Isnin, 31 Disember 2007

Politik Melayu: Nasihat buat para pendokong PAS.

Pemimpin Melayu bakal bersatu?

Oleh rausyanfikir

Sepanjang tahun 2007 ini, sudah pelbagai cabaran dan kejayaan yang kita lalui bersama sebagai rakyat Malaysia. Ternyata rakyat Malaysia sudah mula terjaga dan mencelikkan mata dalam memahami permasalahan yang sedia wujud pada waktu ini. Perhimpunan BERSIH, kes Linggam dan Hindraf memacu dengan hebat momentum kebangkitan ini. Ternyata, rakyat kita mula inginkan perubahan. Yang jelas disini orang Cina dan India sudah berada di satu posisi untuk perubahan, orang Melayu bagaimana?

Tumit Achilles orang Melayu

50 tahun sepatutnya sudah cukup untuk kerajaan membuang tongkat yang diberikan kepada orang Melayu untuk membiarkan mereka berdiri dengan sendiri seperti kaum lain. Oleh kerana kepincangan yang ketara berlaku dalam sistem negara kita, yang menjadi mangsa utama adalah orang Melayu. Lebih parah korupsi yang wujud ini timbul apabila Melayu diceraikan daripada Islam sebagai panduan hidup, maka tidak hairan nasib kita seperti pengemis di negara sendiri.

Maka lahirlah golongan Melayu yang tidak kenal sejarah, erti pengorbanan, dan Islam yang syumul (lengkap). Identiti Melayu itu hanya tinggal pada kulit dan bahasa. Isi sebenar (yakni Islam) yang memapah keluar orang Melayu daripada zulumat (kegelapan) hanya menjadi sebahagian daripada budaya ritual sehari-harian. Itulah nasib Islam pada hari ini. Kesan penjajahan paling besar bukanlah diukur sebelum merdeka tetapi bagaimana kita mengangkat diri kita semula setelah dipijak Inggeris dan kuasa asing yang lain selepas merdeka.

Namun, masih ada orang Melayu yang berpegang teguh kepada Islam dalam kehidupan seharian. Mereka berani, tidak gentar malah bangga memakai baju akhlak Islam. Golongan Melayu inilah yang menjadi penggerak dalam mengembalikan maruah dan kekuatan sebenar orang Melayu.

Realitinya, suka ataupun tidak kita harus akui orang Melayu memang berpecah kepada dua golongan besar apabila memilih pemimpin: UMNO dan PAS. Perpecahan ini merupakan liabiliti yang cukup besar sebenarnya jikalau hendak dibandingkan dengan kaum-kaum lain.

Polarisasi sebegini akhirnya menimbulkan perpecahan yang dahsyat apabila kedua-dua golongan ini membawa identiti masing-masing ke dalam politik. Kita harus sedar dan akui, orang Melayu sedang berada dalam posisi yang sangat bahaya akibat daripada semua ini.

Salah siapa?

Adakah PAS ataupun UMNO yang bersalah dalam masalah perpecahan ini? Tidak mudah untuk memberi jawapan yang padat dan tepat kerana terlampau banyak faktor yang melahirkan senario sebegini dalam komuniti orang Melayu. Yang lebih penting sepatutnya kita memikirkan penyelesaiaan yang komprehensif dalam berhadapan dengan situasi sebegini.

Saya kira, kita sedia maklum bahawa masalah korupsi yang bersarang dalam sistem negara kita telah disedari oleh ramai orang Melayu sekian lamanya. Yang menghalang daripada mereka untuk bangkit sepenuhnya adalah ketidak pastian dalam menentukan masa depan mereka sendiri.

Mereka sedar, kebergantungan kepada kepimpinan UMNO sudah sebati dengan darah daging mereka. Minda mereka sudah dibasuh bahawa hanya UMNO yang mampu memberikan bantuan, dan kemajuan kepada orang Melayu. Tidak hairanlah orang Melayu baik di kampung dan bandar tidak mahu untuk berubah.

Harapan masih ada

Bukan satu kerja yang mudah untuk 'memerdekakan' orang Melayu secara total tetapi bukanlah satu perkara yang mustahil jua. PAS masih mampu menyandang peranan sebagai jentera perubah itu. Hanya jentera. Bukan perubah. Ini adalah kerana, seperti mana yang telah termaktub dalam Al-Quran, nasib sesuatu kaum itu hanya boleh diubah oleh kaum itu sendiri. Maka, untuk melihat orang Melayu menjadi bangsa yang berjaya dunia akhirat, dia sendirilah harus berbuat begitu. Peranan golongan yang sedar seperti PAS hanyalah sebagai pembantu kepada kebangkitan itu.


Sistem demokrasi berparlimen menyediakan satu jalan mudah dan ringkas untuk melakukan perubahan secara kolektif (tetapi bukan cara yang paling ideal dan mutlak). Kita tahu orang Melayu mula sedar akan masalah negara, tetapi masih bersikap individualistik kerana kebergantungan kepada UMNO itu masih ada walaupun sekelumit. Maka, anjakan paradigma untuk mereka beralih arah itu agak sukar dengan keadaan sebegini.

Apakah cara terbaik untuk membantu golongan 'atas pagar' seperti mereka ini?

Bagi saya, PAS harus berdiri di atas kerusi yang sama tinggi dengan UMNO. Kita ketepikan dulu isu kotoran degil SPR, Polis dan sebagainya. Yang penting kita semak kembali kekuatan dan kelemahan kita untuk menghadapi situasi sebegini. Maka disini saya ingin memberi sedikit kritikan dan komen bagi sama-sama kita bantu arus reformasi politk Melayu mutakhir ini:

1. Kurangkan emosi, banyakkan rasional


Orang Melayu sedia maklum bahawa PAS merupakan parti pembangkang yang paling lantang terhadap UMNO. Kebanyakkan ceramah, dan penulisan yang dikeluarkan Pas sangat panas untuk didengar dan ditatap. Malangnya orang Melayu secara umumnya tidak bersifat memberontak seperti orang Pakistan dan Indonesia. Mentaliti feudalistik, iaitu taat kepada pemimpin itu bukan mudah untuk disergah dengan ucapan yang emosional.

Kita semua sedia maklum ceramah PAS pasti dihujani dengan label-melabel, dan kritikan yang sangat keras kepada UMNO kemudian diselangi dengan laungan takbir. Untuk seketika, saya mengajak pembaca semua meletakkan diri anda sebagai orang biasa, dan sebagai orang bukan Islam yang datang ke ceramah tersebut.

Apa perasaan dan pandangan anda? Gerun? Terkejut? Ganas? Bukankah Islam itu menekankan akhlak yang tinggi?

Inilah antara persoalan yang ditimbulkan oleh golongan Melayu 'atas pagar' dan kebanyakkan orang bukan Melayu di negara kita. Terlampau emosi dalam menyampaikan kebenaran sehingga akhirnya kebenaran itu terselindung disebalik emosi yang meluap-luap itu.

Apakah Penyelsaiaannya?

Lihat saja Mursyidul Am PAS. Bagaimana beliau menyampaikan kebenaran baik dari sudut politik mahupun ilmu agama kepada pendengar. Beretika dan menetapi akhlak sebagai seorang pendakwah. Tidak hairan semua orang, tidak kira Islam ataupun tidak begitu menghormati beliau.

Sayangnya, pemimpin dibawah beliau tidak begitu. Ini mengakibatkan imej PAS yang dibawa Tok Guru susah hendak kekal relevan kepada ramai pihak kerana lebih ramai lagi pendokong PAS yang bersikap emosional dalam menyampaikan kebenaran. Ini harus dikurangkan sebanyak mungkin dalam berkempen menjelang PRU akan datang. Nampak kecil tetapi kesannya besar diluar kaca mata penyokong dan pendokong PAS, terutama terhadap orang bukan Islam. Imej rasionaliti dalam berkempen lebih kekal sifatnya daripada emosi yang timbul sepanjang ceramah.

2. Berikan penyelesaiaan, bukan pernyataan.

Bagi penyokong dan pendokong PAS serta ahli gerakan Islam yang lain, mereka sudah sedia maklum kewajipan mengundi pemimpin Islam. Bagaimana pula dengan orang Melayu 'atas pagar' dan orang bukan Islam? Apakah modal yang mampu menggerakan tangan mereka untuk bersama PAS? Adakah cukup sekadar menyokong pendirian PAS dalam mempersetujui bahawa Barisan Nasional korup?

Apa yang mereka dan rakyat Malaysia mahu lihat ialah penyelesaiaan. Sejauh mana PAS mampu menjadi penggubal dasar dan polisi yang baik. Mereka mahu lihat PAS mampu berdiri sebagai kerajaan bukan lagi pembangkang, sebagai policy maker bukan lagi pengkritik dan sebagai pemimpin rakyat Malaysia bukan sahaja pemimpin umat Islam.

Maka dalam ceramah-ceramah dan kempen yang diadakan, pimpinan yang berceramah perlulah memberi panduan dan maklumat yang jelas akan berkenaan perancangan dan penyelesaiaan bagi masalah yang dihadapi agar maklumat ini dapat disebarkan kepada sahabat handai, kaum keluarga dan jiran tetangga masing-masing. Tidak cukup mendedahkan kelemahan lawan tetapi lebih penting lagi meng ‘izah’kan kekuatan yang kita miliki.

3. Ramaikan kawan, kurangkan musuh.

Akhlak dan moral merupakan aset utama buat PAS dalam menambat hati rakyat. Imej Islamik sudah sebati sekian lama pada kaca mata orang awam betapa ulama' ialah orang yang suci dan murni. Tetapi dalam era 'Perang menentang keganasan' ini, imej Islamik sering dikaitkan dengan radikalisme, mundur dan anti-pembangunan bercorak progresif ( ala Barat).

Realiti sebenar juga memaparkan seorang ulama' belum tentu dapat menjadi seorang pemimpin dan wakil rakyat yang sempurna. Apakah kita mengharap seorang Ustaz Al-Azhar untuk bercakap mengenai perdagangan, undang-undang tanah, dan masalah tanah runtuh akibat pembangunan yang rakus?

Itu semua bukan bidang mereka dan disinilah kita sebagai rakyat harus membantu calon-calon pemimpin ini memahami isu-isu yang penting dalam memimpin masyarakat moden. PAS mungkin ramai golongan profesional yang petah berbahasa Inggeris dan lulusan universiti tetapi setakat hari ini, penafsiran masalah masyarakat yang bersifat teknikal (ekonomi, alam sekitar, kepenggunaan) masih kurang memuaskan.

Adakah semua ini hanya perlu dipikul oleh Dr Dzukifli (ketua Pas Research Center) sahaja? Saya pernah mendengar beliau mengeluh bahawa kurang tenaga kerja dalam membantu beliau mengeluarkan polisi-polisi yang komprehensif. Jikalau pernah berjaya sekalipun, idea tersebut tidak dapat diterima ramai mungkin kerana terlampau kompleks atau sifat malas sesetengah daripada pendokong gerakan untuk mengetahui lebih mendalam permasalahan yang ada.

Langkah pertama ialah untuk membuka minda menerima kritikan dan teguran daripada semua pihak. Kemudian, rujuki pakar-pakar terutamanya NGO yang memiliki data serta analisa yang lebih mendalam berkaitan isu yang sedang berlegar-legar dalam masyarakat sekarang. Golongan profesional tidak cukup sekadar menghadiri ceramah, urus program, dan meng’infaq’ duit sahaja malah perlu memerah otak dalam menafsir masalah dan memikirkan resolusi sebelum dan selepas pilihan raya.


Kita sedar kekurangan tenaga kerja itu memang wujud tetapi jikalau kita melakukan kerja yang tidak tepat kerana penafsiran yang ringkas dan tidak komprehensif, itu adalah lebih parah dan rakyat hanya akan melihat PAS sebagai pembangkang. Tidak lebih daripada itu dipenghujung hari.


Kita tidak mahu orang awam melihat PAS sebagai 'parti semusim' yang gah mendedahkan kepincangan sebelum pilihan raya tetapi kita juga mahu orang awam berasa kagum dengan sifat istiqamah PAS dalam membantu rakyat menyelesaikan masalah selepas pilihan raya walaupun tidak memegang tampuk pemerintahan. Bagaimana teruk pun kita ditipu SPR, alasan sebegini tidak mampu melegakan hati orang ramai yang telah meletakkan harapan yang besar terhadap PAS.


Pecutan terakhir.

Saudara Mahfuz dalam ucapan amanat pilihan raya kepada Pemuda PAS Selangor di Taman Melewar pada malam Sabtu yang lepas memberikan satu analogi bahawa perjuangan ini diibaratkan sebagai satu perlumbaan jarak jauh. Sudah sampai masanya kita membuka telinga untuk mendengar loceng yang bakal dibunyikan yang menandakan bahawa kita sedang berada pada pusingan terakhir perlumbaan tersebut. Adakah kita akan terjatuh begitu sahaja dan membiar kepincangan yang ada melangkaui kita?

Sudah tentu tidak. Segala peristiwa yang berlaku pada tahun ini sememangnya sudah mampu meletakkan PAS di satu posisi yang cukup menguntungkan dalam usaha parti memulihkan sistem yang korup. Adalah teramat rugi jikalau kelebihan yang Allah bagi kepada kita ini disia-siakan dengan kerja 'separuh masak' daripada semua pihak.
Harapan saya walaupun agak sukar untuk kita melihat Barisan Alternatif berdiri sebagai kerajaan yang baru tetapi biarlah PAS dan parti pembangkang yang lain menjadi satu kuasa yang cukup kuat sebagai pengimbang tara buat kerajaan akan datang. Moga-moga kita dapat melihat satu lagi sejarah yang bakal tercipta melalui usahasama yang jitu lagi persis dari semua pihak. Hanya Allah mengetahui yang terbaik.

Ahad, 30 Disember 2007

Celoteh Buku

Sepanjang cuti ini, duit saya hanya dihabiskan kepada buku. Obsesi kepada karya-karya 'berat' telah menjadi sebahagian daripada hidup semenjak melangkah ke menara gading nun jauh di hutan Tronoh, Perak. Disana juga saya mengenali erti sebenar 'kehidupan' melalui usrah, perbincangan ilmiah bersama ustaz , pensyarah dan aktiviti sebegini yang memacu minat saya untuk menggali lebih banyak cabang-cabang ilmu diluar bidang yang dipelajari (saya mengambil jurusan Kejuruteraan Kimia).

Lagi banyak saya membaca, lagi terbuka hijab tentang realiti kehidupan lampau dan masa kini. Saya menjadi lebih kritikal terhadap semua perkara. Pernah juga bersikap kritikal terhadap Islam dan terbukti saya kalah. Sungguh lengkap dan komprehensif, relevan sepanjang zaman. Maka dengan demikian, Islam yang saya anuti setelah menempuh zaman penghujung remaja merupakan Islam yang tersembunyi disebalik buku teks Pendidikan Islam pada zaman persekolahan dahulu.

Tetapi, saya masih tidak berpuas hati. Demi memahami keadaan, dan permasalahan umat manusia, saya teruskan ekspedisi menggali ilmu dengan lebih serius. Hampir semua cabang ilmu saya terokai; sosiologi, ekonomi, pendidikan, sains, konsumerisme, sejarah, falsafah etc.

Sebelum ini, saya senang menerima idea baru dengan mentah seperti contoh idea ' Perang antara Tamadun' yang dipelopori oleh Samuel Huntington. Melalui pembacaan tambahan, diskusi bersama pemimpin NGO, ustaz dan sahabat, saya mula berani mengkritik idea-idea tersebut.

Saya rasa, bidang kejuruteraan bukanlah my cup of tea. Oleh yang demikian, Insyaallah, saya akan menyambung pelajaran dalam bidang soft sciences seperti ekonomi, psikologi etc. bagi menampung minat saya dalam mengupas kebenaran kehidupan.

Indah sekali dunia ilmu. Sedikit perkongsian buku-buku yang telah dibeli pada waktu cuti ini ( habis kira-kira RM 600.00):



The Culture Industry
karya salah seorang Marxist daripada kelompok intelektual Frankfurt school berkisar berkenaan budaya yang dicorak oleh industri (sudah tentu berkait rapat dengan sistem kapitalisme). Buku ini agak berat dari segi bahasa dan isinya tetapi berbaloi untuk dibaca kerana sangat membantu kerja-kerja aktivisme bersama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kelak.



Dari kelompok anti-kapitalis yang gila, Adbusters merupakan golongan aktivis sosial yang memerangi industri pengiklanan dan budaya kepenggunaan yang rosak di Barat. Mereka radikal dan sangat kreatif. Boleh lawati laman web mereka di www.adbusters.org



Saya tidak boleh tidak untuk membeli karya Edward Said yang satu ini. Siapakah intelektual? Apakah peranan mereka dalam masyarakat? Apakah pendirian mereka? Kita perlukan intelektual yang memahami masalah umat Melayu pada zaman moden. Dibantu oleh ulama', saya kira gandingan sebegini dapat merealisasikan impian bangsa kita.



Buku yang disyorkan oleh Herry Nurdi, editor majalah Sabili (majalah mingguan PKS, Indonesia) ketika bertemu dalam program anjuran CAP dan TERAS. Bagus sungguh pembacaan ahli-ahli gerakan di seberang. Silibus ilmu mereka tidak hanya pada Imam Hassan Al Bana dan Syed Qutb. Guns, Germs and Steel merupakan karya unik Prof. Jared Diamond yang membincangkan ketamadunan manusia selain tamandun Besar dunia dari pelbagai sudut (sejarah, geografi) yang mungkin boleh dipakai guna untuk menganalisa keadaan semasa kelemahan manusia moden. Global Capitalism secara ringkasnya menceritakan sejarah Kapitalisme, sistem ekonomi yang hampir kesemua umat manusia sedang merasai kesannya dan sangat relevan untuk penggubal polisi alternatif (terutamanya Barisan Alternatif) dalam mencari Achilles' Heel sistem ini dari sudut sejarahnya.



Sebelum ini, saya kira Paul J Samuelson, Milton Friedman jaguh ekonomi sebenar. Rupanya tidak. Merekalah topeng kapitalis free market yang meranapkan alam sekitar dalam memperjuangkan ekonomi tanpa Tuhan yang dibawa mereka. Maka, perlulah mencari resolusi melalui Islam ( bukankah Islam itu lengkap?). Islamic and Economic Development daripada M.Umer Chapra dapat membantu. Buku disebelahnya merupakan buku yang saya kerap kali sorok di Kinokuniya KLCC. Sudah lama saya tenung, belek, dan baca secara percuma di sana. Selaku pendokong sekolah pemikiran Gerakan Sosial P.Pinang (Penang activist's school of thoughts) yang dibawa oleh S.M Idris (Presiden CAP) dan Tuan Haji Azmi Abdul Hamid (Presiden TERAS), The Development Dictionary merupakan satu pembelian yang wajib buat saya. Buku ini membongkar rahsia, dan realiti disebalik segala macam konotasi yang baru diwujudkan sekitar abad ke-20 dalam meneruskan hegemoni Barat ke atas kita, rakyat dunia ketiga. Konotasi seperti moden, globalisasi, pembangunan, sains, etc. dibincangkan dan dikupas secara kritikal oleh pemikir dan aktivis sosial gerakan sosial dunia seperti Ivan Illich dan Vandana Shiva (sudah tentu ramai rakyat kita tidak mengenali mereka melainkan NGO yang bekerja rapat dengan mereka ini).



Namanya memberi satu sentimen yang tidak senang kepada saya. Buku Masyarakat Islam Hadari ini dibeli atas dasar penulisnya, Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, anak murid Prof Syed Naquib Alatas yang merupakan antara intelektual Islam yang saya hormati. Menarik. Semenjak saya mula mengenali beliau dan Prof Syed Naquib Alatas (melalui pembacaan karya mereka) saya mula berjinak-jinak untuk memahami peranan sebenar gagasan Islamisasi Ilmu (Islamization of Knowledge) yang dipelopori oleh Prof Naquib di ISTAC dahulu. Pada waktu cuti ini juga penulis sempat mendengar ceramah eksklusif Dr.Ugi Suharto, (anak murid Prof Naquib juga) dalam mengupas idea Islamisasi yang dibawa oleh Prof Naquib. Dari situlah saya mula sedar betapa pentingnya kita, umat Islam melihat semula bidang ilmu yang dibawa oleh sistem pendidikan kita pada masa ini.


Hero saya. Malcolm X merupakan pejuang Islam yang paling tidak disedari/dikenali (mungkin) oleh umat Islam Malaysia. Klasik sekali.


Lagi buku-buku falsafah dan revolusi Eropah. Berat lagi membingungkan.



Syaikh Imran Hosein merupakan ulama' yang unik. Satu-satunya ulama' yang konsisten dalam menganalisa Quran dan Hadith bagi memahami Peristiwa Akhir Zaman dalam pada masa yang sama mampu mengaitkan dengan dunia moden. Beliau merupakan ulama' yang hebat. Bukan sahaja menerima pendidikan daripada Maulana Dr Fazlur Rahman Ansari ( anak murid kepada Sir Allama Muhammad Iqbal, pemikir agung dan ahli sufi Islam abad ke-20) malah beliau turut menuntut ilmu dalam bidang ekonomi di Switzerland. Nyata, gandingan ilmu tradisional dan moden membuatkan karya beliau lain daripada yang lain. Wajib dibaca oleh umat Islam terutamanya berkenaan tajuk Dajjal, Israel, dan Ya'juj dan Ma'juj.



Benarkah kita sudah memahami sekularisme? Buku Islam and Secularism karya Prof Naquib ini merupakan karya ulung dalam membahas bab sekularisme dalam dunia Ilmu. Tajam, sangat berat dan sangat sukar dibaca. Elok dibincang dalam usrah ataupun bersama ustaz.


Risalah Untuk Kaum Muslimin sudah lama, kira-kira 30 tahun yang lepas dalam Bahasa Inggeris. Tidak diterbitkan dalam Bahasa Melayu ( baru diterbitkan pada tahun 2001) kerana Prof Naquib khuatir ideanya susah hendak diterima umat Melayu pada zaman itu. Mendapat sambutan hangat dari dunia Islam dan telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa. Pendidikan Islam yang ditulis oleh Prof Wan ini mengupas secara mendalam akan gagasan Islamisasi Prof Naquib.


Buku Oh Buku!

Mustahil saya dapat membaca habis kesemua buku ini dalam masa sebulan. Internet, video dan akhbar perlu juga diteliti. Walau bagaimanapun, saya cuba curi sebanyak mungkin masa yang ada bagi meneliti idea besar setiap karya dengan harapan dapat berkongsi dengan orang ramai. Saya percaya tidak ramai umat Melayu Islam, terutamanya ahli gerakan Islam mampu membaca karya dalam Bahasa Inggeris yang berat. Maka disini saya merasakan selaku mahasiswa yang mempunyai kapasiti dan ruang ilmu yang terbentang luas ( ditambah dengan masa yang secukupnya) perlu dipermudahkan bagi membantu mutiara ilmu ini tersebar lebih jauh (terutamanya idea Prof Naquib yang sangat kompleks) dengan harapan perjuangan yang kita pacu ini persis lagi jitu dalam menilai isu dan masalah yang ada.

Jumaat, 28 Disember 2007

Penulis Cilik lambang Budaya Ilmu Indonesia




Kita hanya mengenali Indonesia melalui pekerja asing dan pendatang haram yang sering kali dipaparkan dalam media massa tanah air. Bencana alam dan korupsi mungkin menghambat Indonesia daripada bangkit sebagai sebuah negara yang setaraf dengan Malaysia, jikalau hendak diukur dari pembangunan material semenjak kita merdeka.

Yang lebih hairan, amat jarang sekali disiarkan aspek positif yang boleh kita contohi daripada saudara serumpun kita ini. Bukan menjadi satu rahsia lagi. Sehodoh-hodoh imej yang digambarkan oleh media massa melalui pendatang tanpa izin warga Indonesia hodoh lagi negara kita yang mandul dengan budaya Ilmu.

Ya, negara Malaysia yang kononnya sudah mencapai taraf 'negara maju' melalui indikator PBB yang dicanang hebat oleh Pak Lah beberapa bulan lepas sememangnya mandul dengan budaya Ilmu. Indonesia tidak.

Budaya Ilmu di Indonesia sangat subur dan matang. Masakan bagaimana pengeluaran buku Indonesia berlipat kali ganda lebih banyak daripada kita. Ditambah pula pengeluaran buku-buku Indonesia kebanyakkannya menggalas tema ilmu yang berat daripada Islam, falsafah hinggalah kepada sastera.

Disini, penulis ingin membawa satu contoh yang wajar kita teladani dalam melahirkan intelektual yang lebih berwibawa pada masa akan datang. Anak muda seperti ini seharusnya dijadikan role model kepada anak-anak bangsa kita untuk menceburi bidang penulisan dengan lebih serius. Tabik kepada warga Indonesia kerana berjaya melahirkan jaguh sebegini.

Pakistan: Model 'Negara Islam' yang Gagal

Oleh: Rausyanfikir



Pemergian Benazir bakal mengubah corak politik Pakistan

Kematian bekas Presiden Pakistan, Benazir Bhutto akibat serangan berani mati yang turut mengorbankan 14 orang rakyat jelata yang lain telah menggegarkan dunia politik semasa. Kesemua media arus perdana seperti CNN, BBC dan Al Jazeera menyiarkan tajuk berita yang berfokuskan insiden pembunuhan berani mati tersebut. Impak insiden ini pastinya dirasai oleh warga dunia terutamanya rakyat Pakistan yang seperti kehilangan Ibu dalam menghadapi peristiwa bergolak dalam arena Politik nasional dibawah kepimpinan diktator Pervez Musharaf.



Pembunuhan yang berlaku ini melengkapi peristiwa politik berdarah lagi kotor yang pernah berlaku di Pakistan selama ini. Pastinya pakatan Zionis-Kristian Barat tersenyum lebar dengan insiden sebegini kerana kemungkinan besar perang saudara akan berlaku dalam keadaan yang cukup tegang sebegini. Rasional bukan lagi menjadi pegangan apabila nyawa dan maruah sudah dicemari dengan begitu teruk. Mungkinkah ada agenda tersembunyi disebalik peristiwa berdarah ini?


Ribut petir dalam politik Pakistan: dari Nawaz Sharif hinggalah kepada Musharaf.


Diperkatakan sebagai wira demokrasi, Nawaz Sharif tidak ubah seperti bekas pemimpin yang lepas, iaitu Benazir Bhutto yang dituduh dengan pelbagai tuduhan korupsi. Tatkala Nawaz Sharif memerintah Negara, penindasan pemerintahan golongan kanan yang dibawa beliau menyebabkan zaman pemerintahannya dicap sebagai ‘satu kegagalan nasional’ oleh rakyat Pakistan.


Beliau pernah memecat ribuan pekerja, memotong subsidi makanan, menaikkan harga perkhidmatan utiliti, mengharamkan kesatuan kerja dan menyempitkan hak pekerja untuk berhimpun dan berpiket secara aman. Dalam pada masa yang sama beliau dan kroninya menyedut berjuta ringgit harta negara, menghimpun harta peribadi yang banyak dan menyimpannya dalam akaun bank persisiran pantai (offshore bank account) yang kebiasaanya dilakukan oleh para pemerintah negara yang korup.


Dibawah pemerintahan beliau, institusi negara Pakistan rosak dan golongan pekerja dan rakyat miskin yang paling teruk merasai penderitaan. Rakyat mahukan perubahan dan pasukan tentera yang diterajui Musharaf akur akan permintaan rakyat tetapi perubahan yang dibawa Jeneral Musharaf tidak seperti mana yang dituntut oleh rakyat. Maka lahirlah seorang lagi pemimpin yang korup di Pakistan.



Semenjak rampasan kuasa pada tahun 1999 dan melantik diri sendiri sebagai Presiden, Musharaf bekerja keras dalam mengimbangi politik Pakistan pada masa yang sama turut memerintah secara menekan. Beliau cuba melebarkan pengaruh Pakistan di Selatan dan Asia Tengah demi kepentingan nasional. Beliau juga menyokong golongan fundamentlis Islam tempatan dan menentang golongan elit politik dan pembakang.


Peristiwa 11 September telah diambil peluang oleh beliau untuk menyokong pendirian Washington dalam ‘Perang Menentang Keganasan’ kerana terpengaruh dibawah ugutan Amerika untuk “mengebom Pakistan sampai kembali seperti Zaman Batu” jikalau Pakistan gagal berbuat demikian. Untuk mengelak daripada menerima hukuman tersebut, beliau berhenti daripada menyokong Taliban dan membantu Bush melalui perkhidmatan logistik operasi ‘Perang Menentang Keganasan’ yang pertama kali dilancarkan di Afghanistan, jiran terdekat Pakistan selepas India.



Habuan yang beliau perolehi ialah Pakistan tidak dibom, $10 bilion dan juga bantuan lain. Pada masa yang sama Washington turut mengambil sikap tidak endah akan pencabulan hak asasi manusia dibawah pemerintahan beliau. Dengan menggunakan alasan ‘Perang Menentang Keganasan’, Musharaf telah melenyapkan musuh-musuh politik beliau melalui penculikan, penahanan tanpa perbicaraan, pembunuhan dan juga penderaan.


Sebagai rakan seperjuangan Amerika dalam menentang keganasan, beliau juga telah menyerang Taliban yang masih berlegar-legar di wilayah Waziristan dan Baluchistan dan natijah daripada ini hanya membuatkan beliau lebih dipandang serong oleh rakyat yang semakin resah dengan kepimpinan beliau yang mabuk kuasa dalam memegang tampuk pemerintahan sebagai seorang diktator dan pada masa yang sama ‘menjual maruah umat Islam’ kepada Amerika dan sekutu Zionisnya.


Keadaan menjadi semakin panas dan insiden pemecatan Ketua Hakim Negara, Ifktikhar Mohammad Chaudry pada bulan Mac yang lepas hanya mampu menaikkan kemarahan rakyat terhadap Musharaf. Tuduhan “salah laku dan salah guna kuasa” ke atas Ketua Hakim tersebut adalah bertujuan untuk menjatuhkan pegawai penting yang difikirkan olehnya, mampu menghalang perancangan beliau untuk meneruskan pemerintahan 5 tahun buat penggal yang seterusnya sebagai Presiden dan juga pada masa yang sama menjaga jawatan beliau sebagai Ketua Angkatan Tentera. Perbuatan dan agenda yang ingin dibawa oleh Musharaf jelas sebenarnya menyalahai perlembagaan Negara.


Perbuatan yang tidak berasas ditambah pula dengan tekanan daripada Presiden Bush untuk melihat Pakistan lebih agresif dalam menghapuskan Taliban hanya menaikkan lagi api kemarahan rakyat Pakistan. Apa lagi pilihan yang masih ada buat mereka melainkan untuk turun ke jalan raya bagi menuntut keadilan.



Dalam buku bertajuk Military, Inc.: Inside Pakistan's Military Economy, penulisnya Ayesha Siddiqa menegaskan betapa Musharraf bertindak sebagai seorang pemimpin kapitalis dengan berpaksikan doktrin ekonomi Washington Consensus dalam mengurus polisi nasional Pakistan. Polisi sebegini hanya mampu menutup sebelah mata berkenaan masalah kemiskinan yang semakin berleluasa ke atas rakyatnya sendiri demi kebebasan ekonomi seperti diajar oleh Barat.



Hak asasi rakyat dibiarkan, jurang ketidak seimbangan sosial meningkat, harga makanan melambung tinggi, kesatuan kerja dipatahkan dan hampir separuh perbelanjaan kerajaan dihalakan kepada bajet ketenteraan dan hutang yang bertimbun. Ditambah lagi dengan fenomena korupsi yang berluasa melalui aktiviti kroni kapitalisme golongan tentera, demokrasi yang cuba ditonjolkan oleh Musharaf hanyalah bahan lawak buat Pakistan sebagai sebuah ‘Republik Islam’ dari dulu hinggalah sekarang.


Polemik 'Negara Islam' bernama Pakistan



Adakah Pakistan sebuah Negara yang gagal?


Tahun 1930, pemikir agung Islam abad ke-20 Sir Allama Muhammad Iqbal telah menyeru untuk mendirikan sebuah negeri buat umat Islam India di Utara Barat India. Akhirnya, melalui Liga Muslim dibawah kepimpinan Muhammad Ali Jinnah, Pakistan telah ditubuhkan sebagai sebuah Republik Islam Pakistan setelelah penceraiannya daripada India. Berduyun-duyunlah umat Islam dari India berpindah ke wilayah baru yang menjanjikan masa depan yang cerah di bawah paying Islam.



Muhammad Ali Jinnah: Bapa Pakistan Pertama

Keceriaan dan kejayaan untuk menubuhkan ‘Khilafah’ selepas jatuhnya Turki Uthmaniyah di Pakistan ini tidak berpanjangan. Pergolakan dalaman sesama puak, bencana alam dan pergolakan politik yang beterusan hanya mampu menjadikan ‘Negara Islam’ ini sebagai bahan sindiran akan kualiti umat Islam dalam memerintah sebuah Wilayah yang majoritnya Muslim.


Kenapakah semua ini berlaku? Tentunya, bila tertegaknya sebuah Wilayah yang meletakkan Islam sebagai sesuatu yang tinggi tidak kiralah dari aspek undang-undang, perlembagaan hinggalah ke aspek sosio ekonomi, campur tangan Barat tidak pernah padam. Penggulingan, dan pembunuhan pemimpin Negara seperti Nawaz Sharif dan Zia ul Haq jikalau dilihat dari aspek yang lebih besar daripada ‘memulihkan demokrasi’ sememangnya membawa bau busuk konspirasi yang dicetus musuh-musuh Islam.


Yang rugi, terseksa tidak lain tidak bukan rakyat jelata yang tidak empunya sebarang kuasa menghadapi cabaran fizikal dan mental yang dahsyat.


Politik dalam menegakkan Negara Islam seperti yang dilakukan Pakistan tidak dapat menyelesaikan masalah asas rakyat. Biarpun mereka dipimpin oleh pemimpin Muslim yang mana Islam begitu terang dan jelas diamalkan di Pakistan, kejahatan dan kepincangan tetap berlaku dalam skala yang besar. Ternyata di sini penubuhan Daulah Islamiyah melalui pendekatan Atas ke Bawah (Top Down method) tidak menjanjikan kemenangan sejati buat umat Islam Pakistan seperti yang diimpikan Iqbal.


Polemik ini akan terus berlaku dan pasti berlaku ke atas umat Islam yang sedang cuba mengembalikan syariat Allah ke muka bumi. Umat akhir zaman akan terus dicabar dengan pelbagai ujian dan kemenangan hakiki tidak terletak kepada tertegaknya Negara Islam seperti Pakistan, tetapi usaha murni yang ikhlas dalam menyambung risalah para Nabi kepada semua hidupan di muka bumi ini.

Rabu, 26 Disember 2007

Artikel 10


Pada minggu lepas, penulis sempat menghadiri rapat umum di pejabat SUHAKAM bertempat di Jalan Raja Laut bersama-sama dengan pemimpin Barisan Alternatif dan juga NGO yang cintakan keadilan rakyat bagi menegaskan sekali lagi bahawa perhimpunan aman tidak lari dari rang undang-undang dan perlembagaan persekutuan Malaysia. Hujah yang digunakan sememangnya sudah termaktub di dalam perlembagaan Malaysia yang berbunyi:

Article 10 (1) guarantees the freedom of speech, the right to assemble peacefully and the right to form associations to every Malaysian citizen. However, Parliament may by law impose restrictions on these rights in the interest of the security of the Federation, friendly relations with other countries, public order, morality; and restrictions designed to protect the privileges of Parliament, to provide against contempt of court, defamation, or incitement to any offence.
Dalam Bahasa Melayunya:

Artikel 10 menjamin:

1. Kebebasan Bersuara
2. Hak untuk berhimpun secara aman
3.Hak untuk melibatkan dalam mana-mana organisasi

Walau bagaimanapun, Parlimen berhak , melalui undang-undang mengenakan sekatan ke atas hak-hak ini bagi menjaga kepentingan keselamatan kepada Persekutuan, hubungan antara Negara lain, masyarakat awam, moraliti...
Maka sangat jelas disini tuntutan yang dibuat oleh BERSIH dan Hindraf berkenaan dengan hak berhimpun adalah dibenarkan dalam budaya kita yang dihidupkan sedikit sebanyak daripada Perlembagaan negara kita.

Masalah akar disini jikalau kita kaji ialah apabila salah satu kumpulan yang berhimpun melakukan sesuatu diluar jangkaan. Kumpulan yang jelas dimaksudkan disini ialah Polis Diraja Malaysia yang bertindak 'mengawal keadaan' tetapi berlaku sebaliknya.


Sangat tidak adil untuk memperkatakan Polis Diraja Malaysia korup kesemuanya. Masih ada pegawai polis yang mampu mengangkat maruah dan integriti mereka ke tahap tertinggi dalam perkhidmatan tetapi selama ini (terutamanya ketika Reformasi 1998), Polis sudah dianggap menjadi kuda tunggangan Kerajaan Barisan Nasional.

Dari sudut psikologinya sudah tentu dengan keadaan politik semasa yang sangat membingungkan, dengan penyertaan Polis Diraja Malaysia secara tidak langsung seperti dalam melibatkan hal permit untuk berhimpun dan insiden Batu Burok tempoh hari hanya mampu memanaskan bara demokrasi keadilan rakyat.

Agak mustahil untuk Polis Diraja Malaysia pada waktu ini untuk bersikap adil kepada Barisan Alternatif dan ribuan rakyat yang ingikan reformasi kepada sistem pilihan raya kerana kita sedia maklum betapa Kerajaan Barisan Nasional sudah memegang induk pasukan ini melalui IGP dan Pegawai-pegawai atasan yang lain yang bertindak mengeluarkan arahan bagi menjaga kepentingan politik Barisan Nasional.


Saya percaya bukan semua ahli FRU dan Polis setuju dengan tindakan yang diarahkan oleh kerajaan terhadap rakyat yang menyertai perhimpunan aman terbabit kerana mereka juga sama seperti kita mempunyai perasaan, keluarga dan kehidupan yang tersepit dibawah penjagaan golongan kapitalis Barisan Nasional, cumanya mereka tidak ada pilihan yang betul-betul selamat dalam hal ini ( berkenaan menegakkan keadilan dalam bertugas).

Cabaran yang besar buat Pasukan Polis kita. Moga-moga kesedaran dan keinsafan akan timbul dari golongan penjaga keselamatan negara ini kerana Revolusi Rakyat semestinya memerlukan penglibatan dari semua golongan lapisan masyarakat. Musuh sebenar kepada keadilan sosial ialah mereka yang memegang tampuk pemerintahan dengan kuasa dan harta yang melimpah ruah, bukanlah pegawai polis mahupun pegawai SPR yang berugas menyiapkan dokumen pilihan raya.


Teruskan perjuangan ini melalui ruang-ruang yang masih ada. Insyaallah dengan harapan usaha ini bakal menyemaikan lagi benih-benih keadilan dalam kehidupan rakyat Malaysia menentang ketidak adilan sejagat.

Selasa, 18 Disember 2007

Penjelasan makna 'Sosialis Kanan'

Ini merupakan penjelasan ringkas kepada persoalan yang ditanya pada Chat Box dibawah.

Salam kepada saudara,


Sosialisme boleh sahaja diertikan dalam pelbagai sudut. Sistem, ideologi malah cara dan pendekatan seperti mana Islam itu sendiri. Sosialis Kanan sebenarnya menekankan perjuangan realiti semasa kita bukan menentang kristian mahupun yahudi secara terang tetapi golonga kuffar yang kejam dengan tamak haloba (kapitalis) terhadap golongan marhain tidak kira agama apa.

Kanan disis bermaksud Islam itu sendiri kerana kebiasaanya Sosialis diertikan sebagai golongan Kiri, dan mereka ini biasanya tidak menekankan agama sebagai cara, dan agenda perjuangan mereka.

Sudah tentu tanpa Islam seperti mana sosialisme dan komunisme yang dibawa Soviet tumbanglah ia. Dengan Islam, lihat saja Revolusi Iran. Ali Shariati yang kemudiannya disusuli oleh Imam Khomeini menggunakan pendekatan sosialis yang disaduri dengan nilai Islam sebagai dasarnya kerana beliau sedar masalah sebenar umat pada waktu lebih bersifat realiti semasa manakala Ulama Konvensional Iran hanya sibuk menekankan akhirat tanpa mempeduli penindasan.

Sosialis Kanan yang dimaksudkan oleh blog ini ialah merujuk kepada bahasa yang mudah diterima oleh golongan pejuang baik Muslim mahupun tidak. Islam itu sudah sendirinya Sosialisme, Kapitalisme TETAPI dikawal oleh adab yang diajar oleh rasulullah s.a.w. Maka tidak ganjillah kalau sosialisme itu diguna pakai untuk merujuk kepada Islam kerana sosialisme itu mengajurkan prinsip yang Islam anjurkan juga.

Penggunaan nama ini hanyalah untuk merapatkan jurang pemahaman pejuang sosialis dan pejuang Islam yang membawa dasar yang sama: menegakkan keadilan manusia yang ditindas kapitalis yang tidak Bertuhan.

Ramai pejuang Islam yang tidak peka dan tidak memahami realiti perjuangan di medan sebenar. Maka adalah lebih baik kita mengkaji betul2 segala macam cabaran, ideologi tanpa menunding jari dengan cepat. Sesungguhnya, kekuatan perjuangan menegakkan keadilan dapat diperkuatkan dengan kerjasama yang padu bersama dengan golongan sosialis walaupun mereka tidak mengidamkan negara Islam seperti kita. Musuh kita sama dan nilai yang kita bawa sama, cuma Islam yang kita bawa lebih lengkap dari perjuangan dan idealisme mereka. Sosialisme ialah subset kepada Islam.

Untuk rujukan:
http://suryaningsih.wordpress.com/2007/08/27/sosialis-itu-kadaluarsa/

Masalah tenaga dunia dan potensi biofuel

Dilema biofuel:Siapakah patut diberi makanan dahulu? Manusia atau kereta?


Oleh: rausyanfikir


Melangkah keabad yang baru memberi seribu satu cabaran yang perlu ditangani bersama sebagai penduduk dunia. Antara cabaran yang paling getir perlu ditangani bersama ialah krisis tenaga. Sejak bermulanya Revolusi Industri di Britain pada abad ke-18 hinggalah ke hari ini, tenaga yang menggerakkan pembangunan dan pertumbuhan dunia ialah bahan api fosil yang terdiri daripada minyak, gas, dan arang.


Ketiga-tiga sumber bahan api fosil ini dikategorikan sebagai non-renewable energy ataupun bahan api yang tidak boleh digunakan semula. Oleh kerana sifat bahan api ini sangat terhad dan tidak boleh dicipta dengan mudah, percaturan isu sumber tenaga dunia sangat bergantung ke atas bahan api fosil ini. Jelas ini memberi impak yang cukup besar ke atas ekonomi, sosial dan politik dunia.


Teori Kemuncak Penggunaan Minyak ( Peak Oil Theory) yang dipelopori oleh M.King Hubbert, seorang geosaintis dari Shell pada tahun 1956 merupakan satu kajian empirikal yang dijalankan oleh beberapa ahli akademik Barat berkenaan tempoh di mana penggunaan sumber minyak dunia akan berada di kemuncaknya. Terbukti teori ini dapat menggambarkan sebahagian besar realiti yang industri tenaga sedang hadapi pada waktu ini di mana kesukaran untuk menggali lebih banyak minyak mula dirasai oleh syarikat-syarikat minyak gergasi seperti BP, Shell dan Exxon.


Oleh kerana kadar penemuan lapangan minyak yang baru semakin rendah dan penemuan lapangan minyak yang baru ini, kebanyakkannya dipakejkan dengan risiko yang tinggi seperti masalah geopolitik seperti di Iraq dan tidak kurang juga cabaran geofizik seperti menerokai telaga minyak di laut dalam dan kawasan sejuk yang melampau seperti di Artik . Ini semua telah memberi satu momentum yang cukup kuat kepada naik turunnya harga minyak dunia yang bersandarkan kuasa pasaran yang berasaskan pengeluaran dan perminataan (supply and demand).


Para analisis dan ahli akademik dalam bidang sumber tenaga telah beralih arah ke satu bentuk penyelesaian yang lebih bersifat kesinambungan iaitu kearah sumber tenaga alternatif yang boleh dip roses semula. Antara jenis sumber tenaga boleh dijana semula ialah angin, ombak, nuklear dan biofuel.


50 tahun dahulu, pakar industri tidak pernah memandang serius akan potensi tumbuhan untk menjana tenaga secara besar-besaran. Oleh kerana masyarakat dunia sedang menghadapi ancaman kehabisan sumber tenaga bahan api fosil, sejajar dengan pertumbuhan bidang bioteknologi, potensi biofuel sebagai sumber tenaga alternatif untuk mengimbangi krisis tenaga dunia berada di tahap yang memberangsangka.


Presiden Lula Da Silva dari Brazil telah merombak polisi pertanian yang bersifat komoditi makanan kepada komoditi bahan api yang dapat memberi keuntungan yang lebih berlipat ganda kepada pengeluar biofuel yang bersumberkan tebu. Brazil juga giat menjalankan kerjasama yang erat dengan Amerika Syarikat bagi mengeksploitasi peluang ekonomi yang cukup besar di pasaran benua Amerika serta pasaran dunia. Kebanyakkan Negara-negara membangun mengambil peluang potensi biofuel ini untuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak yang semakin melangit harganya akibat krisis seperti berlaku di Timur Tengah.


Tidak kurang juga negara kita yang turut mencuri peluang yang ada bagi mengetengahkan kelapa sawit sebagai bahan api alternatif. Kerajaan dan badan-badan swasta sedang giat melalukan penyelidikan untuk membangunkan potensi kelapa sawit sebagai sumber bahan api alternative untuk kegunaan dalam dan luar negara. Pakar industri dari Barat menyedari hakikat Malaysia sebagai potensi besar untuk menerajui perkembangan industri biofuel dunia dalam kelapa sawit dan ini bakal menggugat beberapa sektor penting dalam industri tenaga sehingakan mereka sanggup melakukan propaganda untuk memburukkan industi minyak sawit negara yang menyatakan penebangan hutan yang berleluasa sehingga mampu menggugat habitat Orang Utan. Propaganda sebegini yang lebih dikenali sebagai green washing tidak lain tidak bukan hanyalah untuk melindugi kepentingan industri lain yang sedang mereka terokai.


Walau bagaimanapun prospek yang mampu diberi oleh biofuel kepada ekonomi Negara, penggubal polisi, ahli akademik dan badan-badan kerajaan yang lain perlulah mengetengahkan isu ini untuk dibahaskan secara perinci dan teliti. Kadang-kadang dengan nama pembangunan ekonomi kita terlepas pandang beberapa perkara penting yang mampu menggugat pelbagai perkara dalam masyarakat seperti mana rakyat Mexico terpaksa menghadapi kenaikkan harga makanan tortilla yang diperbuat daripada jagung setelah harga jagung dunia melambung tinggi akibat permintaan biofuel. Bukankah ini juga melibatkan isu moral dan etika? Siapakah yang berhak mendapat tanaman tersebut? Adakah jutaan manusia dari dunia ketiga untuk mereka mengalas perut daripada kebuluran ataupun tanaman tersebut lebih sesuai di gunakan oleh kereta-kereta yang dipandu oleh rakyat Negara-negara dunia pertama?


Untuk melihat pandangn sisi berkenaan isu ini, eloklah kita rujuk Negara sosialis demokratik seperti Venezuela dan Bolivia. Mereka memandang serius akan isu biofuel ini kerana dengan perubahan struktur dan peranan tanaman mereka yang berpotensi untuk dijadikan biofuel, bakal melahirkan krisis makanan yang besar ke atas rakyat mereka. Jagung merupakan makanan ruji masyarakat benua Amerika Selatan dan oleh kerana kepesatan industri biofuel akhir-akhir ini, para peladang telah terdorong untuk berubah angin daripada menjual hasil tanaman mereka untuk makanan masyarakat kepada sumber bahan api bifuel.


Tidak kurang juga masalah yang bakal dihadapi di Negara kita. Permintaan yang tinggi mendorong para pengusaha ladang untuk menjalankan perladangan kelapa sawit secara besar-besaran dan ini bakal mengubah lanskap perhutanan Negara yang bakal digantikan dengan lading-ladang berskala besar untuk tujuan pembangunan sumber bahan api daripada kelapa sawit. Itu sahaja bakal mengundang bencana seperti mengganggu kawasan tadahan air dan kemusnahan flora dan fauna yang ramai telah lupa betapa peranan mereka(haiwan dan tumbuhan) dalam mengimbangi system ekologi kehidupan.


Kajian yang dibuat oleh pakar biofuel dunia turut menggariskan risiko seperti masalah kecatuan air akibat penggunaan air untuk mengairi ladang-ladang yang bersaiz besar ini. China dan India yang turut sama mengejar peluang dalam industri biofuel ini telah diberi kritikan oleh para saintis dan badan penyelidikan makanan di seluruh dunia akibat kerakusan mengusahakan ladang yang berasaskan tanaman biofuel untuk menampung keperluan sumber tenaga domestik berbanding keperluan menggunakan air dan tanah untuk tujuan memproses tanaman untuk makanan penduduk.


Persoalan yang perlu kita timbulkan disini adalah adakah Negara kita sudah bersedia untuk menghadapi krisis makanan yang bakal timbul jikalau tanah dan sumber asas seperti air digunakan secara berleluasa untuk tujuan penanaman tanaman biofuel? Kita mungkin bakal menjana peningkatan ekonomi dalam sektor tenaga dan bahan api tetapi dalam masa yang sama kita juga bakal menghadapi risiko kecatuan makanan dan air seterusnya bakal melambungkan harga barang keperluan seperti yang berlaku di Mexico.


Walau apa pun keputusan akhirnya, polisi biofuel Negara perlu dikaji dengan lebih mendalam dan bukan hanya dalam konteks keuntungan ekonomi tetapi mestilah juga diselusuri dengan konteks sains sosial yang dapat membuka lebih banyak pintu perbincangan berkenaan kesan jangka pendek dan panjang polisi Negara kita terhadap pembangunan sumber bahan api alternatif.


Artikel ini akan diterbitkan di dalam Utusan Pengguna keluaran Persatuan Pengguna P.Pinang keluaran Januari/Februari.