Ahad, 24 Februari 2008

Pembaziran dalam 'Politik Simbolisme'


Pembaziran sudah menjadi tabiat orang Melayu dalam berpolitik.


Pilihan raya di Malaysia tidak ubah seperti pesta sarkis. Ketika inilah rakyat Malaysia tiba-tiba tercelik dari mimpi siangnya dek kerana betapa warna-warninya pemandangan mata kasar mereka saban hari bermulanya bahang pilhan raya umum (PRU).


Sudah menjadi lumrah, setiap kali PRU semua parti politik yang bakal bertanding akan membelanjakan duit dengan banyak untuk berkempen. Adakah itu menjadi satu masalah? Jikalau dipandang dari kaca mata sang politikus (baik PAS dan UMNO) memang tidak menjadi masalah malah satu kemestian perlunya bendera, poster dan sebagainya secara raksasa dari segi jumlah.


Mari kita bersikap kritikal sedikit. Adakah berkesan dengan berkempen melalui kibaran bendera dan banner secara gergasi? Saya lihat segala jenis prasarana digunakan untuk menampakkan simbol parti masing-masing. Berkesankah?


Kita dalam berkempen, secara tidak langsung membentuk budaya politik masyarakat. Jikalau benderanya lebih banyak daripada isi manifesto dalam kepala rakyat, jadilah politik simbolisme berbanding politk intelektualisme. Maka pengundi yang akalnya sejengkal mengundi mengikut bilangan bendera yang paling banyak. Adakah pengundi yang begitu? Sudah tentu terutamanya yang atas pagar. Kuasa imej merupakan satu perkara yang tidak boleh diambil ringan.


Dalam politik kelas bawahan, simbol adalah kuasa. Keris UMNO berbanding bulan PAS lebih dekat sifat Melayunya kepada orang Melayu. Sudah tentu, sedikit retorika daripada politikus seperti cogan kata "Hidup Melayu" disulami dengan kibaran bendera (mungkin juga keris dihunus) dapat memberi kesan imej yang cukup kuat kepada orang Melayu, terutamanya di kawasan luar bandar.


Persoalan lainnya adalah setelah selesai PRU nanti, ke mana nak dihala bendera dan banner ini? Dibuang? Dibakar atau disimpan untuk 5 tahun kemudian? Rasanya akan diberi kepada rakyat ataupun dilupuskan di tempat-tempat buangan. Bagaimanakah kesan pewarna yang digunakan untuk mewarnai bender dan banner itu bertindak kepada alam sekitar? Tidak racunkah? Plastik untuk membalut poster itu dihumban ke mana? Bukankah bahan-bahan tersebut ada sebahagiannya tidak mudah lupus? Burung dan ikan mana yang bakal termakan benda alah itu nanti?


Ah, inilah politik Malaysia. Pembaziran dimana-mana. Duit yang sepatutnya digunakan untuk menanam dan membaja idealisme rakyat dibazirkan untuk membuat model roket dan bendera raksasa parti masing-masing.


Rasulullah juga berperang dengan membawa panji-panji yang pelbagai. Cuma baginda dan para sahabat membawa semua itu dalam persiapan 'isi perjuangan' yang rapi. Ukuran kekuatan tentera Islam bukanlah semata-mata kepada simbol pada bendera.


Tidak ada salahnya kita 'membenderakan' parti politik masing-masing cuma, selaku pemerhati bebas, saya berharap duit yang digunakan untuk kempen secara simbolistik ini digunakan ke arah yang lebih efisyen seperti penyebaran manifesto secara raksasa melalui pengedaran dalam bentuk kertas.


Apa yang penting pada saat ini adalah maklumat. Parti mana yang gagal menyampaikan maklumat secara berkesan akan kehilangan undi (terutamanya pengundi atas pagar). Sampai hari ini, saya sendiri masih belum menerima manifesto BN dan BA secara fizikal. Malah, sebulan lepas dengan googling di internet pun hanya sebilangan kecil laman web yang menampilkan isi kandungan manifesto PAS.


Jadi, bagaimanakah parti politik bertindak dalam berhadapan dengan kempen yang singkat untuk meyakinkan rakyat?


Satu cabaran besar. BN mungkin sudah selesa kerana pengundi Melayu rata-rata masih buta dalam menilai masalah nasional. Cina pengundi bijak. Simbol tidak menjaminkan 'ong' atau pun tidak. Pengundi India bakal menjadi de facto kepada undi penentu hasil usaha HINDRAF selama ini.


Politik simbolisme hanya menaikkan sentimen bukan rasionaliti rakyat.

1 ulasan:

Tawel Sensei berkata...

Kita sependapat dalam hal pembaziran duit dalam bendera dan poster :)

Bahana Perang Bendera dan Poster