Isnin, 31 Disember 2007

Politik Melayu: Nasihat buat para pendokong PAS.

Pemimpin Melayu bakal bersatu?

Oleh rausyanfikir

Sepanjang tahun 2007 ini, sudah pelbagai cabaran dan kejayaan yang kita lalui bersama sebagai rakyat Malaysia. Ternyata rakyat Malaysia sudah mula terjaga dan mencelikkan mata dalam memahami permasalahan yang sedia wujud pada waktu ini. Perhimpunan BERSIH, kes Linggam dan Hindraf memacu dengan hebat momentum kebangkitan ini. Ternyata, rakyat kita mula inginkan perubahan. Yang jelas disini orang Cina dan India sudah berada di satu posisi untuk perubahan, orang Melayu bagaimana?

Tumit Achilles orang Melayu

50 tahun sepatutnya sudah cukup untuk kerajaan membuang tongkat yang diberikan kepada orang Melayu untuk membiarkan mereka berdiri dengan sendiri seperti kaum lain. Oleh kerana kepincangan yang ketara berlaku dalam sistem negara kita, yang menjadi mangsa utama adalah orang Melayu. Lebih parah korupsi yang wujud ini timbul apabila Melayu diceraikan daripada Islam sebagai panduan hidup, maka tidak hairan nasib kita seperti pengemis di negara sendiri.

Maka lahirlah golongan Melayu yang tidak kenal sejarah, erti pengorbanan, dan Islam yang syumul (lengkap). Identiti Melayu itu hanya tinggal pada kulit dan bahasa. Isi sebenar (yakni Islam) yang memapah keluar orang Melayu daripada zulumat (kegelapan) hanya menjadi sebahagian daripada budaya ritual sehari-harian. Itulah nasib Islam pada hari ini. Kesan penjajahan paling besar bukanlah diukur sebelum merdeka tetapi bagaimana kita mengangkat diri kita semula setelah dipijak Inggeris dan kuasa asing yang lain selepas merdeka.

Namun, masih ada orang Melayu yang berpegang teguh kepada Islam dalam kehidupan seharian. Mereka berani, tidak gentar malah bangga memakai baju akhlak Islam. Golongan Melayu inilah yang menjadi penggerak dalam mengembalikan maruah dan kekuatan sebenar orang Melayu.

Realitinya, suka ataupun tidak kita harus akui orang Melayu memang berpecah kepada dua golongan besar apabila memilih pemimpin: UMNO dan PAS. Perpecahan ini merupakan liabiliti yang cukup besar sebenarnya jikalau hendak dibandingkan dengan kaum-kaum lain.

Polarisasi sebegini akhirnya menimbulkan perpecahan yang dahsyat apabila kedua-dua golongan ini membawa identiti masing-masing ke dalam politik. Kita harus sedar dan akui, orang Melayu sedang berada dalam posisi yang sangat bahaya akibat daripada semua ini.

Salah siapa?

Adakah PAS ataupun UMNO yang bersalah dalam masalah perpecahan ini? Tidak mudah untuk memberi jawapan yang padat dan tepat kerana terlampau banyak faktor yang melahirkan senario sebegini dalam komuniti orang Melayu. Yang lebih penting sepatutnya kita memikirkan penyelesaiaan yang komprehensif dalam berhadapan dengan situasi sebegini.

Saya kira, kita sedia maklum bahawa masalah korupsi yang bersarang dalam sistem negara kita telah disedari oleh ramai orang Melayu sekian lamanya. Yang menghalang daripada mereka untuk bangkit sepenuhnya adalah ketidak pastian dalam menentukan masa depan mereka sendiri.

Mereka sedar, kebergantungan kepada kepimpinan UMNO sudah sebati dengan darah daging mereka. Minda mereka sudah dibasuh bahawa hanya UMNO yang mampu memberikan bantuan, dan kemajuan kepada orang Melayu. Tidak hairanlah orang Melayu baik di kampung dan bandar tidak mahu untuk berubah.

Harapan masih ada

Bukan satu kerja yang mudah untuk 'memerdekakan' orang Melayu secara total tetapi bukanlah satu perkara yang mustahil jua. PAS masih mampu menyandang peranan sebagai jentera perubah itu. Hanya jentera. Bukan perubah. Ini adalah kerana, seperti mana yang telah termaktub dalam Al-Quran, nasib sesuatu kaum itu hanya boleh diubah oleh kaum itu sendiri. Maka, untuk melihat orang Melayu menjadi bangsa yang berjaya dunia akhirat, dia sendirilah harus berbuat begitu. Peranan golongan yang sedar seperti PAS hanyalah sebagai pembantu kepada kebangkitan itu.


Sistem demokrasi berparlimen menyediakan satu jalan mudah dan ringkas untuk melakukan perubahan secara kolektif (tetapi bukan cara yang paling ideal dan mutlak). Kita tahu orang Melayu mula sedar akan masalah negara, tetapi masih bersikap individualistik kerana kebergantungan kepada UMNO itu masih ada walaupun sekelumit. Maka, anjakan paradigma untuk mereka beralih arah itu agak sukar dengan keadaan sebegini.

Apakah cara terbaik untuk membantu golongan 'atas pagar' seperti mereka ini?

Bagi saya, PAS harus berdiri di atas kerusi yang sama tinggi dengan UMNO. Kita ketepikan dulu isu kotoran degil SPR, Polis dan sebagainya. Yang penting kita semak kembali kekuatan dan kelemahan kita untuk menghadapi situasi sebegini. Maka disini saya ingin memberi sedikit kritikan dan komen bagi sama-sama kita bantu arus reformasi politk Melayu mutakhir ini:

1. Kurangkan emosi, banyakkan rasional


Orang Melayu sedia maklum bahawa PAS merupakan parti pembangkang yang paling lantang terhadap UMNO. Kebanyakkan ceramah, dan penulisan yang dikeluarkan Pas sangat panas untuk didengar dan ditatap. Malangnya orang Melayu secara umumnya tidak bersifat memberontak seperti orang Pakistan dan Indonesia. Mentaliti feudalistik, iaitu taat kepada pemimpin itu bukan mudah untuk disergah dengan ucapan yang emosional.

Kita semua sedia maklum ceramah PAS pasti dihujani dengan label-melabel, dan kritikan yang sangat keras kepada UMNO kemudian diselangi dengan laungan takbir. Untuk seketika, saya mengajak pembaca semua meletakkan diri anda sebagai orang biasa, dan sebagai orang bukan Islam yang datang ke ceramah tersebut.

Apa perasaan dan pandangan anda? Gerun? Terkejut? Ganas? Bukankah Islam itu menekankan akhlak yang tinggi?

Inilah antara persoalan yang ditimbulkan oleh golongan Melayu 'atas pagar' dan kebanyakkan orang bukan Melayu di negara kita. Terlampau emosi dalam menyampaikan kebenaran sehingga akhirnya kebenaran itu terselindung disebalik emosi yang meluap-luap itu.

Apakah Penyelsaiaannya?

Lihat saja Mursyidul Am PAS. Bagaimana beliau menyampaikan kebenaran baik dari sudut politik mahupun ilmu agama kepada pendengar. Beretika dan menetapi akhlak sebagai seorang pendakwah. Tidak hairan semua orang, tidak kira Islam ataupun tidak begitu menghormati beliau.

Sayangnya, pemimpin dibawah beliau tidak begitu. Ini mengakibatkan imej PAS yang dibawa Tok Guru susah hendak kekal relevan kepada ramai pihak kerana lebih ramai lagi pendokong PAS yang bersikap emosional dalam menyampaikan kebenaran. Ini harus dikurangkan sebanyak mungkin dalam berkempen menjelang PRU akan datang. Nampak kecil tetapi kesannya besar diluar kaca mata penyokong dan pendokong PAS, terutama terhadap orang bukan Islam. Imej rasionaliti dalam berkempen lebih kekal sifatnya daripada emosi yang timbul sepanjang ceramah.

2. Berikan penyelesaiaan, bukan pernyataan.

Bagi penyokong dan pendokong PAS serta ahli gerakan Islam yang lain, mereka sudah sedia maklum kewajipan mengundi pemimpin Islam. Bagaimana pula dengan orang Melayu 'atas pagar' dan orang bukan Islam? Apakah modal yang mampu menggerakan tangan mereka untuk bersama PAS? Adakah cukup sekadar menyokong pendirian PAS dalam mempersetujui bahawa Barisan Nasional korup?

Apa yang mereka dan rakyat Malaysia mahu lihat ialah penyelesaiaan. Sejauh mana PAS mampu menjadi penggubal dasar dan polisi yang baik. Mereka mahu lihat PAS mampu berdiri sebagai kerajaan bukan lagi pembangkang, sebagai policy maker bukan lagi pengkritik dan sebagai pemimpin rakyat Malaysia bukan sahaja pemimpin umat Islam.

Maka dalam ceramah-ceramah dan kempen yang diadakan, pimpinan yang berceramah perlulah memberi panduan dan maklumat yang jelas akan berkenaan perancangan dan penyelesaiaan bagi masalah yang dihadapi agar maklumat ini dapat disebarkan kepada sahabat handai, kaum keluarga dan jiran tetangga masing-masing. Tidak cukup mendedahkan kelemahan lawan tetapi lebih penting lagi meng ‘izah’kan kekuatan yang kita miliki.

3. Ramaikan kawan, kurangkan musuh.

Akhlak dan moral merupakan aset utama buat PAS dalam menambat hati rakyat. Imej Islamik sudah sebati sekian lama pada kaca mata orang awam betapa ulama' ialah orang yang suci dan murni. Tetapi dalam era 'Perang menentang keganasan' ini, imej Islamik sering dikaitkan dengan radikalisme, mundur dan anti-pembangunan bercorak progresif ( ala Barat).

Realiti sebenar juga memaparkan seorang ulama' belum tentu dapat menjadi seorang pemimpin dan wakil rakyat yang sempurna. Apakah kita mengharap seorang Ustaz Al-Azhar untuk bercakap mengenai perdagangan, undang-undang tanah, dan masalah tanah runtuh akibat pembangunan yang rakus?

Itu semua bukan bidang mereka dan disinilah kita sebagai rakyat harus membantu calon-calon pemimpin ini memahami isu-isu yang penting dalam memimpin masyarakat moden. PAS mungkin ramai golongan profesional yang petah berbahasa Inggeris dan lulusan universiti tetapi setakat hari ini, penafsiran masalah masyarakat yang bersifat teknikal (ekonomi, alam sekitar, kepenggunaan) masih kurang memuaskan.

Adakah semua ini hanya perlu dipikul oleh Dr Dzukifli (ketua Pas Research Center) sahaja? Saya pernah mendengar beliau mengeluh bahawa kurang tenaga kerja dalam membantu beliau mengeluarkan polisi-polisi yang komprehensif. Jikalau pernah berjaya sekalipun, idea tersebut tidak dapat diterima ramai mungkin kerana terlampau kompleks atau sifat malas sesetengah daripada pendokong gerakan untuk mengetahui lebih mendalam permasalahan yang ada.

Langkah pertama ialah untuk membuka minda menerima kritikan dan teguran daripada semua pihak. Kemudian, rujuki pakar-pakar terutamanya NGO yang memiliki data serta analisa yang lebih mendalam berkaitan isu yang sedang berlegar-legar dalam masyarakat sekarang. Golongan profesional tidak cukup sekadar menghadiri ceramah, urus program, dan meng’infaq’ duit sahaja malah perlu memerah otak dalam menafsir masalah dan memikirkan resolusi sebelum dan selepas pilihan raya.


Kita sedar kekurangan tenaga kerja itu memang wujud tetapi jikalau kita melakukan kerja yang tidak tepat kerana penafsiran yang ringkas dan tidak komprehensif, itu adalah lebih parah dan rakyat hanya akan melihat PAS sebagai pembangkang. Tidak lebih daripada itu dipenghujung hari.


Kita tidak mahu orang awam melihat PAS sebagai 'parti semusim' yang gah mendedahkan kepincangan sebelum pilihan raya tetapi kita juga mahu orang awam berasa kagum dengan sifat istiqamah PAS dalam membantu rakyat menyelesaikan masalah selepas pilihan raya walaupun tidak memegang tampuk pemerintahan. Bagaimana teruk pun kita ditipu SPR, alasan sebegini tidak mampu melegakan hati orang ramai yang telah meletakkan harapan yang besar terhadap PAS.


Pecutan terakhir.

Saudara Mahfuz dalam ucapan amanat pilihan raya kepada Pemuda PAS Selangor di Taman Melewar pada malam Sabtu yang lepas memberikan satu analogi bahawa perjuangan ini diibaratkan sebagai satu perlumbaan jarak jauh. Sudah sampai masanya kita membuka telinga untuk mendengar loceng yang bakal dibunyikan yang menandakan bahawa kita sedang berada pada pusingan terakhir perlumbaan tersebut. Adakah kita akan terjatuh begitu sahaja dan membiar kepincangan yang ada melangkaui kita?

Sudah tentu tidak. Segala peristiwa yang berlaku pada tahun ini sememangnya sudah mampu meletakkan PAS di satu posisi yang cukup menguntungkan dalam usaha parti memulihkan sistem yang korup. Adalah teramat rugi jikalau kelebihan yang Allah bagi kepada kita ini disia-siakan dengan kerja 'separuh masak' daripada semua pihak.
Harapan saya walaupun agak sukar untuk kita melihat Barisan Alternatif berdiri sebagai kerajaan yang baru tetapi biarlah PAS dan parti pembangkang yang lain menjadi satu kuasa yang cukup kuat sebagai pengimbang tara buat kerajaan akan datang. Moga-moga kita dapat melihat satu lagi sejarah yang bakal tercipta melalui usahasama yang jitu lagi persis dari semua pihak. Hanya Allah mengetahui yang terbaik.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sumber ilmu yang mutlak daripada ALLAH s.w.t. dasar perjuangan PAS adalah benar, dan tidak dinafikan ada kelemahan disebabkan fitrah manusia. namun mungkin disebabkan fitnah yang terlalu larut dalam keadaan sekarang menyebabkan PAS dipandang tidak betul. apa yang pasti, dalam dasar penubuhan UMNO sendiri telah ternyata sifat sekularnya. Dalam ilmu sufi haraki, ulama ada menyatakan bahawa tidak boleh mencuci tong najis dari dalamnya. Kita harus yakin dengan kepemimpinan para ulama dalam PAS. Kita sewajarnya menjadikan semua umat Islam Melayu sebagai mad'u.