Ahad, 20 Januari 2008

Tergadainya sebuah negara bernama Malaysia



Oleh: Rausyanfikir

Tahniah kepada Parti Sosialis Malaysia, JERIT, DEMA, MTAAG serta ahli Gabungan Rakyat Membantah US-Malaysia FTA kerana masih setia bersama perjuangan yang kita selusuri selama 2 tahun dalam menyedarkan rakyat Malaysia yang sedang nyenyak tidur dengan mimpi enak kesenangan, penting diri serta politik nasional yang sempit.


Mereka tidak sedar bahawa negara Malaysia ini sedang disumbat ke dalam kontena untuk dijual kepada Amerika Syarikat. Proses "penjualan" ini hanya memerlukan tanda tangan Perdana Menteri yang dikasihi untuk Malaysia menjadi sebahagian daripada "wilayah jajahan Amerika".


Oleh kerana ramai rakyat Malaysia serta para aktivis, dan pendakwahnya malas membaca berita serta mengambil tahu mimpi ngeri yang lebih besar daripada Pilihan Raya Umum ke-12, negara Malaysia ini sedikit demi sedikit semakin tergelincir daripada tangan rakyat jelata.


Sedarlah dengan kelembapan dan kejumudan kita dalam melihat masalah yang lebih besar daripada politik BN vs BA, baik Melayu, Cina, India dan Orang Asli sekali pun akan sama-sama menjadi mangsa kepada penjajahan bentuk baru ini. Oleh kerana kebodohan pemimpin kita yang hanya fikirkan periuk nasi kroni, habis anak cucu mereka akan turut sama "terjual" kepada Amerika pada masa akan datang.



Sebagai anak muda negara yang akan mengheret pundak tanggungjawab daripada orang-orang tua, adalah satu kewajipan buat diri ini mempertahankan tanah air daripada sebarang anasir kasar dan halus yang mencucuk-cucuk untuk membocorkan kedaulatan negara ini.

Selagi mana negara ini diracuni pemikiran ekonomi Neo Liberal, selagi itulah kami akan menentang kezaliman yang tersembunyi ini.

Tahniah Comrades! Ikuti laporan daripada pejuang anti kapitalis ini:



JARINGAN RAKYAT TERTINDAS

www.jerit.org


MITI MENDAPAT KERANDA:

BANTAHAN SIMBOLIK GABUNGAN RAKYAT MEMBANTAH FTA



14/01/2008- Jalan Duta, Kuala Lumpur

Pada minggu lalu, kami mendapat tahu bahawa Kerajaan Malaysia akan meneruskan rundingan maut (US-Malaysia FTA) dengan Kerajaan Amerika. Namun, tiada banyak berita mengenai rundingan ini. Tiada maklumat mengenai lokasi rundingan dan tiada maklumat mengenai isu yang akan dibincngkan. Nampaknya, Kerajaan Malaysia dengan senyap sudah memulakan semula rundingan untuk menjual rakyat negara ini.

Maka, satu perwakilan delegasi dari Gabungan Rakyat Membantah US-Malaysia FTA telah ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa (MITI) di Kompleks Kerajaan, Jalan Duta untuk menyerahkan Memorandum Bantahan terhadap Rundingan US-Malaysia FTA tersebut. Apabila kami tiba di sana, kami mendapati semua pintu masuk ke Kompleks Kerajaan telah dikunci kecuali Pintu A yang dikawal oleh lebih 50 orang anggota polis dan Light Strike Force. Keadaan di keliling Kompleks Kerajaan bagaikan "Negara Polis". Nampaknya, MITI tidak selesa dengan kehadiran kami untuk menyerahkan memorandum istimewa kepada mereka.

Tepat pada pukul 2.30 petang, delegasi Gabungan Rakyat Membantah US-Malaysia FTA yang terdiri daripada wakil JERIT, Mtaag, DEMA, JKMI, serta Parti Sosialis Malayia telah berkumpul di hadapan Kompleks Kerajaan dan cuba masuk ke dalam untuk ke pejabat MITI untuk menyerahkan memorandum. Pihak polis (tanpa menyedari mereka juga akan menjadi mangsa FTA) telah menghalang kami dan tidak memberi ruang untuk memberi penjelasan. Setelah bertikam lidah dengan pihak polis, telah dipersetujui bahawa wakil MITI akan datang keluar untuk menerima memorandum kami. Sebelum itu wakil delegasi, Kohila ( JERIT) telah membacakan kenyataan dan tuntutan gabungan. Antara isu yang diutarakan ialah, kenapa kerajaan Malaysia tergesa-gesa hendak menandatangani FTA dengan US dan kenapa tiada penjelasan untuk lebih 10 memorandum dan 600 surat yang telah dihantar kepada Perdana Menteri dan Menteri MITI.




Setelah kenyataan dibacakan, Edward dan Mah dari Mtaag telah menyerahkan memorandum serta keranda sebagai tanda simbolik "FTA Membunuh" kepada En.Shafiee, wakil dari MITI. Apabila keranda dibawa ke depan untuk diserahkan, pihak polis dan MITI menjadi tension. Wakil MITI tidak mahu menerima keranda dan pihak polis juga tension dan mengatakan " Kita tidak boleh buat macam ini di Malaysia". Akan tetapi mereka tidak sedar bahawa kalau FTA dengan US ditandatangani, rakyat Malaysia yang akan hidup di bawah penjajahan ekonomi Amerika. Para delegasi tidak mengendahkan bantahan polis atau MITI, kami tetap menyerahkan keranda kepada MITI. Setelah memorandum dan keranda diserahkan, program diakhiri dengan laungan FTA Membunuh, Hancurkan FTA dan Hidup Perjuangan Rakyat.




Pada masa sekarang pihak kerajaan Malaysia secara senyap sedang mengadakan rundingan dengan Amerika untuk menandatangani FTA ini menjelang Jun 2008. Secara senyap, kita akan dijual kepada korporat Amerika. Kita harus membantah tindakan ini. Jangan biarkan negara dan hidup kita digadai kepada Amerika. Bantah FTA US-Malaysia sekarang. Pilihanraya Umum akan tiba tidak lama lagi. Gunakan peluang ini untuk menukar kerajaan ini yang hendak kita menjadi hamba Amerika. Sudah tiba masa untuk perubahan. Maka buatlah perubahan itu demi masa depan negara kita.

Hentikan FTA US-Malaysia

Hidup Perjuangan Rakyat

Dilaporkan oleh: Kohila ( Penyelaras)


GABUNGAN RAKYAT MEMBANTAH FTA
US-MALAYSIA
No. 22A, Jalan Vivekananda , Jalan Tun Sambanthan , 50470 Kuala Lumpur
Tel : 03-2274 7791 Fax : 03-87374772

Tiada ulasan: