Sabtu, 1 Mac 2008

Khazanah 'Ilmu Yang Terkurung"


Sambil membelek buku-buku kejuruteraan kimia di perpustakaan universiti untuk membuat proses biodiesel untuk Engineering Team Project, saya tidak dapat menahan diri untuk menyelongkar rak Malaysiana yang menempatkan buku-buku penulis Malaysia. Manalah tahu dapat jumpa buku-buku yang boleh membuka mata tentang budaya orang Melayu yang sangat tidak banyak orang mengkajinya melainkan para orientalis di Barat.


Ah, tak sangka, Macam tak percaya pun ada. Tetapi rasa namanya betul.



DR SYED NAGUIB AL-ATTAS


Sah, ini satu khazanah 'Ilmu yang Terkurung'!




Prof. Syed Naquib Al-Attas: Ilmuan Islam yang tidak dikenali oleh Orang Melayu.


Buku yang membuat saya begitu teruja ini bertajuk The Origin of The Malay Sha'ir. Yang menjadi teruja itu kerana penulisnya merupakan antara ulama' Islam nusantara yang saya paling kagumi (yang ramai tidak kenal) iaitu Prof Syed Naquib Al-Attas (beliau juga merupakan orang yang bertanggungjawab melukis bendera UMNO kerana Pakciknya adalah Dato' Onn Jaafar).

Buku ini adalah keluaran DBP pada tahun 1968, sewaktu Prof Naquib menjawat jawatan senior lecturer in Malay Studies di Universiti Malaya.




Michel Foucault: Intelektual Perancis yang dihormati sekitar abad ke-20.


Inilah yang saya maksudkan 'Ilmu yang terkurung' seperti mana yang diungkapkan oleh Michel Foucault dalam terminologi subjugated knowledge. Definisi yang dibawa oleh Foucault adalah:



"knowledge which has no place or which has been confined (in the clinic or the prison) by dominant and standard forms of knowledge sanctioned by the established history of ideas."


Ilmu sebegini merupakan antara rantaian ilmu yang hilang ditenggelami ilmu sains Barat dalam zaman moden sebegini.



Kenapakah ilmu sebegini penting? Ia melibatkan jati diri bangsa kita. Ya, jangan bermimpi orang Melayu nak bangun semula tanpa mengangkat kembali jati diri Melayu yang sekian lama terhakis oleh para penjajah terutamanya Sang British yang licik. Bila kita bercakap mengenai jati diri Melayu sudah tentu ia sangat berkait rapat dengan Islam kerana tanpa Islam, Melayu tidak akan mengukir sejarah.


Buku ini ditulis sewaktu Prof Naquib sedang giat menjalankan penyelidikan berkenaan teori Islamisasi di Nusantara ( ingat lagi teori kedatangan Islam dalam buku teks Sejarah sekolah menengah?).


Tak sangka universiti saya memiliki khazanah ilmu sebegini. Maklumlah universiti teknikal la katakan.

Walau bagaimanapun, monograf ( buku ) yang ditulis oleh Prof Naquib ini adalah antara mutiara ilmu penting buat orang Melayu. Setakat yang saya dah belek, monograf ini membicarakan tentang teori bahawa ahli Sufi nusantara yang bernama Hamzah Fansuri, merupakan pelopor kepada syair Melayu.


Memang Prof Naquib banyak mengkaji (boleh dikatakan peminat setia Hamzah Fansuri) dalam banyak penulisan beliau terutamanya dalam subjek metafizik Islam.



Bersama Dr Ugi sewaktu Tamrin API di Danau Desa tahun ini. Beliau mengupas buku Prof Naquib 'Risalah untuk Kaum Muslimin' yang merupakan ibu kepada buku terkenal Prof Naquib yang lain iaitu 'Islam and Secularism'


Itulah, saya sebenarnya sedih kerana beliau tidak lagi bersama ISTAC yang diasaskan beliau dahulu. Dengar cerita beliau juga tidak berapa sihat akhir-akhir ini. Nasib baik setakat ini, beliau telah melahirkan beberapa anak murid yang hebat seperti Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, Dr. Ugi Suharto dan beberapa lagi intelektual Islam yang banyaknya dari Indonesia.

Orang kita tak tahu atau malas ambil tahu sebab lebih minat ceramah murahan yang berulamkan lawak di surau-surau berbanding Ilmu yang sangat fundamental untuk mencari titik kebangkitan Islam semula. Tidak bermaksud untuk menghina ustaz-ustaz yang berceramah di masjid dan surau tetapi dengan keadaan sebeginilah umat Melayu kita terperangkap dalam defini Islam ritual. Gagal menyaksikan Islam lebih dari 5 rukun tersebut.


Insyaallah, lepas graduasi, saya ingin sambung Master di ISTAC secara part time.



Tiada ulasan: