Ahad, 30 Disember 2007

Celoteh Buku

Sepanjang cuti ini, duit saya hanya dihabiskan kepada buku. Obsesi kepada karya-karya 'berat' telah menjadi sebahagian daripada hidup semenjak melangkah ke menara gading nun jauh di hutan Tronoh, Perak. Disana juga saya mengenali erti sebenar 'kehidupan' melalui usrah, perbincangan ilmiah bersama ustaz , pensyarah dan aktiviti sebegini yang memacu minat saya untuk menggali lebih banyak cabang-cabang ilmu diluar bidang yang dipelajari (saya mengambil jurusan Kejuruteraan Kimia).

Lagi banyak saya membaca, lagi terbuka hijab tentang realiti kehidupan lampau dan masa kini. Saya menjadi lebih kritikal terhadap semua perkara. Pernah juga bersikap kritikal terhadap Islam dan terbukti saya kalah. Sungguh lengkap dan komprehensif, relevan sepanjang zaman. Maka dengan demikian, Islam yang saya anuti setelah menempuh zaman penghujung remaja merupakan Islam yang tersembunyi disebalik buku teks Pendidikan Islam pada zaman persekolahan dahulu.

Tetapi, saya masih tidak berpuas hati. Demi memahami keadaan, dan permasalahan umat manusia, saya teruskan ekspedisi menggali ilmu dengan lebih serius. Hampir semua cabang ilmu saya terokai; sosiologi, ekonomi, pendidikan, sains, konsumerisme, sejarah, falsafah etc.

Sebelum ini, saya senang menerima idea baru dengan mentah seperti contoh idea ' Perang antara Tamadun' yang dipelopori oleh Samuel Huntington. Melalui pembacaan tambahan, diskusi bersama pemimpin NGO, ustaz dan sahabat, saya mula berani mengkritik idea-idea tersebut.

Saya rasa, bidang kejuruteraan bukanlah my cup of tea. Oleh yang demikian, Insyaallah, saya akan menyambung pelajaran dalam bidang soft sciences seperti ekonomi, psikologi etc. bagi menampung minat saya dalam mengupas kebenaran kehidupan.

Indah sekali dunia ilmu. Sedikit perkongsian buku-buku yang telah dibeli pada waktu cuti ini ( habis kira-kira RM 600.00):



The Culture Industry
karya salah seorang Marxist daripada kelompok intelektual Frankfurt school berkisar berkenaan budaya yang dicorak oleh industri (sudah tentu berkait rapat dengan sistem kapitalisme). Buku ini agak berat dari segi bahasa dan isinya tetapi berbaloi untuk dibaca kerana sangat membantu kerja-kerja aktivisme bersama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kelak.



Dari kelompok anti-kapitalis yang gila, Adbusters merupakan golongan aktivis sosial yang memerangi industri pengiklanan dan budaya kepenggunaan yang rosak di Barat. Mereka radikal dan sangat kreatif. Boleh lawati laman web mereka di www.adbusters.org



Saya tidak boleh tidak untuk membeli karya Edward Said yang satu ini. Siapakah intelektual? Apakah peranan mereka dalam masyarakat? Apakah pendirian mereka? Kita perlukan intelektual yang memahami masalah umat Melayu pada zaman moden. Dibantu oleh ulama', saya kira gandingan sebegini dapat merealisasikan impian bangsa kita.



Buku yang disyorkan oleh Herry Nurdi, editor majalah Sabili (majalah mingguan PKS, Indonesia) ketika bertemu dalam program anjuran CAP dan TERAS. Bagus sungguh pembacaan ahli-ahli gerakan di seberang. Silibus ilmu mereka tidak hanya pada Imam Hassan Al Bana dan Syed Qutb. Guns, Germs and Steel merupakan karya unik Prof. Jared Diamond yang membincangkan ketamadunan manusia selain tamandun Besar dunia dari pelbagai sudut (sejarah, geografi) yang mungkin boleh dipakai guna untuk menganalisa keadaan semasa kelemahan manusia moden. Global Capitalism secara ringkasnya menceritakan sejarah Kapitalisme, sistem ekonomi yang hampir kesemua umat manusia sedang merasai kesannya dan sangat relevan untuk penggubal polisi alternatif (terutamanya Barisan Alternatif) dalam mencari Achilles' Heel sistem ini dari sudut sejarahnya.



Sebelum ini, saya kira Paul J Samuelson, Milton Friedman jaguh ekonomi sebenar. Rupanya tidak. Merekalah topeng kapitalis free market yang meranapkan alam sekitar dalam memperjuangkan ekonomi tanpa Tuhan yang dibawa mereka. Maka, perlulah mencari resolusi melalui Islam ( bukankah Islam itu lengkap?). Islamic and Economic Development daripada M.Umer Chapra dapat membantu. Buku disebelahnya merupakan buku yang saya kerap kali sorok di Kinokuniya KLCC. Sudah lama saya tenung, belek, dan baca secara percuma di sana. Selaku pendokong sekolah pemikiran Gerakan Sosial P.Pinang (Penang activist's school of thoughts) yang dibawa oleh S.M Idris (Presiden CAP) dan Tuan Haji Azmi Abdul Hamid (Presiden TERAS), The Development Dictionary merupakan satu pembelian yang wajib buat saya. Buku ini membongkar rahsia, dan realiti disebalik segala macam konotasi yang baru diwujudkan sekitar abad ke-20 dalam meneruskan hegemoni Barat ke atas kita, rakyat dunia ketiga. Konotasi seperti moden, globalisasi, pembangunan, sains, etc. dibincangkan dan dikupas secara kritikal oleh pemikir dan aktivis sosial gerakan sosial dunia seperti Ivan Illich dan Vandana Shiva (sudah tentu ramai rakyat kita tidak mengenali mereka melainkan NGO yang bekerja rapat dengan mereka ini).



Namanya memberi satu sentimen yang tidak senang kepada saya. Buku Masyarakat Islam Hadari ini dibeli atas dasar penulisnya, Prof Wan Mohd Nor Wan Daud, anak murid Prof Syed Naquib Alatas yang merupakan antara intelektual Islam yang saya hormati. Menarik. Semenjak saya mula mengenali beliau dan Prof Syed Naquib Alatas (melalui pembacaan karya mereka) saya mula berjinak-jinak untuk memahami peranan sebenar gagasan Islamisasi Ilmu (Islamization of Knowledge) yang dipelopori oleh Prof Naquib di ISTAC dahulu. Pada waktu cuti ini juga penulis sempat mendengar ceramah eksklusif Dr.Ugi Suharto, (anak murid Prof Naquib juga) dalam mengupas idea Islamisasi yang dibawa oleh Prof Naquib. Dari situlah saya mula sedar betapa pentingnya kita, umat Islam melihat semula bidang ilmu yang dibawa oleh sistem pendidikan kita pada masa ini.


Hero saya. Malcolm X merupakan pejuang Islam yang paling tidak disedari/dikenali (mungkin) oleh umat Islam Malaysia. Klasik sekali.


Lagi buku-buku falsafah dan revolusi Eropah. Berat lagi membingungkan.



Syaikh Imran Hosein merupakan ulama' yang unik. Satu-satunya ulama' yang konsisten dalam menganalisa Quran dan Hadith bagi memahami Peristiwa Akhir Zaman dalam pada masa yang sama mampu mengaitkan dengan dunia moden. Beliau merupakan ulama' yang hebat. Bukan sahaja menerima pendidikan daripada Maulana Dr Fazlur Rahman Ansari ( anak murid kepada Sir Allama Muhammad Iqbal, pemikir agung dan ahli sufi Islam abad ke-20) malah beliau turut menuntut ilmu dalam bidang ekonomi di Switzerland. Nyata, gandingan ilmu tradisional dan moden membuatkan karya beliau lain daripada yang lain. Wajib dibaca oleh umat Islam terutamanya berkenaan tajuk Dajjal, Israel, dan Ya'juj dan Ma'juj.



Benarkah kita sudah memahami sekularisme? Buku Islam and Secularism karya Prof Naquib ini merupakan karya ulung dalam membahas bab sekularisme dalam dunia Ilmu. Tajam, sangat berat dan sangat sukar dibaca. Elok dibincang dalam usrah ataupun bersama ustaz.


Risalah Untuk Kaum Muslimin sudah lama, kira-kira 30 tahun yang lepas dalam Bahasa Inggeris. Tidak diterbitkan dalam Bahasa Melayu ( baru diterbitkan pada tahun 2001) kerana Prof Naquib khuatir ideanya susah hendak diterima umat Melayu pada zaman itu. Mendapat sambutan hangat dari dunia Islam dan telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa. Pendidikan Islam yang ditulis oleh Prof Wan ini mengupas secara mendalam akan gagasan Islamisasi Prof Naquib.


Buku Oh Buku!

Mustahil saya dapat membaca habis kesemua buku ini dalam masa sebulan. Internet, video dan akhbar perlu juga diteliti. Walau bagaimanapun, saya cuba curi sebanyak mungkin masa yang ada bagi meneliti idea besar setiap karya dengan harapan dapat berkongsi dengan orang ramai. Saya percaya tidak ramai umat Melayu Islam, terutamanya ahli gerakan Islam mampu membaca karya dalam Bahasa Inggeris yang berat. Maka disini saya merasakan selaku mahasiswa yang mempunyai kapasiti dan ruang ilmu yang terbentang luas ( ditambah dengan masa yang secukupnya) perlu dipermudahkan bagi membantu mutiara ilmu ini tersebar lebih jauh (terutamanya idea Prof Naquib yang sangat kompleks) dengan harapan perjuangan yang kita pacu ini persis lagi jitu dalam menilai isu dan masalah yang ada.

Tiada ulasan: