Ahad, 20 Januari 2008

Minyak Naik: Kekeliruan yang timbul dalam Barisan Alternatif


Oleh rausyanfikir


Semua orang tahu politik di Malaysia berdiri di atas nama perkauman. Melayu Islamik lawan Melayu Sekularis, Cina Kapitalis lawan Cina 'Kapitalis dalam Selimut', dan India Brahmin lawan India Hindraf. Maka rojaknya begitu.

Antara kriteria lain yang dapat dilihat ialah politik Malaysia ini memang berdegar-degar. Emosional dan sentimental memang jadi senjata utama dalam semua hal. Maka banyaklah isu yang 'dipolitikkan' dengan analisa yang cetek.

Isu minyak merupakan satu episod kelakar dalam politik Malaysia. Satu pihak kata tak boleh naik, satu pihak kata turun sekarang. Alih-alih, semua itu sentimen yang sempit kerana gagal menganalisa fakta dengan berkesan. Terus-terang saya cakap, Barisan Alternatif harus siapkan kerja rumah dahulu sebelum berdemo pada 26 Januari ini.

Antara kemusykilan yang dialami ialah kenapa nak berdemo di KLCC? Adakah kerana disitu terletaknya markas Petronas? Jikalau itulah niat yang termaktub dalam pengelola demo, maka pada hemat saya, targetnya sudah tersasar. Sepatutnya, lokasi demo adalah di Putrajaya iaitu di pejabat Dato' Shafiee Apdal yang memegang portfolio KPDNHEP. Urusan subsidi dan kawalan harga dibawah beliau secara amnya.

Untuk lebih spesifik, pergilah jumpa Pak Lah kerana Petronas terpaksa membayar ufti kepada kerajaan secara terus. Keladak-keladak untung jual minyak yang Petronas pegang perlu dibayar kepada pemegang saham, kakitangan dan dipusing balik menjadi modal untuk operasi mendatang.

Jikalau merujuk kepada Tan Sri Hassan Marican dalam wawancara Mingguan Malaysia bertarikh Ahad, 1 Julai 2007 yang saya simpan, beliau menyatakan:

" Pada tahun ini, kita memberi b alik sebanyak RM 58.1 bilion atau 77% kepada kerajaan bagi digunakan untuk tujuan pembangunan dan melaksanakan agendanya yang memberi faedah kepada rakyat. Tetapi sejauh mana ia digunakan secara cekap, ia adalah satu soalan lain."

Tambah beliau:

" Menjelang tahun 2010, pengeluaran akan berkurangan kepada 300,000 tong sehari tetapi ketika ini kita akan mempunyai pengeluaran baru. Pengeluaran akan jatuh sebanyak 15% setahun menjelang tahun 2011. Bermula tahun 2014, pengeluaran akan jatuh sebanyak 10% setahun. Nasib kita jumpa (medan minyak) di laut dalam pada tahun 2002. Tuhan masih sayangkan kita"


Disini kita dapat lihat luahan salah seorang manusia yang paling penting di Malaysia. Tugas beliu haruslah tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak kerana kita tahu Petronas adalah penjunjung amanah negara yang sangat penting semenjak Tun Razak menendang keluar penjajah minyak seperti Shell, dan BP yang selama hari ini menyedut kekayaan kita tanpa membayar apa-apa cukai di Miri dan perairan Terengganu.

Yang harus dipersoalkan disini ialah Pak Lah dan sahabat-sahabat dalam hal pengagihan kekayaan negara ini kepada rakyat. Bukan Petronas!

Untuk menggali minyak bukan semudah menggali perigi buta. Risikonya sama dengan bermain judi di Las Vegas dengan wang taruhan yang berjuta ringgit kerana peluang untuk mendapat minyak sama seperti main polis sentri. Kejap ada kejap tiada. Pelaburan operasi dalam industri petroleum memerlukan rakan kongsi dan kepakaran teknologi dari pelbagai syarikat. Tidak ada dalam dunia ini syarikat minyak yang beroperasi dengan sendiri. Maka, langkah pertama yang harus dibetulkan Barisan Alternatif ialah perspektif dalam isu ini.

Mengikut sumber dalaman yang boleh dipercayai, sememangnya warga Petronas sedar betapa pentingnya buat mereka bersikap amanah dan lakukan yang terbaik dalam menjaga khazanah negara ini. Ramai daripada mereka sedar betapa perlunya hasil yang dipungut mereka dinikmati ramai. Secara halusnya, warga Petronas tidak bodoh dalam menilai masalah harga minyak dan politik semasa! Buktinya ialah dalam banyak-banyak GLC yang wujud, Petronas merupakan antara syarikat yang paling dihormati, disegani dan progresif dikaca mata tempatan dan dunia ( sepertimana yang dinobatkan sebaga salah satu New Seven Sisters dalam Financial Times).

Sokongan yang sudah kemas di tangan Barisan Alternatif akan beralih arah akibat hentaman psikologi terhadap Petronas semata-mata, sedangkan realitinya bukan mereka yang patut dipersalahkan!

Saya percaya, rakyat ada hak untuk mengetahui kemana pergi 77% keuntungan Petronas yang dipulang semula kepada kerajaan. Untuk perkemaskan lagi perbahasan mengenai isu ini, saya menjemput para pembaca menjamu selera dengan artikel Hishamuddin Rais di bawah:


Barisan Nasional dan Barisan Rakyat bengong dalam hal minyak


Oleh: Hishamuddin Rais



Sejak hampir lima tahun yang lalu saya telah menulis secara konsisten tentang masalah bahan bakar minyak petroleum. Secara jujur saya telah cuba menyedarkan seramai mungkin warga untuk memahami satu hakikat: MINYAK DALAM DUNIA INI TELAH SUSUT. Banyak telaga minyak telah kering. Minyak yang telah dibakar tidak akan ada penggantiannya.


Saya juga telah mendedahkan dan cuba menerangkan apa yang dipanggil PEAK OIL THEORY/TEORI PUNCAK MINYAK. Teori ini mengajukan pandangan bahawa pada satu jangkamasa pengeluaran hasil bahan bakar petroleum berkembang tinggi hingga sampai ke satu puncak. Sesudah sampai ke puncak ini maka pengeluaran bahan bakar ini akan terus menurun dan berkurangan.


Teori ini diasaskan oleh M.King Hubbert pada tahun 1956. Berdasarkan teori ini, M. Hubbert telah meramalkan di antara tahun 1965 ke 1970 pengeluaran bahan bakar petroleum di Amerika Syarikat akan sampai ke puncak. Apabila mencecah puncak ini maka pengeluaran galian petrol di Amerika akan terus berkurangan. Ramalan Hubbert ini cukup tepat. Pada tahun 1970, Amerika wajib menjadi negara pengimport minyak.


Teori Puncak Minyak ini juga telah meramalkan banyak negara-negara pengeluaran minyak dalam dunia ini telah melintas puncaknya. Egypt: 1987, Perancis: 1988, Jerman: 1966, Iran: 1974, India: 1997, Indonesia: 1991, Jepun: 1932 , Libya: 1970, Mexico: 2003, New Zealand: 1997, Nigeria: 1979, Norway: 2000, Oman: 2000, Russia: 1987, Syria: 1996, Tobago: 1981,Venezuela: 1970, UK: 1999 dan Amerika Syarikat: 1970. Ada di antara negara ini masih lagi mengeluarkan minyak tetapi dari tahun ke tahun jumlah tong yang dihasilkan semakin kurang.


Hubbert Peak Theory tidak pernah dipertikaikan. Apa yang selalu ditimbulkan hanya perbezaan tarikh. Ada pakar kajibumi yang telah menyatakan bahawa dunia telah melintasi zaman puncak minyak pada tahun 2005 yang lalu. Ada pula yang meramalkan bahawa puncak minyak akan sampai di antara tahun 2020 ke tahun 2030. Tetapi pada hakikatnya semua pakar kajibumi ini menerima pakai bahawa bahan bakar ini semakin susut, berkurangan pengeluaran dan akhirnya akan habis. Ini bermakna akan berakhirlah Tamadun Petroleum.


Habis di sini bukan bermakna tidak ada lagi minyak dalam perut bumi. Zaman Batu berakhir bukan bermakna batu telah habis. Minyak masih ada dalam bumi tetapi tidak lagi ekonomik untuk mengambilnya keluar. Minyak ialah tenaga. Akan sampai masanya nanti untuk mengeluarkan satu tong minyak dari perut bumi kita memerlukan membakar lima atau sepuluh tong minyak. Ini tidak berbaloi dan tidak ekonomik.


Pada pagi 2hb Januari 2008, harga satu tong bahan bakar petroleum telah mencecah 100 dolar di pasaran dunia. Pada pertangnya harga telah menurun sedikit. Ketika saya menulis ini harga satu tong ialah 99.68 dolar. Saya tidak terperanjat apabila melihat harga minyak naik menjadi 100 dolar untuk satu tong. Dalam tulisan-tulisan saya yang lalu saya juga telah beberapa kali meramalkan harga bahan bakar ini akan terus naik.


Apa yang memeranjatkan saya ialah kenyataan yang keluar dari Parti Keadilan Rakyat yang menyatakan jika parti ini memerintah maka harga minyak akan diturunkan. Untuk saya ini hanyalah kenyataan orang gila atau orang yang tidak tahu tentang Teori Puncak Minyak dan tidak sedar bahawa tamadun dunia hari ini adalah Tamadun Petroleum.


Susulan jawapan dari Najib Razak seorang pemimpin dari parti United Malay National Organisation sama juga gilanya. Najib mengatakan negara ini akan bankrap jika harga minyak diturunkan. Orang yang bernama Najib ini tidak sedar semenjak bila pula negara kita ini tidak bankrap.


Susuk-susuk yang mengeluarkan kenyataan ini tidak memahami tanda dan makna perang di Iraq, perang di Dafur atau perang di Sudan. Mereka juga tidak membaca dan memahami makna ‘war on terrorism’ sebagai dasar luar negara Amerika Syarikat. Mereka juga tidak memahami kenapa Hamid Karzai menjadi penghulu di Kabul. Atau kenapa ada sebuah kapal minyak yang bernama Condoleezza Rice.


Kedua-kedua kumpulan parti politik ini sama tongong dan sama bengong dalam memahami bahan bakar petroleum. Mereka ini adalah sesat lagi menyesatkan. Kedua-dua kumpulan ini TIDAK jujur. Mereka adalah politikus yang hanya bercita-cita untuk berkuasa tetapi tidak memiliki apa-apa di antara dua telinga mereka. Cakap tongong mereka itu bertujuan memancing undi dan mencari untung politik jangka pendek.


Dalam agenda bahan bakar minyak saya menolak kedua-dua kenyataan bengong, sesat dan lagi menyesatkan ini.


Mengikut pandangan parti Keadilan jika United Malay National Organisation telus dalam memberikan perincian perbelanjaan dan pendapatan dari syarikat Petronas maka harga minyak akan dapat ditampung. Jika tidak ada pembaziran dari duit jualan minyak maka harga minyak akan terus dapat di subsidi.


Parti Keadilan tidak sedar dalam masa tidak lebih dari 10 tahun bahan bakar minyak di persisiran laut kita akan habis. Untuk berhujah, kita anggaplah mereka dapat mengambilalih kerajaan. Dalam penggal ke-3 pentadbiran Barisan Rakyat minyak habis. Barisan Rakyat adalah satu pentadbiran yang telus, tidak rasuah dan jujur. Bila minyak habis mereka juga tidak dapat tidak akan menaikkan harga minyak. Ini hukum yang saintifik. Jadi cakap-cakap harga minyak hendak diturunkan itu adalah bohong dan tidak mungkin dapat dilakukan.



Kenaikan harga bahan bakar minyak ini tidak ada sangkut-paut dengan ketelusan kerajaan atau terpaparnya secara terperinci pendapatan dari Petronas. Harga minyak naik kerana minyak dalam dunia ini telah habis. Kenapa bebal sangat untuk memahami hakikat ini.


Kerajaan dalam bentuk apa sahaja – komunis, sosialis, kapitalis, Marxis, Anarkis, Geuvarist, Stalinist, Sosial Demokrat, Islamik, Syiah, Demokrat, Katholikus, Sembahyangist, Hindu, Buddha , kerajaan ada agama, tak ada agama, kerajaan rasuah, kerajaan telus lagi jujur, kerajaan alim lagi warak – semuanya akan menaikkan harga minyak. Inilah yang wajib diterangkan kepada orang ramai secara telus dan jujur.


Juga wajib diterangkan kepada orang ramai :


Hari minyak habis dalam dunia ini akan sampai. Apabila minyak habis ia akan membawa bencana besar dan huru-hara terutama negara yang banyak bergantung pada minyak. Kehabisan minyak akan sampai seperti kereta kita kehabisan minyak. Masanya datang serta-merta dengan tiba-tiba. Yang paling teruk kena bantai apabila minyak habis ialah semua hal ehwal pengangkutan.


Untuk meredakan keadaan minyak habis yang datang secara mendadak kita memerlukan dan mengambil masa untuk membuat persediaan. Kerana itu pemimpin kerajaan dan politikus dari semua kumpulan wajib membaca Peak Oil Theory. Kesedaran minyak akan habis wajib diberitahu kepada orang ramai sekarang.


Sekurang-kurangnya 20 tahun diperlukan oleh kerajaan untuk membuat persediaan berhadapan dengan hari minyak habis. Kerajaan, industri dan para pengguna wajib sama-sama memahami hakikat ini. Tidak dapat tidak akan berlaku kacau-bilau bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia apabila minyak habis.


Saya tidak nampak satu dasar penggunaan bahan bakar petroleum yang tepat dan betul yang sedang diajukan baik dari parti kerajaan atau pun dari Barisan Rakyat. Semua dasar yang mereka ajukan adalah dasar jangka pendek yang digunapakai untuk menipu rakyat. Subsidi atau menaikkan harga bukan jawapan untuk berhadapan dengan zaman kehabisan minyak.


Saya mengajukan satu perubahan struktur budaya hidup yang baru. Mengubah secara struktural dan meninggalkan gaya hidup yang kita guna pakai hari ini. Budaya konsumer dalam tamadun petroleum ini telah nazak dan wajib ditinggalkan.


Orang ramai wajib digalakkan dari hari ini untuk tidak menggunakan kereta persendirian dan beralih kepada sistem pengangkutan awam. Basikal perlu digunakan kembali seperti di zaman ayah dan datuk kita membesar. Hentikan kilang-kilang yang pengeluaran produk-produk yang tidak berguna dan bukan asas untuk hidup. Kota dan bandar kita wajib dapat menampung dan mengeluarkan bahan makanan sendiri. Makanan tidak perlu diambil dari kawasan yang jauh atau diimport. Setiap warga wajib tahu hal pertanian. Tanaman yang diusahakan untuk makanan dan bukan untuk spekulasi mengumpul modal. Siapa bertanam maka mereka dapat makan.


Tempat kita bekerja pula tidak harus jauh dari tempat kita tinggal. Rumah-rumah yang kita dirikan bukan gua-gua batu yang memerlukan alat hawa dingin. Rumah adalah tempat kita berteduh dari hujan dan panas – kembali kepada asas. Penggunaan kuasa elektrik dalam bangunan dan dalam rumah kita seharusnya pada asas yang paling minimum. Kota-kota kita tidak perlu disaluti dengan lampu-lampu neon yang mengiklankan hampeh-hampeh dan membazirkan tenaga lesterik. Minyak, gas dan arang batu yang tidak miliki wajib dijaga dan dipergunakan dengan cermat.


Ekonomi yang berasaskan dolar wajib kita tinggalkan sekarang. Dolar adalah simbol tamadun petroleum. Semenjak tahun 1970-an bilamana Amerika dan Saudi Arabia menjadi sahabat karib maka dunia telah dipaksa menggunakan dolar dalam hal jual beli minyak. Kita semua dan rakyat dunia telah ditipu dengan kertas hijau yang dicetak oleh Amerika. Kertas hijau ini tidak memiliki apa-apa nilai dan zat untuk dimakan. Malah kertas jamban lebih bernilai dan boleh digunakan berbanding dengan dolar Amerika.


Sekali pandang, apa yang saya ajukan ini sebagai cakap yang TIDAK masuk akal. Ianya tidak masuk akal kerana apa yang saya nyatakan ini dibaca dalam tahun 2008. Bayangkan pada tahun 2020 atau tahun 2025, berapa dolar agaknya harga satu tong petroleum? Bayangkan juga sepuluh tahun dari hari ini apabila telaga minyak kita kering. Dari mana hendak dicari dana subsidi untuk menampung pengurangan harga minyak?


Kepada semua politikus dari semua parti politik sila kaji dan fahami tentang Tamadun Petroleum dan kajian teori M. King Hubbert. Jangan menjadi pemalas. Jika tidak tahu apa yang saya tulis ini sila tanya Pak Cik saya Lebai Google.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sdra,mmglah minyak akan habis suatu masa kelak..spertimana manusia dari bayi-muda-tua-mati,begitu juga dgn minyak(ada permulaan dan ada pengakhirannya).Xda la hebat sgt Teori M.King Hurbert tu.tapi sy x nafikan pentingnya ramalan tentang tahun habis minyak tu krna ia penting utk pengurusan demi keadilan semua.Cuma yg perlu kita pandang serius ialah pengurusan atau cara urus selia bahan bakar itu spya dpt digunakan dalam masa yg pjg dan bermanfaat utk sume.

Mudzil berkata...

salam akhi..

menarik kajian yang dibuat..cume mungkin lebih menarik kalau kajian ini ditambah dengan kupasan terperinci dari sudut Islam..Islam dah sebut lame dah pasal emas hitam (petroleum) ni,cume kita terkadang terlalu mengagungkan teori barat yang 150% dicelup dari Islam..

wallahua'lam.