Khamis, 28 Februari 2008

Perjuangan mahasiswa tidak perlu ‘anti-establishment’

Perlukah mahasiswa bersifat "anti-establishment"?



Oleh Wan Ahmad Fayhsal

Sering kali perjuangan mahasiswa dikaitkan dengan konotasi ‘anti-establishment’. Sejarah dahulu yang gilang-gemilang dengan demonstrasi jalanan telah digunakan sebaiknya oleh pihak yang berkuasa untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap perjuangan mahasiswa yang dahulunya dianggap sebagai ‘penyelamat’ kepada ‘penggugat’ pada masa kini.


Tidak dapat dinafikan, setelah masyarakat mengalami kemajuan material yang pesat yang ditunjangai ideologi pembangunan Tun Dr. Mahathir, boleh dikatakan keselesaan yang dirasai melemahkan semangat perjuangan sebahagian besar rakyat. Ramai yang beranggapan jikalau negara ini aman sudah cukup untuk berasa selesa dengan apa yang ada walaupun krisis tersembunyi yang melibatkan pelbagai perkara penting dalam negara semakin membesar lukanya.


Angin perubahan ini turut bertiup tepat ke arah mahasiswa. Rata-rata, mahasiswa yang wujud pasca 90-an adalah mahasiswa yang lahir dalam keluarga generasi Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang mana sebahagian besar daripadanya membentuk golongan kelas pertengahan dalam negara. Beribu-bapakan golongan profesional yang dilimpahi kemewahan material yang secukupnya, anak-anak mereka dipayungi dengan kemewahan dan keselesaan hidup, kecuali untuk sebahagian lain yang datang dari keluarga yang susah.


Faktor kesenangan hidup yang dialami oleh sebahagian besar rakyat akhirnya memadamkan bara perjuangan yang diheret selepas menentang cengkaman penjajah. Rakyat tidak lagi sensitif kepada kepincangan sistem dan kepimpinan negara kerana beranggapan kesemua itu tidak akan menggugat periuk nasi mereka kecuali sebahagian aktivis masyarakat yang berpegang teguh kepada nilai luhur keadilan.


Keadaan sebegini akhirnya mengubah persepsi kebanyakkan rakyat akan peranan mahasiswa di kampus. Mereka lebih dipandang sebagai tenaga kerja yang bakal dipunggah keluar melalui menara gading bagi membantu pembangunan negara dalam pelbagai bidang yang ada. AUKU yang dibentuk turut bersandarkan kepada pandangan sebegini bagi membendung mahasiswa daripada terus berdemonstrasi berbanding menumpukan perhatian sepenuhnya kepada akademik.


Secara tidak langsung, ketika mana sebilangan kecil golongan aktivis mahasiswa yang lantang bersuara, mereka dengan mudah akan dicop sebagai ‘pemberontak’ dan ‘penggugat’ keamanan negara kecuali ketika peristiwa Reformasi 1998 berlaku. Jelas disini menunjukkan bahawa perjuangan mahasiswa sewaktu Reformasi yang lalu diterima ramai kerana perjuangan yang dibawa mahasiswa seirama dengan sahutan rakyat yang sedang menuntut keadilan.


Kita tidak boleh menafikan bahawa selama ini, perjuangan mahasiswa diterima umum dan relevan apabila masyarakat berada bersama mereka. Itulah prasyarat kepada perjuangan mahasiswa selama ini. Tidak pernah perjuangan mahasiswa dipacu hebat tanpa rakyat dibelakang mereka. Tetapi pada hari ini, iklim kebangkitan rakyat tidak sehebat dahulu terutamanya dikalangan mahasiswa sendiri.


Jadi bagaimanakah perjuangan mahasiswa mutakhir ini dapat menjadi lebih relevan kepada semua, terutamanya kepada golongan mahasiswa sendiri?


Zaman berslogan dan bersentimen sudah berakhir. Lambakkan informasi yang boleh diperolehi melalui medium perhubungan seperti televisyen, akhbar dan internet telah membuat rakyat menjadi lemas dalam informasi. Kelemasan ini menjadikan sebahagian besar daripada rakyat, khususnya mahasiswa mengalami kekejangan deria peka yang kronik terhadap permasalahan umum akibat lambakkan maklumat yang bersifat sampah dalam minda mereka.


Apakah resipi kepada anjakan paradigma perjuangan mahasiswa dalam zaman informasi ini? Sudah tentu dengan ilmu. Tiadalah dapat kita pisahkan juga keistimewaan yang dimiliki mahasiswa berbanding warga masyarakat yang lain melainkan ilmu. Kelebihan ilmu yang dimiliki dari dahulu lagi telah meletakkan mahasiswa begitu tinggi dalam hierarki masyarakat. Orang ramai akan lebih teruja dengan mahasiswa yang bijak dalam menyumbang kepada kebaikkan Negara (seperti atlet muda negara yang bertanding di persada antarabangsa) berbanding mahasiswa yang kuat memberontak menentang struktur kekuasaan yang ada, baik di dalam kampus mahupun di luar kampus.


Sudah tentu, apabila penulis membicarakan tentang ilmu, yang dimaksudkan adalah ‘ilmu yang terkurung’ (rujuk Siasah edisi 23/2/2008). Aktivis mahasiswa harus merentasi bidang ilmu masing-masing dengan menelaah sebanyak mungkin pelbagai disiplin ilmu terutamanya yang bersangkut paut dengan masyarakat. Contoh terbaik yang dapat kita amati adalah bagaimana dinamiknya ilmuan Islam pada suatu masa dahulu.


Ilmuan Islam seperti Imam Al-Ghazali, dan Ibnu Sina bukanlah celik semata-mata kepada bidang teologi malah turut menceburkan diri dalam pelbagai disiplin ilmu lain seperti psikologi, dan falsafah. Usaha gigih golongan ilmuan Islam yang dinamik ini turut didasari dengan tanggungjawab profetik seperti mana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w untuk mendidik masyarakat dan bukannya untuk mengaut laba ataupun sekadar mendabik dada sebagai ilmuan yang hebat dengan kitab-kitab yang ditulis mereka.


Penulis beranggapan, peranan mahasiswa tidak ubah juga seperti ilmuan Islam yang terdahulu. Kita tidak usah terlampu ghairah berjuang dalam perangkap AUKU, tetapi sebaliknya menyemai benih-benih perjuangan dengan memperdalami ‘ilmu-ilmu yang terkurung’ bagi mengupayakan semula golongan mahasiswa yang sudah dibius dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. Moga-moga dengan harapan mereka yang berjaya merangkak keluar dari lurah fantasi zaman moden ini, dapat menghasilkan buah-buah penyelesaian yang ranum buat permasalahan umat yang ada.


Universiti menyediakan platform yang terbaik buat aktivis mahasiswa untuk melakukan eksperimen awal dalam aplikasi perjuangan yang didasari dengan ‘ilmu yang terkurung’. Tidak ada universiti dalam negara ini yang menginginkan siswa dan siswinya sekadar menjadi penyanyi ( kecuali bagi siswa dan siswi kursus muzik) seperti graduan palsu Akademi Fantasia. Semua mempunyai hala tuju yang sama iaitu melahirkan anak bangsa yang berwibawa dalam pelbagai aspek. Yang menjadi kontroversi ialah apabila visi dan misi pendidikan di menara gading dipolitikkan secara keterlaluan, baik dari parti pemerintah mahu pun pembangkang sehiggakan, perjuangan mahasiswa terlampau dikaitkan dengan polemik politik kepartian yang berlaku sepanjang masa dalam negara.


Aktivis mahasiswa seharusnya mengambil peluang keemasan ini untuk melibatkan diri secara langsung sebagai penggerak utama kepada visi dan misi universiti masing-masing. Untuk permulaan awal, penulis beranggapan perjuangan mahasiswa harus membawa wajah tidak ‘anti-establishment’. Ini tidak bermakna kita bacul dalam menuntut hak dan keadilan yang dirompak, tetapi diimbangi dengan semangat ingin menyumbang yang lebih mesra kepada pentadbiran universiti. Perkara ini boleh dihayati melalui kata-kata John F. Kennedy, mantan Presiden Amerika Syarikat kepada rakyatnya yang cukup berbekas sehingga ke hari ini:

Ask not what your country can do for you; ask what you can do for your country.”


Dalam suasana masyarakat yang terperangkap dalam mimpi ‘kedamaian’ yang indah, adalah satu perkara yang janggal untuk perjuangan mahasiswa bersikap melawan arus ketenangan dan keselesaan. Masyarakat, khususnya mahasiswa yang lain, harus dikejut dengan belaian mesra yang tidak terlampau mengejut bagi mengelakkan reaksi berbalik yang negatif terhadap perjuangan yang dibawa oleh aktivis mahasiswa.


Ajaklah mereka untuk berfikir dengan mewujudkan budaya ilmu yang berkualiti sebagai permulaan kebangkitan idealisme mereka melalui perbahasan tidak formal serta ruangan diskusi yang menjangkaui lapangan usrah di masjid. Adalah sangat baik juga jikalau sinergi intelek ini turut sama merentasi semua bangsa yang ada bagi melenyapkan juzuk perbezaan antara kaum dan agama di universiti masing-masing. Dengan langkah sebegini, ia dapat melambangkan identiti perjuangan mahasiswa yang digalas bersifat sejagat seperti yang dicanang oleh kerajaan dalam membentuk identiti bangsa Malaysia yang bersatu-padu.


Dengan sumbangan positif sebegini adalah amat sukar buat pihak universiti untuk melabel perjuangan mahasiswa sebagai perjuangan yang ‘anti-establishment’ kerana gerak kerja aktivis mahasiswa selari dengan aspirasi universiti, iaitu melahirkan anak bangsa yang berkualiti dari segenap segi.

Perjuangan sebegini adalah lebih panjang nafasnya berbanding perjuangan yang lebih kepada menentang arus kerana sebagai aktivis mahasiswa, perjuangan yang didukungi selama ini di alam kampus tidak lebih sebagai medan latihan awal. Peranan yang sebenar buat seseorang aktivis mahasiswa bukanlah sebagai penuntut hak semata-mata, tetapi lebih sebagai ejen kebangkitan bangsa, agama dan negara yang semestinya kesemua itu menuntut satu proses yang panjang terutamanya setelah melangkah keluar dari menara gading masing-masing.

1 ulasan:

Tawel Sensei berkata...

Penyanyi hebat-hebat zaman dulu, kalau buat lagu pun banyak yang menyentuh tentang nasib dan kehidupan rakyat kebanyakan. Contoh paling jelas kumpulan Kembara yang diketuai oleh M Nasir satu ketika dahulu.

Nelayan, buruh kasar, ibu tua, mat kutu, pekerja kolar biru, macam-macam lagilah. Semua disentuhnya.

Semangat untuk berjuang bukan sahaja telah mati di kalangan mahasiswa, tetapi juga di kalangan artis. Oh, bahana rancangan realiti TV agaknya, yang akhirnya membuatkan artis dan juga rakyatnya hidup semakin jauh dari realiti semasa.