Khamis, 21 Februari 2008

Student Power dan Ilmu Yang Terkurung

Intelektual Masyarakat: Michel Foucault dalam satu protes penjajahan Perancis ke atas Algeria.

Oleh Wan Ahmad Fayhsal

Sukarno pernah berkata “ jikalau aku diberi 10 orang pemuda, nescaya aku akan dapat mengubah dunia”. Realiti yang diucapkan oleh bekas Presiden Indonesia yang pertama itu, telah dibuktikan sewaktu jatuhnya pemerintahan Jeneral Suharto pada tahun 1998. Siapakah tulang belakang kepada kejatuhan kepimpinan yang korup ini? Mahasiswa.

Revolusi Iran pada 1979 juga menyelak seribu satu makna baru buat perjuangan menegakkan keadilan pada zaman moden ini. Tiada siapa sangka Islam mampu menjadi sumber kekuatan untuk membangkitkan masyarakat yang tertindas kerana ketika itu jaringan ideologi Marxisme begitu kental di serata dunia dalam menentang puak kapitalis yang saban hari menindas mereka. Siapakah yang menjadi tulang belakang buat revolusi ini? Mahasiswa.

Ternyata daripada dua peristiwa bersejarah di atas, golongan pemuda dan pemudi yang bernama Mahasiswa merupakan watak utama yang tersembunyi disebalik sukses perjuangan tersebut.


Kita di Malaysia juga tidak terkecuali dalam memahat nama perjuangan mahasiswa dalam lembaran sejarah melalui individu-individu seperti Anwar Ibrahim dan Hishamuddin Rais. Di mana ada kesusahan, dan kesengsaraan rakyat, di situlah mereka akan berkampung dari segi fizikal mahupun mental untuk meniup api kebangkitan golongan yang tertindas bahawasanya kesengsaraan mereka turut dikongsi bersama oleh mahasiswa.

Semua itu tinggal kenangan. Episod manis perjuangan mahasiswa bersama rakyat sudah lama terkubur. Jangan persalahkan AUKU dan segala macam batu penghalang yang sekian lama mengaburi weltanschauung perjuangan mahasiswa. Realitinya, mahasiwa sendiri masih tercari-cari juzuk sendiri perjuangan sebenar dalam dunia moden ini.




Jikalau mahasiswa diberi kebebasan bersuara yang total, apakah yang ingin disuarakan oleh mereka? Adakah sekadar berslogan? Bertakbir? Adakah semata-mata orang di luar begitu lantang dengan pelbagai protes kita mahasiswa begitu cepat turun ke padang untuk bersama-sama melaungkan satu suara yang sama? Bagaimana dengan seteru kita yang lain? Sudah tentu perjuangan mahasiswa yang berada di kutub yang berbeza (baca: sekularis, feminis, bukan Melayu) akan turut sama menuntut hak yang sama. Jikalau begitu, bagaimakah para aktivis mahasiswa yang ada berhadapan dengan situasi yang rumit sebegini? Sudahkah kita memahami status quo masyarakat? Dimanakah titik kelemahan dan perpaduan umat?



Kesemua soalan di atas hanyalah beberapa cebisan daripada timbunan soalan-soalan yang berbentuk retropseksi mahupun introspeksi buat aktivis mahasiswa yang masih tidak luntur akan idealisme perjuangan mahasiswa mereka sebagai ejen perubahan masyarakat. Sayangnya, realiti aktivis mahasiswa pada hari ini lebih suka terperap dihadapan komputer daripada menggali khazanah ilmu di perpustakaan masing-masing.



Apakah kaitan perpustakaan dengan perjuangan? Ada sahabat saya mempersoalkan jikalau kita banyak berteori daripada turun ke padang, kita gagal menyelesaikan masalah umat. Saya berbeza pendapat. Lebih parah apabila kita turun ke padang dengan satu mind set yang salah kerana analisa sempit dek kerana melihat permasalahan dalam frame work yang kurang tepat ataupun ‘terjunan masyarakat’ yang dibuat, tepu dengan emosi dan sentimen semata-mata. Antara punca utama ‘Student Power’ menjadi fantasi mutakhir ini adalah kerana kegagalan aktivis mahasiswa untuk memahami permasalahan semasa secara komprehensif.



Maka, bagaimanakah untuk aktivis mahasiswa kembali relevan kepada realiti? Disini saya mengajak para pembaca untuk mengkaji konsep ‘ilmu yang terkurung’ ataupun lebih dikenali sebagai subjugated knowledge. Idea ini dibuahkan oleh seorang pemikir, ahli falsafah yang cukup disanjungi di Barat sekitar abad ke-20 iaitu Michel Foucault. Beliau membahaskan bahawa dalam setiap masyarakat, terdapat ‘ilmu yang terkurung’ ataupun ‘tertimbus’ oleh pengaruh ilmu kontemporari yang cukup dominan dalam masyarakat.



Seperti contoh, masyarakat peribumi Amerika, iaitu Red Indian mempunyai ‘ilmu yang terkurung’ yang menerangkan realiti dunia dengan cara yang cukup berbeza daripada ilmu kontemporari yang ditempa dalam acuan Barat, yang menjadi cukup dominan dalam bentuk sains (sosial, fizikal) dan teknologi. Foucault berpendapat untuk masyarakat yang tertindas seperti Red Indian bangkit, ‘ilmu yang terkurung’ ini perlu digali semula bagi memperkasakan benteng mereka dalam menentang kezaliman orang Barat terhadap tradisi dan cara hidup mereka.



Dalam erti kata yang lain, perjuangan mereka hendaklah dibentuk melalui acuan mereka sendiri dahulu sebelum mengambil mentah-mentah ilmu yang datang dari akar kefahaman Kebenaran yang berbeza. Jikalau dilihat dalam konteks tempatan, orang Melayu tidak akan bangkit dengan teori ekonomi ‘Neo-liberalisme’ Milton Friedman mahupun doktrin pembangunan Thatcher dan Reagan yang begitu kuat berkumandang saban hari dalam gua kejahilan umat.



Disinilah peranan mahasiswa yang jarang-jarang digalas dengan baik. Secara amnya, mahasiswa ke perpustakaan untuk menelaah ilmu untuk peperiksaan. Amat jarang sekali mahasiswa ke perpustakaan untuk berjuang membebaskan cengkaman kezaliman yang wujud dalam masyarakat. Idea Foucault tadi jikalau diperhatikan secara tajam dapat dilihat sebagai satu proses pendidikan mencari Kebenaran berbanding proses pertukaran input-output maklumat yang biasa mahasiswa alami dalam setiap kuliah.



Bukankah Islam begitu menekankan kebenaran dalam dunia yang sarat dengan tipu daya ini? Tidak semestinya ilmu ekonomi yang diajar dalam kuliah itu mutlak sifatnya sebagai Kebenaran dalam juzuk ilmu ekonomi yang ada. Tidak kiralah cabang ilmu apa sekali pun daripada kejuruteraan sampai kejururawatan, jikalau epistemologi ilmu tersebut berakar dari pemikiran sekularistik maka, roh kebangkitan umat tidak dapat ditemui didalamnya malah merupakan perangkap samar yang cukup berkesan dalam mengekang kebangkitan umat!



Bagaimanakah perjuangan rakyat akan tertegak jikalau idea yang dipunggah sebenarnya merupakan satu perangkap yang ditinggalkan oleh bekas penjajah untuk melihat bangsa yang pernah dijajah dahulu digari mindanya daripada memahami realiti sebenar. Maka, adalah amat penting untuk aktivis mahasiswa menekuni ‘ilmu yang terkurung’ yang tersembunyi dalam rak-rak berhabuk di perpustakaan masing-masing untuk diterjemahkan penyelesaiaannya ke dalam masyarakat kelak. Barulah ‘Student Power’ yang dicanang selama ini dapat kembali relevan dan kukuh dalam perjuangan bersama masyarakat. Ilmu yang dicari di Universiti haruslah menemui Kebenaran berbanding Kepalsuan yang memukau.

Tiada ulasan: