Selasa, 5 Februari 2008

Mahasiswa dan Politik Nasional


Kalau mahasiswa pun tidak peka dengan FTA, nak harap siapa lagi?


Oleh Wan Ahmad Fayhsal


Akta Univerisiti atau nama manjanya AUKU bukanlah musibah utama buat mahasiswa untuk terlibat dalam politik nasional. Bila mana kita menyebut politik nasional, ia ditafsirkan sebagai perjuangan nasional yang melibatkan kekuasaan yang dibawa oleh pendukungnya untuk kebaikan masyarakat . Mahasiswa harus membetulkan perspektif ‘berpolitik’ yang telah menjadi norma masyarakat kita dimana perkataan politik akan membuahkan konotasi seperti kerajaan dan pembangkang yang berbau kepartian. Sebaiknya, mahasiswa seharusnya membawa bendera neutral ataupun non-partisan (tidak menyebalahi mana-mana pihak) yang diwarnai semangat keadilan sejagat.


Kita harus ingat bahawasanya mahasiswa juga sebahagian daripada warga negara tanah air ini yang didaulatkan dibawah undang-undang dan perlembagaan Malaysia. Sudah tentu hak untuk ‘berpolitik’ jelas menjadi hak milik semua warga negara Malaysia.


Masalahnya disini ‘berpolitik’ yang bagaimana? Jikalau idealisme politik bersifat kepartian maka disinilah jerat AUKU akan mengena.


Peka itu Aset


Sebagai golongan yang dilimpahi ilmu, infrastruktur dan tanggung jawab yang tidak seberat golongan dewasa yang sudah berkeluarga, mahasiswa seharusnya menjadi juru bicara umat yang paling peka. Dalam keadaan masyarakat kita yang menghadapi budaya ‘aku tidak pedulisma’, kepekaan merupakan salah satu aset terpenting buat mahasiswa. Slogan dan semangat yang membara tidak cukup untuk menyelesaikan masalah umat. Mahasiswa yang peka akan menjiwai penderitaan rakyat dan ini seharusnya menimbulkan tindak balas reaktif terhadap permasalahan yang ada dengan menjadi ejen-ejen perubahan buat masyarakat.


Tetapi dengan AUKU, apakah mahasiswa mempunyai kapasiti untuk melakukan semua itu? Jikalau anda berfikir secara sempit sudah tentu kita hanya mendapat kekecewaan daripada ini semua.


Disinilah mahasiswa akan diuji dari segi kebijaksanaan ‘berpolitik’. Perlunya mahasiswa turun kepada masyarakat dan menilai dengan kritis permasalahan yang ada. Dengan melakukan pemerhatian yang kritis, kita berupaya menjana pemahaman yang lebih komprehensif akan masalah sebenar yang masyarakat kita sedang alami. Yang akan menjadi fokus buat mahasiswa dalam ‘politik masyarakat’ seperti ini ialah masalah dan penyelesaian. Mahasiswa seharusnya menjadi penyelesai masalah dan ini tidak akan menjadi realiti jikalau mahasiswa mempuyai kepekaan yang rendah ataupun hanya mempunyai kepekaan yang sempit ke arah politik kepartian yang diselubungi sentimen dan slogan yang tidak substantif.


Jambatan Ilmu


Adakah orang politik sahaja yang layak menjadi penyelesai masalah? Adakah kuasa politik menentukan segala-galanya dalam mengubah nasib masyarakat? Tentu tidak.Sudah terlampau banyak janji manis yang hanya tinggal janji. Disinilah lompang besar yang wujud untuk dipenuhi oleh aktvivis mahasiswa.


Ilmu yang bertebaran di menara gading seharusnya dibawa turun ke bawah untuk menyelesaikan masalah masyarakat. Tidak kiralah mahasiswa tersebut menuntut dalam jurusan apa pun, yang penting dengan kepekaan yang tinggi, ilmu yang ada harus dimanfaatkan. Perpustakaan, pensyarah, serta persatuan yang wujud di universiti boleh digunakan sebagai medium untuk menjana penyelesaian umat.


Bukan satu perkara yang senang buat masyarakat am menikmati tempias pembangunan institusi keilmuan seperti universiti. Rata-ratanya sekadar menikmati tempias rezeki berbentuk material hasil pertambahan bilangan penduduk yang terdiri daripada mahasiswa yang mendiami kawasan tersebut. Sudah sampai masanya mahasiswa lebih bersifat agresif menjadi ‘jambatan ilmu’ yang menyambungkan ilmu yang kompleks dari menara gading dan dibawa ke bawah sebagai ilmu praktikal yang boleh digunakan dalam hal seharian masyarakat.


Sebagai contoh jikalau di Kuala Lumpur, masyarakat kita menghadapi tekanan jiwa yang tinggi dek kerana kepesatan pembangunan yang mengejar status dan harta benda. Ilmu psikologi, dan kesihatan yang terdapat di universiti selalunya bersifat saintifik lagi kompleks. Untuk menjadikan ilmu-ilmu tersebut sebagai manfaat kepada masyarakat, mahasiswa boleh mempermudahkan pemahaman dan dengan sedikit kreativiti diterjemahkan sebagai risalah, modul dan dijadikan kajian kes buat wakil rakyat di kawasan tersebut untuk diberi perhatian yang khusus dengan bantuan daripada golongan mahasiswa sendiri. Harus diingat disini bahawa penyelesaian masalah ini tidak perlu bersifat kepartian tetapi lebih kepada fokus utama kita iaitu penyelesaian masalah. Dengan ini, nilai sebuah pusat ilmu yang bernama universiti ini selayaknya dipandang tinggi kerana dengan adanya mahasiswa yang tidak kekok untuk menyembah realiti walaupun ilmu penuh didada.


Kita masih bernyawa


Mahasiswa pernah menjadi White knight (satria putih) kepada masyarakat pada suatu masa dahulu. Sosok seperti Anuar Ibrahim, dan Hishamuddin Rais wajar dicontohi dari segi idealisme dan kepekaan yang mengakar terus ke dalam masyarakat. Mereka tidak sekadar pandai bercakap malah cukup pragmatik dalam memperjuangkan masalah masyarakat terutamanya terhadap golongan yang tertindas. Salah satu persoalan yang bakal menghentak kesedaran aktvisme kita pada hari ini ialah apakah sumbangan mahasiswa kepada masyarakat mutkahir ini?


Saham masa depan negara Malaysia ini terletak di atas pundak mahasiswa. Sama ada kelak mereka yang akan menjawat jawatan penting dalam negara hatta sekadar pekerja am sekalipun, kualiti aktvisme mahasiswa adalah penanda ukur kepada harapan masa depan bangsa, agama dan negara. Kita mungkin mampu melahirkan golongan professional yang diakui serata dunia tetapi jikalau tuli deria pekanya terhadap masyarakat, sifat ini hanya sama seperti berpaling tadah kepada bangsa sendiri.


Kejayaan yang menghujani golongan bijak pandai ini bakal melunturkan peranan sebenar mereka yang lebih mulia: iaitu jatuh bangun bersama masyarakat. Tanpa kepekaan ataupun kerana sudah terbiasa dengan ‘politik kepartian’ yang sempit, mahasiswa yang mendewasa sebagai profesional ini hanya menjadi liabiliti kepada perjuangan umat malah kadang kala menjadi batu penghalang kerana diracuni semangat materialisme dan ketaksuban yang hanya memecah belahkan umat.

Tiada ulasan: