Sabtu, 19 Januari 2008

Coretan seorang aktivis: Sistem Pendidikan dan Neo Kolonialisme-ramuan yang meracuni kebangkitan umat manusia.

FTA merupakan salah satu tangan neo-kolonialisme yang sedang meresap tanpa disedari oleh ramai pihak termasuk aktivis dakwah Muslim.

Oleh rausyanfikir


Kejayaan meloloskan diri dari ‘penjara minda’ yang dinamakan Univeriti sempena cuti semester lepas merupakan satu nikmat yang cukup hebat. Mungkin konotasi ‘penjara minda’ ini agak radikal buat mahasiswa yang saban hari menghabiskan sisa hidup remajanya di sebuah institut pengajian tinggi swasta tetapi itulah realiti mengikut pandangan hidup saya.


Dari zaman kolonial lagi, institusi pendidikan merupakan alat terpenting buat penjajah untuk melengkapi agenda penjajahan mereka. Dengan penguasaan sistem pendidikan dalam sesebuah tanah jajahan, ilmu yang dibawa masuk tentunya bersifat pro-penjajah seperti mana sewaktu British menjajah India, mata pelajaran sejarah yang di ajar diputar 180 darjah ke sebelah British. Orang India dimomokkan dengan misi ‘White Man’s Burden’ yang bertemakan beban orang putih untuk memajukan bangsa mereka daripada kekolotan budaya Timur yang ‘tidak bertamadun’.


Sisa dan keladak yang tinggal dalam sistem pendidikan Negara bekas penjajah masih dapat dihidu. Buktinya ialah masalah yang dihadapi oleh Negara bekas jajahan masih tidak berubah seperti mana yang diharapkan. India mungkin boleh berbangga dengan syarikat gergasi seperti Infosys dan Wipro yang melahirkan jutawan baru tetapi hakikatnya Negara Gandhi itu diserang dengan penyakit ketidak adilan, penindasan golongan bawahan dan pergolakan etnik yang dahsyat.


Kemerdekaan yang dicapai separuh masak daripada penjajah hanya membawa kepada satu bentuk penjajahan bentuk baru yang dipanggil ‘neo-kolonialisme’ dimana pemimpin yang diikitiraf oleh penjajah selalunya mendapat pendidikan Barat yang berpaksikan epistemologi sekularisme dalam pengembangan ilmu-ilmu mereka. Maka, bagi Negara-negara dunia ketiga, terutamanya Negara-negara Islam kemerdekaan yang berlaku hanyalah kunci kepada pintu ‘Neraka Dunia’.


Lihat saja nasib Negara-negara dunia ketiga yang dieksploitasi dengan begitu rakus oleh ‘anjing putih’ seperti British dan Perancis. Mitos ‘masyarakat yang malas’ seperti mana yang diutarakan oleh intelektual Syed Hussein Al-Attas dan Edward Said sememangnya masih melekat pada kulit masyarakat dunia ketiga. Kita masih lagi tidak mampu berdiri dengan sendiri dalam semua hal malah lebih malang apabila menerima mentah-mentah segala bentuk ilmu, budaya dan pemikiran dari bekas penjajah.


Kita akan rasa jijik melihat bangsa sendiri mengenakan pakaian tradisional seperti kain pelikat, baju kurung dan jubah dan kita mendabik dada dengan tanda nama ‘profesionalisme’ melalui pakaian seperti blazer, tali leher dan skirt. Pernahkah kita mempersoalkan kenapa kita perlu mengenakan semua itu? Sampai hari ini, saya tidak dapat memahami keperluan menjerut leher dengan kain tersebut.


‘Neo-kolonialisme’ ini tidak hadir dengan bendera Union Jack tetapi dengan logo McDonald, KFC, dan Shell. Syarikat-syarikat multinasional inilah merupakan ejen kepada penjajahan bentuk baru. Mereka akan mengkader anak bangsa yang tuli mata hatinya untuk dijadikan kapitalis baru yang akarnya menjulur ke bawah tetapi pemikirannya nanar sekali. Golongan kapitalis ini sentiasa mabuk kuasa dan kekayaan dengan menghisap darah golongan bawahan dan mahasiswa merupakan calon-calon yang ideal kepada proses perkaderan tersebut.


Saya percaya, ramai mahasiswa dan mahasiswi masih terperangkap dengan mitos ‘kejayaan’ dan ‘kebahagiaan’ yang dimomokkan melalui lensa materialis dan individualis. Sebenarnya, dengan menerima semua itu secara membabi buta hanya menjatuhkan diri sendiri ke dalam gaung yang dalam lagi gelap. Untuk keluar daripadanya memerlukan pengorbanan yang tidak erti peritnya apabila semua itu telah menjadi satu norma buat kehidupan yang yang 'mabuk' berkerjaya.


Kebiasaannya, siswa dan siswi yang bijak pandai ini akan dipancing dengan begitu cepat oleh syarikat-syarikat multinasional dengan menawarkan kemewahan yang begitu lumayan. Mereka sangka kebahagiaan dalam hidup akan datang hanya denga harta sedangkan erti kehidupan tidak pernah dipersoalkan sepanjang badannya dikandung nyawa.


Sayangnya, semua itu tidak ubah seperti mimpi palsu. Jauh dilubuk realiti, masyarakatnya, bangsanya, agamanya serta tanah airnya tidak ubah seperti bangkai bernyawa. Mati, bisu dan kelu. Perbezaan darjat antara yang kaya dan miskin begitu besar, budaya dan tradisi hanya menjadi sisipan dalam buku teks Sejarah. Apakah ini erti ‘kejayaan’ dan ‘kebahagiaan’?


Hanya siswa dan siswi yang ‘sedar’ dari lamunan dan mimpi ‘indah’ ini sahaja akan mengenal erti kehidupan. Sebagai Muslim, saya melanggani erti kehidupan seperti yang biasa kita dengar dalam Al-Quran bahawa kejadian diri yang hina ini hanya semata-mata menjadi hamba kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Begitu juga dengan makna ‘khalifah’ yang dikurniakan oleh Allah subhana wataala kepada kita tidak boleh dipandang semata-mata sebagai tanggungjawab kepada diri sendiri sahaja.


Sebagai Muslim, terutamanya mahasiswa yang punyai daya intelektual sudah tentu kelebihan ini bukan milik kita seorang. Perlunya kita sedar hakikat dimana perit jerih para petani, nelayan dan para pekerja saban hari membanting tulang untuk ‘memajukan’ Negara ini. Dengan penat lelah itulah Negara ini terbina dan dengan penat lelah itulah juga ramai diantara generasi muda seperti kita ini mampu berpijak di menara gading. Sayang sekali, sistem pendidikan negara kita tidak pernah berterima kasih kepada golongan ini malah menindas mereka dengan tipu daya dunia korporat yang tidak bertuhan! Celakalah bagi mereka yang melupai golongan-golongan tersebut!


Maka atas kekurangan diri ini, perlunya saya untuk terus berbakti kepada masyarakat. Perlunya saya sendiri melihat masyarakat. Penindasan yang terang seperti yang berlaku di Kampung Berembang dan petani Kerpan mahupun penindasan tersembunyi yang dapat dilihat setiap hari jam 5 petang ketika berduyun-duyun manusia pulang dari kerja menaiki bas ikan sardin dengan air muka yang kelat kepenatan.


Layakkah kehidupan sebegini buat kita semua? Sampai bila untuk kita biarkan rakyat ini bergelumang dengan penipuan ‘kejayaan’ dan ‘kebahagiaan’ yang materialis? Golongan kapitalis harus ditumbangkan. Islam tidak pernah menghalalkan jurang yang besar ini wujud dalam kehidupan umat Islam dan umat manusia sejagatnya.


Ingatlah, penjara yang paling selamat ialah apabila penghuni penjara tersebut menyangkakan mereka bebas seperti burung hakikatnya merekalah penjara kepada diri sendiri.

Tiada ulasan: