Rabu, 23 Januari 2008

Apabila Amerika bersin, Dunia mendapat flu.

Baru sedar: Media Malaysia mula fokus kepada isu sebenar. (NST 23 Januari 2008)


Saya tidak berminat dengan konotasi dan nombor indeks bursa saham dalam 'membaca' keadaan ekonomi semasa. Apa yang berlaku pada masa kini jelas menunjukkan sistem kapitalisme yang sarat dengan riba' bakal sampai ke penghujungnya ( Francis Fukuyama telah menarik slogan 'The End of History' baru-baru ini)


Peristiwa ekonomi gawat sebegini bukanlah yang pertama kali. Semenjak dunia perdagangan moden tercetus melalui teori-teori ekonomi Adam Smith dan David Ricardo ditambah pula dengan Revolusi Industri Britain, dunia kita sudah sebati dengan sistem kapitalisme. Pencabar terdekat kepada sistem ini ialah sosialisme. Umat Islam pada waktu itu sedang dirunding malang yang berterusan dan tidak termasuk ke dalam pertarungan dua ideologi besar tersebut. Malah kita telah dimanipulasi untuk kepentingan kedua belah pihak tersebut yang jelas dapat dilihat melalui perang antara Soviet dan Taliban sekitar 80-an dahulu.



Krisis yang berlaku ini sudah lama bermula semenjak masalah subprima di Amerika pada tahun lepas dan kini merebak ke seluruh dunia akibat pengaruh matawang Dolar yang diguna pakai secara luas di peringkat ekonomi antarabangsa. Bank-bank gergasi seperti Morgan Stanley dan Citibank sedang menghadapi keadaan yang gawat sehingga terpaksa diberi bantuan oleh negara-negara Asia yang mempunyai lebihan simpanan wang.


Sekali lagi, umat manusia terutamanya umat Islam masih gagal menilai permasalahan akar yang sebenar dalam bab ekonomi.


Kita sedang bergelumang dengan sistem riba' pada masa yang sama ditipu mentah-mentah dengan kekayaan wang kertas. Islam sudah menggariskan bahawa riba' itu HARAM . Wang kertas yang ada juga tidak ubah seperti penipuan paling tidak disedari oleh umat manusia kerana nombor yang tercetak di atas sehelai kertas tersebut tidak memberi apa-apa nilai jikalau simpanan di bank-bank tidak sama dengan jumlah wang kertas yang ada. Inilah akibat menolak fitrah ekonomi yang dianjurkan oleh Allah kepada manusia iaitu seharusnya kita, umat Islam terutamanya menggunakan dinar emas yang mempunyai nilai yang tetap dan intrinsik.



Sejarah pernah menunjukkan ketika mana berlaku The Great Depression pada tahun 30-an, susunan wang kertas yang setinggi meja makan tidak memberi apa-apa makna kerana nilai wang tersebut susut dengan teruk akibat krisis ekonomi di Barat. Sejarah juga telah merekod bahawa Perjanjian Bretton Woods yang didalangi Amerika Syarikat pada tahun 1944 telah melucutkan peranan matawang emas dalam ekonomi dunia dan diganti dengan wang kertas.


Disinilah bermulanya derita ekonomi umat manusia secara sistematik. Penubuhan Bank Dunia, IMF dan pada lewat 80-an, GATT (sekarang diganti dengan WTO) telah jelas menunjukkan terdapat agenda neo-kolonialisme terhadap negara-negara Dunia Ketiga. Kapitalisme menjadi semakin berpengaruh dan terminologi dualisme seperti 'Negara Membangun vs Negara Sedang Membangun', dan 'Negara Dunia Pertama vs Negara Dunia Ketiga' telah melincinkan lagi sistem kapitalisme yang sarat dengan elemen riba' baik dari segi perbankan serta perdagangan.


Proses ini turut dibantu dari masa ke semasa dengan pengwujudan terminologi 'Globalisasi', dan 'Modenisasi' sebagai umpan kepada negara-negara bekas penjajah untuk menuruti jejak langkah negara-negara Barat yang kononnya telah 'maju' mengikut definisi mereka.



Malaysia merupakan salah satu 'anak murid' yang jujur terhadap proses 'globalisasi' dan 'modenisasi' anjuran Barat. Maka, lihat saja bagaimana negara ini dicorak oleh pemimpin yang melaungkan slogan-slogan 'pembangunan', 'kemajuan' dan 'modal insan' tetapi pada hakikatnya mereka sendiri tin kosong dan bebal dalam menilai kesan sebenar kepada penggunaan terminologi tersebut.


Apa yang pasti pada ketika ini Malaysia masih memikirkan sesuatu yang idealistik kerana beranggapan dengan keadaan ekonomi dunia yang sedang menghampiri kehancuran yang lebih dahsyat daripada krisis ekonomi 1998, Pak Lah dan rakan masih mampu tersenyum dan bersikap optimis.


Persoalannya sekarang, siapakah yang akan membantu rakyat dalam menghadapi keadaan sebegini? Rakyat perlu diperjelaskan situasi sebenar walaupun pahit untuk ditelan bagi mempersiapkan diri dan keluarga daripada tersentak kuat oleh keruntuhan ekonomi dunia.

Tiada ulasan: