Khamis, 14 Februari 2008

Mencari nafas panjang perjuangan Mahasiswa.


Kejayaan mahasiswa tidak dimutlakkan kepada tangga kerjaya semata-mata, sebaliknya mencontohi sifat profetik Rasulullah s.a.w adalah kejayaan terbaik buat seseorang insan.




Oleh Wan Ahmad Fayhsal


Setelah 10 tahun disogok dengan kejayaan melalui bilangan ‘A’ di sekolah, transisi ke universiti seharusnya membawa makna yang lebih berbeza kepada seorang anak muda yang bernama mahasiswa. Secara automatik, anak muda yang bernama mahasiswa ini akan diangkat darjatnya berbanding anak muda lain yang wujud dalam masyarakat. Sudah tentu, dengan darjat yang tinggi ini, anak muda tersebut juga dipakejkan dengan tanggungjawab yang berat terhadap agama, bangsa dan Negara.


Tetapi, kenyataan di atas berbunyi cukup idealistik. Realitinya, jikalau kita selami jiwa mahasiswa dan mahasiswi zaman sekarang, perkataan utama yang timbul dibenak minda mereka ialah ‘kerjaya’. Persoalan lain seperti tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan Negara yang ‘idealistik’ itu hanyalah persoalan sampingan yang boleh diisi sewaktu masa lapang ataupun sekadar mencantikkan resume masing-masing dengan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang bercorak ‘idealistik’ tersebut.


Dalam bidang ilmu ekonomi, faktor peluang pekerjaan (employment) merupakan antara nadi utama dalam analisa turun naik prestasi negara yang turut diterjemah kepada prestasi hidup masyarakat keseluruhannya. Dikatakan, dengan 0% pengangguran (lawan kepada mempunyai pekerjaan) sesebuah negara tersebut dikira ‘berjaya dan maju’. Sudah tentu realitinya tidak pernah mana-mana negara mempunyai statistik 0% pengangguran. Yang paling praktikal ialah dengan mengurankan sebanyak mungkin peratus pengangguran.


Tempias daripada pandangan makro ekonomi yang melihat faktor peluang pekerjaaan ini sebagai antara faktor utama buat sesebuah institusi itu untuk bergelar ‘cemerlang’ (faktor lain melibatkan penyelidikan dan perakuan daripada industri-industri)maka, budaya ilmu yang wujud di universiti sebahagian besarnya dicorakkan mengikut acuan pandangan ekonomi yang menjurus tepat kepada faktor kerjaya dan pekerjaan.


Apakah kita mempunyai masalah dalam menilai kejayaan dan kualiti pendidikan tinggi kita berdasarkan peluang pekerjaan? Sudah tentu tidak salah, cuma kita telah merendahkan hakikat sebenar seorang insan bernama mahasiswa dan mahasiswi. Kenapa saya berkata begitu? Ini adalah kerana dengan menilai melalui kaca mata makro ekonomi, nilai sebenar mahasiswa hanya tercatat sekadar nombor-nombor yang bekerjaya dalam statistik tahunan. Persoalan yang lebih besar seperti adakah mereka benar-benar ‘terdidik’ setelah bertahun-tahun ditahan di dalam institusi pendidikan yang bernama sekolah dan universiti tidak dapat dijawab semata-mata dengan statistik.


Dengan hanya mengejar sebuah kejayaan yang bernama ‘kerjaya’, mahasiswa dan mahasiswi kita secara tidak sedar, telah mentransformasikan diri mereka menjadi bahan material ekonomi yang bernama ‘peluang pekerjaan’. Mereka yang sudah menerima segulung ijazah tidak ubah seperti mesin-mesin di kilang produksi. Jikalau mesin diservis dengan minyak pelincir untuk menyambung hayatnya, mahasiswa yang berkerjaya akan diservis dengan wang ringgit.


Maka, lama-kelamaan, golongan yang kononnya sudah ‘terdidik’ ini hanyut dan terpisah daripada realiti masyarakat yang sarat dengan pelbagai masalah tanpa penyelesaian. Bukankah golongan yang ‘terdidik’ ini asalnya datang daripada masyarakat? Lupakah mereka akan asal usul mereka yang sebenar? Adakah dengan menjadi jurutera di syarikat multinasional dengan dibayar upah kerja beribu-ribu ringgit dapat dikategorikan sebagai ‘sumbangan kepada masyarakat’?


Terputus daripada masyarakat. Itulah keadaan sebenar mahasiswa selepas bekerjaya melainkan mereka yang mampu mempertahankan idealisme perjuangan ‘dari masyarakat aku datang, kepada masyarakat aku pulang’. Jangan bermimpi dengan menjawat jawatan pengurus besar bahagian pemasaran kita dapat mendabik dada dengan berkata“ akulah produk kejayaan sesebuah masyarakat”.


Maka apakah erti matlamat sebenar seseorang mahasiswa di menara gading dalam menempuh proses yang dinamakan pendidikan? Jawapannya dapat direnungi dalam kalimah tertinggi buat manusia yang bergelar Muslim:kalimah syahadah.


Kalimah yang mulia ini begitu menekankan doktrin pembebasan daripada sebarang individu, sistem, dan tipu daya duniawi melainkan hanya tunduk semata-mata kepada Allah, Tuhan sekalian Alam. Kalimah syahadah juga mengingatkan kita berkenaan Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah yang terus menerus mengikat diri baginda dengan masyarakat dalam kegiatan dakwah sehinggalah baginda wafat.


Tidakkah roh kalimah syahadah ini, jikalau dihayati dari sudut perjuangan mahasiswa boleh dijadikan sumber kekuatan buat mahasiswa untuk memanfaatkan proses yang bernama ‘pendidikan’ ini sebagai salah satu kekuatan pembangunan umat? Jikalau kita benar-benar menghayatinya, pembangunan diri dan jiwa mahasiswa ini tidak akan disempitkan disudut kerjaya semata-mata yang hanya menjanjikan kepuasan material.


Untuk melahirkan generasi mahasiswa yang jelas visi dan misi sebagai insan yang berguna buat agama, bangsa dan negara, ikatan rohani dan jasmani bersama masyarakat dapat dijadikan benteng kukuh dalam menghadapi penyakit cinta dunia yang telah banyak menggugurkan aktivis mahasiswa selama ini. Jadilah seperti mana yang telah digambarkan oleh Rasulullah dan para sahabat dalam lembaran sejarah yang tidak pernah lekang daripada realiti masyarakat pada zaman mereka.


Sesungguhnya, zaman kegemilangan Islam tidak dinasabkan kepada mana-mana individu tertentu sebaliknya begitu bergantung kepada sinergi kesemua ahli masyarakat tidak kira darjat dan pangkat yang seterusnya menghasilkan sebuah Tamadun Islam yang unggul. Sudah tentu, golongan terpelajar seperti mahasiswa turut termasuk dalam senarai panjang tersebut yang juga bertindak sebagai penerus kecemerlangan umat buat masa mendatang.

Tiada ulasan: