Jumaat, 28 Disember 2007

Pakistan: Model 'Negara Islam' yang Gagal

Oleh: Rausyanfikir



Pemergian Benazir bakal mengubah corak politik Pakistan

Kematian bekas Presiden Pakistan, Benazir Bhutto akibat serangan berani mati yang turut mengorbankan 14 orang rakyat jelata yang lain telah menggegarkan dunia politik semasa. Kesemua media arus perdana seperti CNN, BBC dan Al Jazeera menyiarkan tajuk berita yang berfokuskan insiden pembunuhan berani mati tersebut. Impak insiden ini pastinya dirasai oleh warga dunia terutamanya rakyat Pakistan yang seperti kehilangan Ibu dalam menghadapi peristiwa bergolak dalam arena Politik nasional dibawah kepimpinan diktator Pervez Musharaf.



Pembunuhan yang berlaku ini melengkapi peristiwa politik berdarah lagi kotor yang pernah berlaku di Pakistan selama ini. Pastinya pakatan Zionis-Kristian Barat tersenyum lebar dengan insiden sebegini kerana kemungkinan besar perang saudara akan berlaku dalam keadaan yang cukup tegang sebegini. Rasional bukan lagi menjadi pegangan apabila nyawa dan maruah sudah dicemari dengan begitu teruk. Mungkinkah ada agenda tersembunyi disebalik peristiwa berdarah ini?


Ribut petir dalam politik Pakistan: dari Nawaz Sharif hinggalah kepada Musharaf.


Diperkatakan sebagai wira demokrasi, Nawaz Sharif tidak ubah seperti bekas pemimpin yang lepas, iaitu Benazir Bhutto yang dituduh dengan pelbagai tuduhan korupsi. Tatkala Nawaz Sharif memerintah Negara, penindasan pemerintahan golongan kanan yang dibawa beliau menyebabkan zaman pemerintahannya dicap sebagai ‘satu kegagalan nasional’ oleh rakyat Pakistan.


Beliau pernah memecat ribuan pekerja, memotong subsidi makanan, menaikkan harga perkhidmatan utiliti, mengharamkan kesatuan kerja dan menyempitkan hak pekerja untuk berhimpun dan berpiket secara aman. Dalam pada masa yang sama beliau dan kroninya menyedut berjuta ringgit harta negara, menghimpun harta peribadi yang banyak dan menyimpannya dalam akaun bank persisiran pantai (offshore bank account) yang kebiasaanya dilakukan oleh para pemerintah negara yang korup.


Dibawah pemerintahan beliau, institusi negara Pakistan rosak dan golongan pekerja dan rakyat miskin yang paling teruk merasai penderitaan. Rakyat mahukan perubahan dan pasukan tentera yang diterajui Musharaf akur akan permintaan rakyat tetapi perubahan yang dibawa Jeneral Musharaf tidak seperti mana yang dituntut oleh rakyat. Maka lahirlah seorang lagi pemimpin yang korup di Pakistan.



Semenjak rampasan kuasa pada tahun 1999 dan melantik diri sendiri sebagai Presiden, Musharaf bekerja keras dalam mengimbangi politik Pakistan pada masa yang sama turut memerintah secara menekan. Beliau cuba melebarkan pengaruh Pakistan di Selatan dan Asia Tengah demi kepentingan nasional. Beliau juga menyokong golongan fundamentlis Islam tempatan dan menentang golongan elit politik dan pembakang.


Peristiwa 11 September telah diambil peluang oleh beliau untuk menyokong pendirian Washington dalam ‘Perang Menentang Keganasan’ kerana terpengaruh dibawah ugutan Amerika untuk “mengebom Pakistan sampai kembali seperti Zaman Batu” jikalau Pakistan gagal berbuat demikian. Untuk mengelak daripada menerima hukuman tersebut, beliau berhenti daripada menyokong Taliban dan membantu Bush melalui perkhidmatan logistik operasi ‘Perang Menentang Keganasan’ yang pertama kali dilancarkan di Afghanistan, jiran terdekat Pakistan selepas India.



Habuan yang beliau perolehi ialah Pakistan tidak dibom, $10 bilion dan juga bantuan lain. Pada masa yang sama Washington turut mengambil sikap tidak endah akan pencabulan hak asasi manusia dibawah pemerintahan beliau. Dengan menggunakan alasan ‘Perang Menentang Keganasan’, Musharaf telah melenyapkan musuh-musuh politik beliau melalui penculikan, penahanan tanpa perbicaraan, pembunuhan dan juga penderaan.


Sebagai rakan seperjuangan Amerika dalam menentang keganasan, beliau juga telah menyerang Taliban yang masih berlegar-legar di wilayah Waziristan dan Baluchistan dan natijah daripada ini hanya membuatkan beliau lebih dipandang serong oleh rakyat yang semakin resah dengan kepimpinan beliau yang mabuk kuasa dalam memegang tampuk pemerintahan sebagai seorang diktator dan pada masa yang sama ‘menjual maruah umat Islam’ kepada Amerika dan sekutu Zionisnya.


Keadaan menjadi semakin panas dan insiden pemecatan Ketua Hakim Negara, Ifktikhar Mohammad Chaudry pada bulan Mac yang lepas hanya mampu menaikkan kemarahan rakyat terhadap Musharaf. Tuduhan “salah laku dan salah guna kuasa” ke atas Ketua Hakim tersebut adalah bertujuan untuk menjatuhkan pegawai penting yang difikirkan olehnya, mampu menghalang perancangan beliau untuk meneruskan pemerintahan 5 tahun buat penggal yang seterusnya sebagai Presiden dan juga pada masa yang sama menjaga jawatan beliau sebagai Ketua Angkatan Tentera. Perbuatan dan agenda yang ingin dibawa oleh Musharaf jelas sebenarnya menyalahai perlembagaan Negara.


Perbuatan yang tidak berasas ditambah pula dengan tekanan daripada Presiden Bush untuk melihat Pakistan lebih agresif dalam menghapuskan Taliban hanya menaikkan lagi api kemarahan rakyat Pakistan. Apa lagi pilihan yang masih ada buat mereka melainkan untuk turun ke jalan raya bagi menuntut keadilan.



Dalam buku bertajuk Military, Inc.: Inside Pakistan's Military Economy, penulisnya Ayesha Siddiqa menegaskan betapa Musharraf bertindak sebagai seorang pemimpin kapitalis dengan berpaksikan doktrin ekonomi Washington Consensus dalam mengurus polisi nasional Pakistan. Polisi sebegini hanya mampu menutup sebelah mata berkenaan masalah kemiskinan yang semakin berleluasa ke atas rakyatnya sendiri demi kebebasan ekonomi seperti diajar oleh Barat.



Hak asasi rakyat dibiarkan, jurang ketidak seimbangan sosial meningkat, harga makanan melambung tinggi, kesatuan kerja dipatahkan dan hampir separuh perbelanjaan kerajaan dihalakan kepada bajet ketenteraan dan hutang yang bertimbun. Ditambah lagi dengan fenomena korupsi yang berluasa melalui aktiviti kroni kapitalisme golongan tentera, demokrasi yang cuba ditonjolkan oleh Musharaf hanyalah bahan lawak buat Pakistan sebagai sebuah ‘Republik Islam’ dari dulu hinggalah sekarang.


Polemik 'Negara Islam' bernama Pakistan



Adakah Pakistan sebuah Negara yang gagal?


Tahun 1930, pemikir agung Islam abad ke-20 Sir Allama Muhammad Iqbal telah menyeru untuk mendirikan sebuah negeri buat umat Islam India di Utara Barat India. Akhirnya, melalui Liga Muslim dibawah kepimpinan Muhammad Ali Jinnah, Pakistan telah ditubuhkan sebagai sebuah Republik Islam Pakistan setelelah penceraiannya daripada India. Berduyun-duyunlah umat Islam dari India berpindah ke wilayah baru yang menjanjikan masa depan yang cerah di bawah paying Islam.



Muhammad Ali Jinnah: Bapa Pakistan Pertama

Keceriaan dan kejayaan untuk menubuhkan ‘Khilafah’ selepas jatuhnya Turki Uthmaniyah di Pakistan ini tidak berpanjangan. Pergolakan dalaman sesama puak, bencana alam dan pergolakan politik yang beterusan hanya mampu menjadikan ‘Negara Islam’ ini sebagai bahan sindiran akan kualiti umat Islam dalam memerintah sebuah Wilayah yang majoritnya Muslim.


Kenapakah semua ini berlaku? Tentunya, bila tertegaknya sebuah Wilayah yang meletakkan Islam sebagai sesuatu yang tinggi tidak kiralah dari aspek undang-undang, perlembagaan hinggalah ke aspek sosio ekonomi, campur tangan Barat tidak pernah padam. Penggulingan, dan pembunuhan pemimpin Negara seperti Nawaz Sharif dan Zia ul Haq jikalau dilihat dari aspek yang lebih besar daripada ‘memulihkan demokrasi’ sememangnya membawa bau busuk konspirasi yang dicetus musuh-musuh Islam.


Yang rugi, terseksa tidak lain tidak bukan rakyat jelata yang tidak empunya sebarang kuasa menghadapi cabaran fizikal dan mental yang dahsyat.


Politik dalam menegakkan Negara Islam seperti yang dilakukan Pakistan tidak dapat menyelesaikan masalah asas rakyat. Biarpun mereka dipimpin oleh pemimpin Muslim yang mana Islam begitu terang dan jelas diamalkan di Pakistan, kejahatan dan kepincangan tetap berlaku dalam skala yang besar. Ternyata di sini penubuhan Daulah Islamiyah melalui pendekatan Atas ke Bawah (Top Down method) tidak menjanjikan kemenangan sejati buat umat Islam Pakistan seperti yang diimpikan Iqbal.


Polemik ini akan terus berlaku dan pasti berlaku ke atas umat Islam yang sedang cuba mengembalikan syariat Allah ke muka bumi. Umat akhir zaman akan terus dicabar dengan pelbagai ujian dan kemenangan hakiki tidak terletak kepada tertegaknya Negara Islam seperti Pakistan, tetapi usaha murni yang ikhlas dalam menyambung risalah para Nabi kepada semua hidupan di muka bumi ini.

Tiada ulasan: