghasilkan tulisan pendek serta mendiskusikan tulisan tersebut untuk kebangkitan KMM dahjulu. Mereka lupa sejarah mereka. Mereka terlarut dengan ananiyyah dan ketidak optimisan dalam kebangkitan Islam akibat pensekularan pendidikan mereka. Mereka menjadi api dalam sekam dalam gerakan pelajar Islam. Mereka lupa mereka adalah musuh gerakan Islam.

Apakah masalah intelektualan dalam persatuan Islam Mahasiswa?

· Tiada penegasan dan showmanship daripada pemimpin sendiri. Pemimpin gerakan sendiri buntu ideanya dalam memperkasakan 'intelek' kerana kerangka mereka sendiri bukan berasaskan klausa tersebut. Pemimpin tidak gemar membaca, mentelaah buku, mencari idea baru, berdiskusi tajuk kritikal serta menyediakan medium perbahasan kepada ahli mereka sendiri.

· Penggerak persatuan tidak tahu buku dan bahan yang mana perlu diutamakan untuk dibaca. Mereka yang disarankan membaca buku haraki hanya akan kekal dengan buku tersebut. Yang disarankan membaca ilmu siasah akan hanya kekal dalam perbahasan itu. Terdapat juga ahli yang melangkaui tahap dan level sehingga berusaha menggapai buku dan perbahasan tinggi dengan melupakan basicnya yang lemah dan dangkal.

· Ahli tidak konsisten dalam pembacaan dan pengiltizaman ilmu. Mereka akan melupakan buku agama dan kitab agama bila diutarakan tajuk isu semasa. Mereka akan melupakan buku-buku dan tajuk-tajuk harakah apabila disarankan keilmuan pengurusan organisasi. Mereka mudah lupa dan tidak merancang ruang masa dan ruang otak mereka. Mereka agak gopoh dan tidak memahami asas epistimologi.

· Terdapat dikalangan ahli yang menjadi musuh keintelektualan mahasiswa.

· Tidak menjadikan ruang masa yang ada serta kemodenan (yahoogroups) sebagai medan peningkatan keilmuan dan peningkatan tanggapan mereka.

· Membeli buku dianggap membazir. Budaya ke perpustakaan hanya untuk mendapat tempat selesa dikala musim peperiksaan.

6) Persediaan pembinaan generasi intelek.

· Sebelum terlibat dengan gerakan diskusi keintelektulan dan pembinaan minda yang agak liberal dan bebas kadangkala ditaja oleh golongn yang tiada basis Islam, maka diperlukan mahasiswa ini mengekalkan basic agama dan keilmuan agama yang kukuh dalam mengelakkan kita terlarut dalam pemikiran-pemikiran ini.



· Perdisiplinan focus. Mahasiswa perlu menfokuskan kesemua bidang dan cabang ilmu serta tidak melupakan mana-mana bidang yang pernah diceburi, dikaji dan dihayati. Inilah kelemahan utama para mahasiswa. Meninggalkan perbahasan harakah apabila sibuk dalam perbahasan politik kampus dan negara.



· Mempraktikkan budaya gilakan buku, diskusi dan seminar walau dimana sahaja diadakan. Menyebarkan maklumat serta cuba mengorganisasikan rakan sekitar untuk menyebarkan maklumat dan isu yang difahami.



· Menyediakan motivasi kendiri untuk menjadi insan yang cintakan ilmu agama dan ilmu duniawi demi kemaslahatan masyarakat seperti bergaul dengan golongan intelek, berhubung dengan organisasi yang kritikal dalam isu semasa dan isu Islam, serta lain-lain kaedah.



· Menganggap membeli buku, menghabis wang untuk seminar dan untuk pergi ke tempat ilmiah sebagai suatu infaq.

7) Penutup.

Prasyarat kejayaan misi ini adalah dengan mempraktikkan isi tulisan ini serta tidak membuang bulat-bulat ideanya. Perenungan ke belakang penting untuk menilai tapak ke hadapan. Muhasabah tanpa tindakan adalah perkara kelakar. Merancang tanpa pelaksanaan adalah perkara bodoh. Keputusan bersama yang tidak diperaktik bersama secara kolektif bukannya budaya harakah.



4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah kepada penulis yg telah copy paste artikel yg agak 'lusuh' ni... rasanya sekitar tahun 2006 sudah dibaca artikel ini...cuma mungkin penulis patut juge highlight point2 berikut yg sgt penting untuk diambil pusing...

(1)
Mana taknya, ilmu agama masyuk ( cuti je lepak pondok masa belajar di UM dulu) ditambah lagi dengan ilmu kontemporari dalam bidang falsafah dan pemikiran
- Sewajarnya kita mncontohi sikap yg baik ini di mana beliau mengambil langkah2 yg vital dlm membina tapak (agama).. spy nilaian terhadap hal2 atau bidang2 yg lain lebih 'terpelihara'

(2)
Terdapat juga ahli yang melangkaui tahap dan level sehingga berusaha menggapai buku dan perbahasan tinggi dengan melupakan basicnya yang lemah dan dangkal.
- Padah sebginilah yg kita boleh elakkan bilamana kita berusaha membariskan step2 yg baik dlm membina tapak sebagaimana diutarakan pd point yg pertama tadi.

(3)
Mereka akan melupakan buku agama dan kitab agama bila diutarakan tajuk isu semasa. Mereka akan melupakan buku-buku dan tajuk-tajuk harakah apabila disarankan keilmuan pengurusan organisasi. Mereka mudah lupa dan tidak merancang ruang masa dan ruang otak mereka. Mereka agak gopoh dan tidak memahami asas epistimologi
- ....dan inilah kesan sampingannya....

p/s: sgt setuju dgn artikel ini dlm banyak hal yg diutarakan. tinggal lagi kita amat perlu bijak dlm menilai kepentingan bidang yg 'lebih penting' sebelum yg 'penting'.yg 'ain' sebelum 'kifayah'nya. merangkak sebelum berjalan... lesen L sebelum P... begitulah seterusnya...

Rausyanfikir berkata...

Lusuh buat anonymous yang 'lusuh' topengnya kerana tidak menyertakan nama dalam memberi komen. Artikel ini mungkin tidak sesuai dengan 'maqam' anonynous tp bagaikan intan buat adik2 yang masih tidak didogmakan pemikiran perjuangan.

Hujah yang bernas. Tp selama hari in, hujah ini sering diguna pakai secara defensif untuk menjadikan haraki itu satu dogma as if hanya buku2 keluaran DPF yang layak masuk silibus usrah.


Malah, menjumudkan amilin2 yang sepatutnya diberi ruang yang luas untuk eksplorasi ilmu. Sudah tentu dalam ruang linkup Islam.

jangan jadikan alasan awlawiyat untuk tidak menjamah buku di library langsung. Sikap dan mentaliti andalah yang menjadikan anda begitu.


Bagi saya, kita selarikan. Jangan jumudkan diri semata2 dengan Ustaz2 PAS sahaja. Yg menjadi masalah ialah apabila kita 'eksklusifkan diri' perjuangan Islam dalam POLITIK DAN PAS.

Bukakla buku Aqidah dan perjuangan Allahyarham Ust Fadzil Nor. Masakan beliau boleh tulis begitu tanpa merujuk bahan ilmu yang mencapah jauh.


Bak kata org, orang Melayu kita hanya 'jaguh politik kampung'.

Sampai kiamat xkan perfect ilmu didada manusia. Yang penting kita pelahap pada ilmu. Baca semua dan utamakan yang mana Fardhu Ain. Tapi di Malaysia ni, bila dah tumpu Fardhu Ain tu jadi masalah khilaf. Salah siapa? Salah Ustaz dan antum semua yang menjadikan perjuangan Islam itu dogma!

Tanpa Nama berkata...

Berikut adalah komen drpd Ibnu'Abd (anak kpd seorg hamba Tuhan):

"Unzhur maa qaala walaa tanzhur man qaala."- Saidina Ali Karamallah-huwajhah
- Yakin dan percaya penulis pasti faham maksud dan pengajaran drpd athar di atas.

(1)
"jangan jadikan alasan awlawiyat untuk tidak menjamah buku di library langsung. Sikap dan mentaliti andalah yang menjadikan anda begitu."
- saya katakan: jangan jadikan alasan menjamah buku di library untuk tidak mengenal apa itu awlawiyat langsung! Sikap dan mentaliti andalah yg menjadikan anda begitu.

(2)
"Jangan jumudkan diri semata2 dengan Ustaz2 PAS sahaja."
- setuju dgn saranan penulis. mungkin shj sesetengah org ada kecenderungan dan preference mereka tersendiri, bukan kerana faktor jumud. Sebagaimana anda yg menjadikan Dr. Burhanuddin dan Ali Shariati (gambar dlm blog) sbg preference anda, bukan kerana anda jumud.bukan?

(3)
"Yg menjadi masalah ialah apabila kita 'eksklusifkan diri' perjuangan Islam dalam POLITIK DAN PAS."
- Bermasalahkah bagi Guru di sekolah A memfokuskan usaha dlm urusan2 sekolah A? Dan Guru di sekolah B memfokuskan usaha dlm urusan2 sekolah B? Ia akan menjadi masalah apabila Guru di sekolah A fokus kepada urusan2 sekolah B lebih dari sekolah A sendiri. Dan begitulah sebaliknya.

- Saya rasa bagi ahli2 PAS, mereka mungkin tidak bersetuju dengan penulis apabila penulis seolah2 mengasingkan POLITIK dan PAS. Mungkin sahaja penulis tidak faham perjuangan PAS atau mungkin ada alasan2 lain.

- Sekadar perkongsian. Penulis mungkin sudah maklum bahawa di sana ada Muktamar Agong Sedunia yg dianjurkan secara rahsia oleh Ikhwanul Muslimin selang 4-5 tahun sekali bagi menubuhkan tanzim khilafah. Yg mana setiap negara akan dijemput sebuah gerakan Islam yg mewakili negara tersebut ke muktamar. Di Malaysia sendiri, yg dijemput adalah PAS sebagai wakilnya. Mungkin ada org bertanya mengapakah PAS yg dijemput menjadi wakil Malaysia dan bukan gerakan2 yg lain???

(4)
"Sampai kiamat xkan perfect ilmu didada manusia. Yang penting kita pelahap pada ilmu."
- Setuju dgn penulis. Cumanya, pentingnya kita melahap ilmu itu bukan sekadar mengetahui maklumatnya dan mencambahkan pemikiran. Bahkan adakalanya adalah utk tujuan amalan. Lebih2 lg dlm hal keagamaan. Yg dikira adalah amal seseorang, bukanlah banyaknya ilmu mereka. Apelah guna ilmu penuh di dada, tp amalnya tiada.

(5)
Baca semua dan utamakan yang mana Fardhu Ain."
- Saya katakan: Utamakan Fardhu Ain ,kemudian bacalah smua yg lain. Tidakkah pemikiran sebgini lebih sihat?

(6)
"Tapi di Malaysia ni, bila dah tumpu Fardhu Ain tu jadi masalah khilaf. Salah siapa? Salah Ustaz dan antum semua yang menjadikan perjuangan Islam itu dogma!"
- Sebagai saranan ringkas,cubalah belajar salahkan diri terlebih dahulu sblm menyalahkan org lain. Wajar utk dinilai semula sejuah mana usaha kita dlm hal ini. Berapa bnyk masa yg habis 'berguru' utk ilmu agama berbanding yg lainnya? Berapa bnyk 'seminar2 manusia' yg dihadiri di dewan2 besar, berbanding 'seminar2 Tuhan' di dewan2 sembahyang (masjid)? Dan lain2nya..

p/s: apapun caranya, apapun panduannya, apapun gayanya, apapun lenggoknya, apapun logiknya.... nilailah dgn nilaian caranya Agama, dgn panduannya Al-Quran, dgn gayanya As-Sunnah, dgn lenggoknya Rasulullah (dan pewarisnya) dan logiknya Allah ta'ala. Tidakkah yg dicari adalah berkat dan redhaNya semata?

Semoga terus di bawah payungan hidayah dan petunjuk dr Nya.
Wallahuaklam...

Kaki Bangku berkata...

Bagaimana pendapat saudara jika artikel ini diletakkan dalam konteks wacana SMN Al-Attas yang selalu saudara sebut-sebutkan itu? Saya tak jumpa unsur2 "budaya intelektual" sebagai satu aspek penting dalam falsafah pendidikan dan idealisme universiti yang dicadangkan Prof SMN Al-Attas. Yang diseru adalah proses ta'dib - usaha mengembalikan adab dalam realiti masyarakat.